Mulai tahun 2010, cuti diumumkan di seluruh negara (termasuk Semenanjung Malaysia) sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Walaupun “Malaysia” terbentuk pada tahun 1963 – dan Singapura keluar dua tahun kemudian – sambutan hari mengenang tarikh penting itu belum pernah meriah; khususnya di Semenanjung Malaysia.
Buku The Special Day (2010) tulisan Mahani Zubedy dan ilustrasi oleh Shia Yih Yiing menjadi pemangkin ke arah menyedarkan generasi baru mengenai realiti kewujudan negara Malaysia dan Bangsa Malaysia.
Hal ini amat penting kerana rata-rata iklan, promosi dan propaganda di hampir kesemua media arus perdana yang dimiliki/dikuasai/dikawal Putrajaya sekadar menggambarkan “Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India”.
Realiti sebenar kepelbagaian budaya, bahasa, pakaian, makanan, adat, cara hidup dan amalan Bangsa Malaysia dipaparkan secara amat bersahaja menerusi buku The Special Day setebal 32 halaman.
Kisah yang disajikan adalah mengenai sekumpulan anak kucing (mewakili pelbagai etnik di Malaysia; termasuk Semenanjung Malaysia) yang membuat persediaan bagi konsert sambutan “hari istimewa” iaitu Hari Malaysia.
Ibu bapa dan kucing dewasa turut terlibat membantu anak-anak itu. Sepanjang membuat latihan bagi persembahan, anak-anak kucing belajar pelbagai aspek mengenai keunikan Bangsa Malaysia.
Antaranya adalah mengenai etnik Bidayuh, Bajau, Kadazandusun, Iban, Melanau, Semai, India, Melayu dan Cina.
Segala keunikan ini pula dipaparkan melalui teks/dialog yang ringkas dan lukisan-lukisan yang menarik perhatian.
Buku The Special Day dilancarkan pada 2 Oktober 2010 di Kuala Lumpur. Saya berpeluang terlibat sama dalam projek penghasilan buku ini sejak 2 Ogos 2010 dengan memberikan sedikit maklumat dan pandangan; khususnya berkaitan kucing yang mewakili kaum India. [BACA DI SINI]
Golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa boleh sama-sama membaca buku ini untuk menambah pemahaman mengenai pelbagai aspek yang ternyata belum diberi perhatian dalam sistem pendidikan negara.
Mahani dan Yih Yiing ternyata memberi penekanan terhadap aspek menyemarakkan semangat patriotik dan identiti Bangsa Malaysia dalam kalangan generasi muda menerusi buku ini.
Semangat dan cita-cita ke arah keamanan, persefahaman, perpaduan, saling memahami dan menghormati, serta saling menerima perbezaan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, agama, etnik, budaya dan latar belakang terungkap kemas menerusi buku cerita ini.
Pengarang turut menyediakan glosari, nota, perkataan lazim dalam pelbagai bahasa, baka kucing, permainan kanak-kanak dan beberapa maklumat lain yang menjanjikan pengalaman membaca yang menyeronokkan bagi khalayak pelbagai usia.
Kanak-kanak yang membaca buku ini akan lebih memahami dan menghayati semangat Bangsa Malaysia yang sejati berbanding golongan remaja dan dewasa yang (mungkin) tidak berpeluang membaca buku ini.
Mahani yang tinggal di Austin, Texas dan Kuala Lumpur adalah graduan Institut Sastera Kanak-kanak, Redding Ridge, Connecticut, Amerika Syarikat.
Beliau menulis cerita kanak-kanak, makalah, skrip drama dan fiksyen, selain menjadi fasilitator di Zubedy Sdn Bhd milik adiknya, Anas Zubedy.
Yih Yiing yang mengendalikan kelas seni lukis bagi kanak-kanak dan dewasa adalah pemegang ijazah sarjana seni kontemporari dari Universiti West Sydney, Australia.
Gabungan mantap Mahani dan Yih Yiing melahirkan buku The Special Day yang sesungguhnya amat istimewa; walaupun kurang diberi perhatian oleh pelbagai pihak yang ternyata sekadar ghairah melaungkan slogan 1Malaysia tanpa penghayatan sebenar.
[Uthaya Sankar SB adalah penerima Hadiah Cerpen Maybank-DBP Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Ulasan buku ini ditulis pada 29 Januari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 10 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.]