2 Feb 2012

Ramayana: Memoir Hanuman

BAHAGIAN 2: Rata-rata penganut agama Hindu seluruh dunia masih menganggap Ramayana sebagai teks kudus dan suci. Maka kandungan teks berkenaan dilihat perlu diterima bulat-bulat tanpa boleh dipersoalkan.

Ajaran yang terkandung dalam Ramayana dijadikan panduan hidup; sama penting dengan ajaran dalam Mahabharata, Upanishad, Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan Atharvaveda.

Bagaimanapun, mengikut peredaran zaman, para pengkaji dan peneliti sudah mula memberi interpretasi baru terhadap kandungan adikavya (karya agung) berkenaan.

Tindakan ini tidak pula mencemarkan keagungan Ramayana. Sebaliknya, membuktikan bahawa epik klasik itu amat kompleks dan bersifat universal, serta boleh ditafsir dari pelbagai sudut mengikut zaman.

Tokoh pemimpin di Tamil Nadu, India, E V Ramaswami yang lebih dikenali sebagai Periyar pernah menulis semula Ramayana dengan mengangkat Ravana sebagai wira.

Pulavar Kuzhanthai pula menulis Ravana Kaviyam (1946) dari sudut penceritaan Ravana. Bagaimanapun, karya itu diharamkan kerajaan Tamil Nadu pada 1948.

Kalau dikaji secara teliti, Ramayana sebenarnya memiliki ciri teks sejarah atau itihasa kerana membuat rujukan pada peristiwa dan tempat-tempat yang memang terdapat dalam catatan sejarah.

Misalnya mengenai pelayaran dari Benua Kecil India ke Kadaram (Kedah). Usah lupa tentang Laksamana Hang Tuah yang dipercayai menggabungkan watak-watak dari Ramayana dan Mahabharata.

Ramayana turut berciri politik dan melakukan sindiran halus terhadap golongan diraja dan pemerintah. Malah, apa yang lebih menarik, kisah-kisah dalam Ramayana masih relevan hingga hari ini.

Jika mahu meneliti manipulasi politik ala-ala “Bik Mama”, bacalah Ramayana dan Mahabharata. Begitu juga kisah percaturan politik dan permainan politik kotor yang sudah terakam kemas dalam epik berkenaan. - Bersambung dalam novel Hanuman: Suara Hati (2013).

(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan beberapa makalah lama dan tambahan maklumat baru sebelum disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk membaca Bahagian 1.)