1 Feb 2012

Chantek

Anda wajar menonton filem “Chantek” arahan dan lakonan Pierre Andre – antara lain – untuk membongkar rahsia-rahsia berikut:

1. Adakah ini sebuah filem “komedi romantik” seperti diwarwarkan atau sebenarnya sebuah filem “surealisme magis” di mana segala apa sahaja boleh berlaku tanpa perlu mampu diperjelaskan secara logik.


2. Apakah “Chantek” pada judul filem ini merujuk pada sifat atau nama watak.


3. Benarkah wajah Pierre Andre iras wajah pelakon Tamil, Silambarasan.


4. Benarkah hero filem Melayu bercakap bahasa Melayu dengan pelat.


5. Benarkah Pierre Andre bercakap ala-ala Hafidz Baharom.


6. Bolehkah Pierre Andre menyanyi.


7. Berapa lama masa diperlukan oleh seorang TKW (tenaga kerja wanita) untuk mengejar peragut dari sekitar Kota Raya hingga ke KLCC.


8. Apa yang akhirnya akan terjadi pada jam milik TKW berkenaan yang dibeli oleh si hero daripada peragut tersebut.


9. Berapa ramai “manager” (pengurus) dan pembikin filem Melayu terdiri daripada kaum Cina.


10. Mengapa si hero sanggup/tergamak membuka seluar sedangkan dia sedar ada seorang wanita yang sedang “menonton”nya.


11. Mudahkah untuk wanita tiba-tiba menukar suara seperti lelaki dan si pendengar pula langsung tidak cam jantina si penutur.


12. Perlukah ada “jiwa” dan “roh” dalam filem.


13. Perlukah penonton memikirkan aspek logik apabila menonton filem.


14. Perlukan pelakon memiliki serta mempamerkan emosi dalam lakonan.


15. Apakah beza antara cara percakapan dalam komik alih bahasa Jepun dan filem Melayu.


16. Apa makna komedi.


17. Apa makna menjiwai watak dan perwatakan.


18. Aurat bagi lelaki Muslim adalah ...


19. Bolehkah seseorang menjadi pelakon tanpa perlu ada bakat berlakon; iaitu dengan hanya mampu melafazkan skrip.


20. Apabila menampilkan teknik “twist” iaitu perubahan jalan cerita (plot) di luar jangkaan, perlukah ada sebarang logik untuk mewajarkan segala apa yang berlaku sebelum itu.


21. Sudah mampukah pelakon Malaysia membawakan watak orang Indonesia atau wajibkah kita mengimport pelakon dari sana.



Nota: Saya berpeluang menghadiri tayangan eksklusif filem “Chantek” pada 31 Januari 2012. Filem berkenaan akan ditayangkan kepada umum mulai 16 Februari 2012. Saya berharap beberapa persoalan yang saya tampilkan di atas akan membantu menyemarakkan rasa ingin tahu dalam kalangan peminat filem Melayu.