16 Feb 2012

Tentang 120 Filem Melayu

Saya peminat filem. Akan tetapi, saya amat selektif dalam menentukan filem-filem yang saya tonton. Catatan mengenai beberapa filem yang saya tonton boleh dibaca di blog saya.

Filem Inggeris, Malayalam, Hindi, Tamil, Mandarin dan bahasa-bahasa lain menjadi pilihan saya; tidak menjadi masalah jika saya tidak memahami bahasa yang digunakan dalam dialog kerana “bahasa filem” tetap universal.


Jumlah filem Melayu yang saya tonton jauh lebih kecil berbanding filem asing (luar negara). Masalah “roh filem” sering menjadi halangan dan saya tidak rela menipu diri untuk pura-pura menyukai filem-filem yang tidak mencapai tahap mentaliti yang diharapkan.


Bagaimanapun, kehadiran buku 120 Malay Movies (2010) tulisan Amir Muhammad menarik perhatian saya kerana beliau seorang aktivis, penulis dan pembikin filem yang lain daripada yang lain.


Buku setebal 432 halaman itu memuatkan reaksi Amir semasa menonton 120 filem Melayu yang diterbitkan di Singapura dan Kuala Lumpur dari 1948 hingga 1972.


Pasti menarik untuk “melihat” semula filem-filem lama melalui kaca mata seorang pembikin filem kontemporari.


Buku 120 Malay Movies yang dicetak dalam edisi terhad dilancarkan di Muzium Seni Singapura (SAM) pada 31 Julai 2010 dan dilancarkan juga di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2010.


Saya berpeluang membeli buku itu pada 9 Ogos 2010 dan menjadikannya rujukan dan bacaan santai dari semasa ke semasa.


Sejak awal, saya mencatatkan begini pada ruangan status di Facebook: “Who should avoid Amir Muhammad’s 120 Malay Movies? Anyone who can’t read or understand English.


Kemudian, selepas membaca 172 halaman, saya catatkan begini:


“Tidak pernah menyangka penelitian terhadap filem-filem Melayu (Singapura) boleh begitu menghiburkan! Buku 120 Malay Movies oleh Amir Muhammad membuatkan saya ketawa bermula halaman 12.”


Kenapa halaman 12? Kerana pada halaman itulah bahagian pengenalan (introduction) bermula.


Amir menjelaskan beberapa perkara secara telus (dan sarkastik, tentunya!): mengapa memilih hanya 120 filem; sejarah awal studio filem Melayu (Singapura); peristiwa bersejarah yang dipaparkan – atau tidak dipaparkan – dalam filem Melayu.


Juga tentang bintang filem Melayu lama; seks dan seksualiti dalam filem Melayu lama; feudalisme dan politik dalam filem Melayu lama; agama dalam filem Melayu lama; pemaparan etnik dalam filem Melayu lama; pengarah Bukan Melayu vs Melayu.


Dengan membaca buku ini, kita akan memahami pelbagai perkara yang mungkin tidak kita sedar walaupun telah menonton filem-filem yang dinyatakan itu berpuluh kali.


Amir dengan bijak dan bersahaja memberi nafas baru kepada penelitian terhadap filem-filem Melayu (Singapura). Saya tidak dapat menahan ketawa dengan gaya penulisan serta cara Amir meneliti setiap filem dari sudut kontemporari.


Bercakap tentang kontemporari (semasa), khabarnya dalam akhbar New Straits Times (7 Ogos 2010), seorang kolumnis melabelkan S Ramanathan dan K M Basker sebagai “pengarah dari India” sedangkan kedua-dua mereka lahir di Malaya.


Malah, hanya Jamil Sulong disenaraikan oleh kolumnis berkenaan sebagai pengarah filem Melayu yang masih hidup. Mungkinkah saya (dan Amir Muhammad) sahaja yang tidak tahu bahawa L Krishnan sudah tiada?


Atau, lebih tepat lagi, sebagaimana dinyatakan secara tersirat oleh Amir dalam 120 Malay Movies, masyarakat umum dan pengkaji filem (khususnya di UiTM dan Finas sendiri) ternyata memiliki minda tertutup dengan melihat filem Melayu (Singapura, dan kemudian Malaya/Tanah Melayu) sebagai produk “oleh Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu”.


Akibatnya, mereka menafikan segala perkara yang tidak masuk dalam acuan Melayu-Islam mengikut fahaman Melayu-Islam di Malaysia.


Rupa-rupanya pandangan ethnocentric itu bukan masalah baru. Perkara sama juga sebenarnya ditampilkan dalam kebanyakan filem Melayu yang diulas oleh Amir dalam buku ini.


Banyak lagi “fakta” menarik – benar dan memeranjatkan – menanti pembaca dalam buku 120 Malay Movies.


Banyak misteri dan persoalan berkaitan filem Melayu (Singapura, dan kemudian Malaya/Tanah Melayu) terjawab dalam buku ini. Berikut sedozen contoh:


1. Mengapa watak lakonan Siput Serawak dan S Roomai Noor tidak ditangkap khalwat dalam filem Cinta (1948).


2. Kekaguman penduduk Melayu (termasuk UMNO) di Tanah Melayu terhadap segala yang berciri Indonesia terpancar dalam filem Nilam (1949).


3. Punca sebenar Kasma Booty sanggup memaafkan kecurangan Osman Gumanti dalam filem Racun Dunia (1950).


4. Perasaan binatang-binatang yang terpaksa berlakon dalam filem Pembalasan (1950).


5. Filem Hang Tuah (1956) dan Hang Jebat (1961) menampilkan hubungan homoerotik mengatasi “persaudaraan”.


6. Bagaimana sebenarnya Osman Gumanti menjawab pertanyaan “Asmara? Apakah itu?” yang dikemukakan Kasma Booty dalam filem Dewi Murni (1950).


7. Filem Perkahwinan Rahsia (1951) adalah sebenarnya filem pertama yang menampilkan pengarah kaum Melayu, tetapi kelahiran Indonesia.


8. Walaupun pada tahun 1950-an, lombong bijih timah di Tanah Melayu dimiliki orang Cina dan British, ada dua lombong bijih timah milik kaum Melayu dalam filem Antara Senyum dan Tangis (1952).


9. Pengarah filem kaum Melayu kelahiran Malaya muncul secara rasmi menerusi filem Permata di Perlimbahan (1952).


10. Pakaian orang misikin yang ditertawakan orang kaya dalam filem Miskin (1952) kemudian menjadi kegilaan ramai selepas Hollywood melahirkan Miami Vice (1984).


11. Filem Mahsuri (1959) yang menampilkan dialog “Muka hang hitam macam belakang kuali” oleh penduduk kampung di Langkawi kepada seorang penduduk kaum India, skripnya ditulis seorang Perdana Menteri!


12. Watak lelaki kaum Cina dalam filem Sergeant Hassan (1958) berjanji kepada seorang wanita Melayu, “Lu sayang sama ngo, ngo tintu tukar nama Ahmad Ali bin Abolollah”.


Apa yang saya berikan sebagai contoh di atas hanyalah sebahagian kecil – amat kecil – daripada pelbagai fakta menarik yang menceriakan dan mampu menjadi santapan minda bagi khalayak yang boleh membaca buku Bahasa Inggeris.


Saya memperoleh begitu banyak maklumat yang tidak mungkin diperoleh daripada (sekadar contoh tetapi tidak terhad kepada) Finas, Yusof Haslam, Jins Shamsudin, RTM dan mana-mana agensi kerajaan.


Walaupun saya tidak banyak menonton filem Melayu, buku 120 Malay Movies memberikan saya peluang memahami 120 filem Melayu dari tahun 1948 hingga 1972 secara mendalam, tanpa perlu menghadap skrin televisyen/komputer.


Malah, saya berani mengatakan bahawa formula daripada filem-filem itulah yang masih menjadi ikutan rata-rata pembikin filem Melayu sehingga hari ini.


(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan catatan awal di blog dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 Januari 2012.)