24 Jan 2012

Sasterawan Pulau Cinta

SERTA-MERTA para ibu bapa menghalang anak-anak mereka pergi ke sekolah beraliran sastera. Pihak pentadbir sekolah gagal memujuk mereka.

Para pelajar pun mula seronok dan bersuka ria. Mereka malah berterima kasih atas insiden runtuhan tanah di lereng bukit. Masyarakat umum pula mula semakin rancak mengutuk golongan penulis.


“Mampus para sasterawan!”


Media massa melaporkan bahawa dua puluh orang termasuk seorang bayi berusia lima bulan menjadi mangsa tragedi berkenaan. Kesemuanya mati serta-merta. Hanya mayat-mayat kaku ditemui di dalam lumpur, di dalam kereta dan di dalam gaung. Dua puluh orang pula cedera dan dimasukkan ke hospital.


Pasukan penyelamat masih giat menggali tanah lumpur yang dipercayai menimbus beberapa lagi mangsa. Diyakini tentu golongan sasterawan juga!


Tragedi tanah runtuh ini mendapat liputan menyeluruh setiap media cetak dan media elektronik. Malah dalam sehari dua lagi mungkin akan menandingi priority yang pernah diberikan terhadap liputan insiden pergelutan antara pihak diraja dan pihak pemerintah di tengah jalan raya tidak lama dahulu.


Insiden itu dulu mempunyai nilai berita yang tinggi kerana melibatkan dua tokoh terkemuka: Rama dan Ravana. Kini tragedi ini pula memiliki nilai human interest yang dekat dengan masyarakat umum.


Sumber-sumber yang dikumpul menunjukkan bahawa tragedi tanah runtuh ini berlaku sekitar pukul 5:30 petang. Hujan lebat pada waktu itu. Beberapa buah bas dan kereta terperangkap di dalam timbunan tanah dan lumpur di atas jalan raya di lereng bukit. Malah sebahagian runtuhan itu melimpah ke dalam gaung bersama-sama beberapa buah kenderaan!


Salah seorang mangsa yang terselamat memberitahu pihak media massa bahawa setelah bas yang dinaikinya berhenti di tengah jalan raya apabila berlaku suatu runtuhan kecil di lereng bukit, pemandu bas berkenaan telah meminta para penumpang agar turun segera dan mencari suaka.


Tetapi, kata mangsa tadi, belum sempat mereka sedar daripada perasaan bingung, cemas dan tercengang-cengang, suatu runtuhan tanah yang maha besar berlaku lalu menghanyutkan mereka semua bersama-sama tanah lumpur yang telah menimbus mereka jatuh ke gaung di lereng bukit.


Pengalaman seumpama ini yang diceritakan oleh para mangsa mendapat perhatian para wartawan. Maka tidak putus-putuslah wajah mangsa-mangsa yang disalut lumpur dihalakan kamera bagi mendapatkan foto untuk laporan akhbar serta visual bagi siaran langsung berita tragedi melalui tivi.


Malah mangsa-mangsa yang terlalu sedih sama ada kerana kehilangan kaum keluarga atau kerana mengalami kecederaan yang berat dan tidak mahu dirakam gambar mereka turut diintip oleh para wartawan dan jurugambar semata-mata agar media yang mereka wakili dapat tampil sebagai pihak yang berjaya menyajikan laporan eksklusif kepada khalayak.


Sebahagian lagi mangsa yang sekadar mengalami calar-calar ringan pada betis dan lengan atau semata-mata telah melihat insiden runtuhan tanah itu dari jauh turut menawarkan diri untuk bercerita di hadapan kamera tivi.


“Konduktor bas suruh kami turun,” seorang pemuda yang cedera parah pula menceritakan secara ikhlas sambil terbaring lemah di katil hospital. “Masa tu ada pokok tumbang melintang jalan. Kita pun tergesa-gesa turun. Tiba-tiba je saya dengar bunyi deruman macam ombak besar dari arah bukit. Kita orang masih kelam-kabut; masing-masing nak selamatkan diri. Saya tengok tebing atas dan nampak batu besar dan air lumpur melimpah tepat-tepat ke arah saya. Saya dan tunang saya serta orang lain diseret oleh lumpur dan kami tertimbus. Masa tu saya tak tau apa terjadi kepada tunang saya. Belum ada berita tentang dia. …”


Jemaah Pemerintah masih belum mengambil tindakan tegas yang positif berhubung tragedi berkenaan. Ketua Jemaah sekadar mengumumkan bahawa mereka sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak yang dipertanggung-jawabkan membuat kajian dari A hingga Z.


Katanya lagi, Jemaah Pemerintah telah bersetuju untuk menghantar beberapa pakar pembangunan lereng bukit bagi meninjau kawasan tragedi.


Jalan-jalan raya yang lain akan turut diarah supaya dikaji. Begitu juga dengan sistem saliran serta tumbuhan tutup bumi di lereng bukit. Khabarnya rumput yang diimport dengan kos beribu-ribu ringgit dan ditanam di lereng bukit adalah daripada jenis yang berkualiti rendah dan tidak dapat menahan hakisan air hujan!


Sementara itu, Ravana yang sedang bercuti di luar negara melahirkan rasa sedih dan rasa terkejut. Sewaktu pihak media menemuinya di Kerala, India, raja itu sedang menonton filem Bombay di salah sebuah pawagam di sana bersama-sama Hanuman.


“Itulah. … Dulu mereka rampas istana saya. Mereka jadikan puncak bukit itu tempat peranginan. Mereka jadikan istana saya tempat perjudian. Mereka nak bina lagi infrastruktur di atas bukit tu sewenang-wenangnya. Sekarang, biar mereka rasakan!”


Rama terdiam sambil mengetap bibir mendengar kata-kata berupa sindiran halus daripada Ravana yang disiarkan secara langsung di tivi melalui satelit. Dia sedar bahawa “mereka” yang dimaksudkan oleh Ravana dalam setiap ayat yang diucapkannya adalah merujuk kepada dirinya dan para jemaah menterinya.


(© Uthaya Sankar SB 1995. Petikan di atas adalah daripada faksyen “Sasterawan Pulau Cinta” yang mula-mula disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 12 November 1995 sebelum dimuatkan dalam buku Sasterawan Pulau Cinta pada 2001. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen yang lengkap.)