21 Jan 2012

Panchayat: Bahagian 3 – Trisula

[Manusia tidak patut dilihat sebagai ‘hitam’ dan ‘putih’ sahaja dengan mengabaikan kewujudan personaliti ‘kelabu’.]

Sedang mereka berempat bersembahyang, datang Sitambaram, James Arivalahan, Lee Kim Seng dan Mahmood Abdullah.


Keempat-empat lelaki yang berumur dalam lingkungan empat puluh hingga lima puluh tahun itu agak terkejut apabila terserempak dengan Raja, Ramani, Malliga dan Revathi di dalam bangunan kuil.


“Eh! Kamu masih … di sini? … Bukankah tadi … saya nampak … Raja dan Ramani … keluar dari kuil?” Sitambaram mencacau dengan suara terputus-putus.


“Benar, encik. Tapi kami datang balik mengiringi Malliga dan Revathi. Err … encik nampak tak si ayyer? Tadi dia ada. Sekarang sudah tiada. Pintu kuil pula masih terbuka. …”


“Baru sebentar tadi dia meninggalkan kuil,” jawab James Arivalahan sebelum Sitambaram sempat berkata apa-apa. “Kami berempat berada di rumah Sitambaram sejak tengah hari tadi. Baru sekejap tadi kami nampak si ayyer tergesa-gesa pergi meninggalkan kuil. Anak bongsunya dipatuk ular. Lalu, dia tergesa-gesa pulang.”


Hairan, ya, fikir Malliga. Apa pula yang empat lelaki tua ini sedang buat di sini?


“Sebab itulah kami datang untuk memastikan bahawa pintu kuil sudah dikunci,” jawab Kim Seng seperti dapat membaca apa yang difikirkan oleh Malliga.


Raja memandang berhala Kaali Devi di tengah kuil. Berhala emas itu berkilau-kilauan. Mata Raja turut bersinar-sinar apabila melihatnya.


Leher Kaali Devi dikalungkan dengan bunga malai dan rantai-rantai emas. Dengan bersari merah menyala, berhala Kaali Devi digambarkan sebagai sedang duduk di atas singa yang diukir daripada batu hitam.


Berhala emas serta patung singa itu sudah berada di kuil berkenaan sejak dahulu. Kononnya sejak tahun 1900; sejak enam puluh tahun lalu.


Bangunan kuil Maha Kaali telah beberapa kali diroboh dan dibaik pulih. Akan tetapi, berhala emas Kaali Devi yang duduk di atas patung singa itu tidak pernah diubah walau seinci. Kedua-duanya tetap kekal di tempat asal mulanya.


Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengesahkan dari mana asal berhala tersebut. Tiada siapa pun juga yang tahu siapa pengasas kuil berkenaan.


Kuil Maha Kaali kini menjadi milik bersama seluruh penduduk Kubur Gajah yang beragama Hindu. Berhala itu tidak mereka pandang sebagai sebuah berhala emas. Sebaliknya dilihat sebagai lambang kewujudan Tuhan.


Setiap tahun, diadakan upacara pemujaan bagi Kaali Devi di kuil berkenaan. Para pembawa kavadi akan berarak dari kuil Sivaperuman di Siru Kambam menuju ke kuil Maha Kaali di Kubur Gajah. Jaraknya lebih empat puluh batu.


Pada sebelah malam, akan diadakan tayangan filem selama lima malam berturut-turut. Tayangan berkenaan merupakan satu peluang yang tidak pernah mahu dilepaskan oleh para penduduk Kubur Gajah.


Maka, selama lima malam berturut-turut, para penduduk akan duduk menghadap layar putih di perkarangan kuil Maha Kaali. Sebuah van akan datang dari bandar Taiping membawa peralatan bagi tayangan wayang gambar.


Filem yang paling mendapat sambutan adalah Veerapandiya Kattabomman di mana Sivaji Ganesan memegang peranan utama manakala Varalakshmi memegang peranan sebagai Jakkamma.


Sebuah lagi filem berjudul Sivagangai Seemai mengkhusus pada cerita selepas Kattabomman dibunuh.


“Kalau begitu, kami minta diri dulu,” Ramani meminta diri bagi pihak Raja, Malliga, Revathi dan dirinya; sekali gus mematikan rayapan minda Raja.


“Ya, silakan.”


Keempat-empat lelaki berkenaan mengangguk.


Raja, Ramani, Malliga dan Revathi melangkah meninggalkan kuil Maha Kaali. Sitambaram, James Arivalahan, Kim Seng dan Mahmood pula berjalan menuju ke rumah Sitambaram yang terletak beberapa ela sahaja dari kuil.


“Ah!” Keluh Revathi sejurus kemudian. “Kita sepatutnya telah mengadu kepada Encik James tentang tindakan Madurai Kaala tadi. Biar dipukul dengan saatei!”


“Eh, tak baik macam itu,” celah Malliga. “Kasihan lembu tu. Bukan salahnya. Tuannya yang mengasuh lembu jantan itu menjadi lembu pelaga. …”


Betul juga kata Malliga Akka, fikir Revathi dalam diam. Manusialah yang membentuk binatang dan haiwan peliharaan mereka sama ada menjadi jinak atau ganas.


“Hmm, baiklah. Tapi kalau lembu tu cuba menyerang saya sekali lagi, saya akan patahkan kakinya!”


Kata-kata Revathi segera diiringi ketawa Raja, Ramani dan Malliga. Ramani sesungguhnya terasa lega melihat pancaran kegembiraan pada wajah abang kembarnya.


Sudah lama abang tidak berkeadaan begini, fikir Ramani.


Hari sudah lewat senja semasa mereka berempat sampai di simpang jalan menuju ke rumah Malliga dan Revathi. Tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Tapi anehnya kilat memancar sekali-sekala tanpa disertai bunyi guruh.


“Ramani, hari sudah malam. Elok awak hantar Malliga dan Revathi ke rumah mereka,” Raja memberikan cadangan yang lebih merupakan sebuah arahan.


Anna nak ke mana pula?”


“Err … saya nak ke kandang lembu kita sekejap. … Err … nak pastikan pintu kandang sudah ditutup.”


“Marilah kita pergi bersama-sama,” Ramani mencadangkan.


“Tak payah. Siapa yang akan menghantar Malliga dan Revathi nanti?” Raja cepat-cepat memintas.


“Kita sama-sama menghantar mereka. Kemudian bolehlah kita berdua pergi ke kandang.”


“Tak payah. Saya akan pergi seorang diri. Awak hantar Malliga dan Revathi ke rumah masing-masing. Kemudian awak pulang ke rumah. Tunggu saya di sana. Faham?”


“Baiklah, anna,” Ramani akur dengan hati yang berat.


Ramani berlalu pergi bersama Malliga dan Revathi. Raja pula berpatah balik mengikut jalan mereka berempat datang tadi.


Di ruang matanya terbayang kuil Maha Kaali. Terbayang gambaran berhala Kaali Devi yang diperbuat daripada emas.


Langit senja di ufuk barat bermandikan darah. Trisula Dewa Shiva kembali melayang mencari mangsa! – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 21 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Sudah dimaklumkan sejak awal bahawa penulis boleh dihubungi menerusi e-mel untuk sebarang komen bagi “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012. Maka, sebarang komen selepas itu tidak akan dilayan.)