Tentu menarik untuk mengetahui bagaimana seorang pengarang kreatif dan prolifik berkarya.
Misalnya, dari mana dia mendapat idea dan bagaimana dia mengolah watak, perwatakan, plot dan konflik sehingga terhasilnya sebuah karya fiksyen.
Minat seperti ini bukan hanya dalam kalangan pembaca tetapi juga dalam kalangan pengarang memandangkan mereka juga tentunya termasuk dalam kelompok “pembaca”.
Sebuah buku yang suka saya sarankan adalah Haunted Heart: The Life and Times of Stephen King (2009) tulisan Lisa Rogak.
Buku ini diklasifikasikan sebagai sebuah “biografi tidak rasmi” (unauthorised biography) memandangkan Lisa tidak mendapatkan sebarang maklumat secara langsung daripada Stephen.
Bagaimanapun, Stephen sedia maklum mengenai usaha penulisan biografi ini dan dia membenarkan penerbit dan kawan-kawannya diwawancara oleh Lisa untuk mendapatkan apa-apa maklumat yang perlu.
Lebih daripada itu, kekuatan biografi setebal 310 halaman ini adalah bahawa Lisa mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sekunder seperti wawancara dan laporan/berita berkaitan dunia kepengarangan Stephen.
Kisah bermula sebelum kelahiran Stephen Edwin King pada 21 September 1947; dua tahun selepas ibu bapanya mengambil seorang anak angkat berikutan keputusan doktor bahawa pasangan itu tidak boleh mendapat anak kandung.
Buku ini yang dibahagikan kepada 14 bab mendedahkan pelbagai maklumat dan fakta serta trivia menarik dan memilukan mengenai Stephen, keluarga dan karya-karyanya.
Pengarang kelahiran Maine, Amerika Syarikat ini sudah menghasilkan sekitar 50 novel dan hampir 10 kumpulan cerpen. Novel 11/22/63 kini berada dalam pasaran Malaysia manakala novel Dr Sleep (sambungan novel The Shining) menunggu giliran untuk terbit.
Buku Haunted Heart antara lain mendedahkan mengapa Stephen menggunakan nama samaran Richard Bachman untuk menulis beberapa novel; khususnya Rage (1977), The Long Walk (1979), Roadwork (1981), The Running Man (1982) dan Thinner (1984).
Peminat Stephen juga pasti mahu tahu dari mana dia mendapat idea bagi sekian banyak novel hebat seperti Carrie (1974), Firestarter (1980), Cujo (1981), Pet Sematary (1983), It (1986), Misery (1987), Needful Things (1991), The Green Mile (1996), Bag of Bones (1998), The Colorado Kid (2005) dan sebagainya.
Malah, jika diteliti, kebanyakan karya Stephen menampilkan hubungan bapa dan anak. Agak menarik untuk diperhatikan – dan ditulis secara terperinci dalam buku ini – mengenai realiti bapanya yang “pergi tanpa pesan” semasa Stephen berumur dua tahun.
Kisah-kisah mengenai pelbagai cabaran dan kesusahan yang ditempuh oleh Stephen dan isterinya, Tabitha Spruce, selepas perkahwinan mereka pada 2 Januari 1971 pasti membuatkan pembaca memahami mengapa pengarang itu memaksa dirinya untuk menulis dan terus menulis tanpa henti.
Turut dipaparkan secara terperinci – berserta bukti – bagaimana beberapa tabiat buruk hampir memusnahkan kerjaya dan keluarganya.
Pelbagai peristiwa penting dalam hidup Stephen dari 1947 hingga 2008 dipaparkan secara kronologi di akhir buku ini; sekali gus mudah dirujuk. Begitu juga dengan indeks yang pasti dihargai golongan pembaca dalam kalangan pengkaji dan ahli akademik.
“I’m afraid of everything.” Demikian diakui Stephen pada 13 November 2007.
Lalu, bagaimana “si penakut” ini berjaya “menakutkan” orang ramai menerusi begitu banyak karya yang “menakutkan”?
Malah, kebanyakan novel dan cerpennya dijadikan filem yang berjaya pada peringkat antarabangsa. Dengan itu, “ketakutan” yang sebelum ini berada pada halaman buku sudah berpindah ke layar perak dalam bentuk audio dan visual.
Maka, buku Haunted Heart sesuai bagi peminat Stephen, peminat karyanya serta peminat filem-filem yang dibuat berdasarkan karyanya.
Oh, ya! Stephen juga seorang pemuzik dan penyanyi. Hal itu turut diterangkan secara terperinci dalam buku ini.
(Uthaya Sankar SB mula meminati karya Stephen King selepas menonton filem Sometimes They Come Back (1991) berdasarkan cerpen yang tersiar di majalah Cavalier (Mac 1974). Ulasan ini ditulis pada 13 Februari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)