3 Feb 2012

Malaysian Tales

[Buku ini sangat sesuai dibaca kerana nilai nostalgia dan cetusan pemikiran baru yang dikemukakan.]

Antara topik yang hangat diperkatakan sekarang adalah berhubung soal wujud atau tidak Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah yang dikisahkan dalam Sejarah Melayu.


Pencetus terkini kepada kontroversi ini ialah Canselor KDU, Profesor Dr Khoo Kay Kim yang mengeluarkan kenyataan menafikan kewujudan kedua-dua tokoh itu (serta para sahabat Hang Tuah) pada 16 Januari 2012.


Akan tetapi, perbincangan mengenai wujud atau tidak Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah bukan topik baru. Mungkin sekadar tidak diperkatakan secara terbuka kerana bimbang dituduh menyentuh sensitiviti dan hak pihak tertentu.


Antologi Malaysian Tales: Retold & Remixed (2011) terbitan ZI Publications sudah pun memperkatakan isu itu serta pelbagai isu lain sebagai santapan minda generasi yang mahu (dan mampu) berfikir secara kritikal dan terbuka.


Janet Tay menerusi cerita “The Gift” cuba mengemukakan suatu hipotesis yang amat wajar dan diterima akal rasional mengenai siapa sebenarnya watak yang digambarkan sebagai Puteri Hang Li Po dalam Sejarah Melayu.


Seperti kata Janet Tay – dan baru-baru ini oleh Dr Khoo Kay Kim – tidak ada sebarang catatan atau rekod di negara China sejak Dinasti Ming mengenai penghantaran “hadiah” berupa seorang puteri untuk berkahwin dengan Sultan Melaka.


Siapakah agaknya wanita yang sebenarnya dihantar ke Melaka untuk dipersembahkan sebagai “hadiah diraja”? Cerpen ini mungkin boleh membantu kita memikirkannya secara rasional tanpa perlu melakukan ujian DNA ke atas sesiapa.


Antologi ini yang disunting oleh Daphne Lee memuatkan 16 cerita klasik/rakyat/tradisional tempatan yang diceritakan semula secara penuh seni, bebas dan kreatif oleh 14 pengarang yang sangat dikenali dan dihormati dalam kalangan peneliti sastera Bahasa Inggeris di dalam dan luar negara.


Kee Thuan Chye, misalnya, menulis kisah “The Boy Who Saved Singapura” iaitu cerita yang diketahui umum mengenai Hang Nadim, kanak-kanak pintar yang menyelamatkan penduduk pulau itu daripada serangan ikan todak.


Thuan Chye tidak menggunakan latar masa kini untuk menceritakan insiden itu. Sebaliknya, beliau mengekalkan kisah yang berlaku pada masa silam.


Namun, agak menarik apabila muncul watak-watak sampingan seperti Mat Isa, Rahim Nyok, Taib Marang dan Rapeah.


Dialog “I hope you have a permit for this gathering” (“Saya harap kamu semua ada permit untuk mengadakan perhimpunan ini”) yang diucapkan oleh Sang Bupala adalah bahagian yang paling saya minati kerana dialog itu sesuai hingga hari ini.


Cerita “Su and Her Natural Love for Swimming” oleh Ann Lee membuatkan saya terkebil-kebil semasa membacanya kerana saya tidak pernah membaca/mendengar kisah itu selama ini – sama ada sebagai cerita rakyat atau cerita moden.


Apabila selesai membacanya, barulah saya tahu bahawa kisah itu adalah versi moden daripada sebuah cerita rakyat Sabah mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang diculik seekor orang utan.


Rupa-rupanya Ann Lee sendiri menghadapi masalah untuk mendapatkan versi bercetak bagi cerita rakyat itu yang pernah didengarnya semasa kanak-kanak.


Cerita “Batu Belah” oleh Zed Adam Idris, “Bawang Puteh, Bawang Merah” (Fazlyn Abdul Malek), “Mahsuri” dan “Si Tanggang” (Preeta Samarasan) serta “Raja Bersiong” (Amir Muhammad) pasti mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak.


Pada masa sama, membaca kisah-kisah lama ini akan menyedarkan kita betapa mesej, kritikan dan idea yang terkandung dalam cerita rakyat sebenarnya masih sesuai dijadikan “panduan dan sempadan” hingga kini.


Sebagaimana Mahabharata dan Ramayana yang sentiasa diberi interpretasi baru mengikut peredaran zaman, begitulah juga cerita-cerita rakyat ini di tangan pengarang yang bijak membuat tafsiran.


Sesuai dengan tajuk kecil “Retold & Remixed”, antologi Malaysian Tales menyajikan santapan minda (yang hanya sesuai) bagi khalayak yang mampu berfikir di luar kotak pemikiran fuedal dan kolonial.


(Ulasan buku ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 24 Januari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 27 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)