25 Nov 2011

Dilema Diaspora India dalam Cerpen

Sepanjang Persidangan Penulis Tamil Sedunia di Singapura pada 28-30 Oktober 2011, antara topik yang muncul berulang kali adalah betapa perlu karya-karya Bahasa Tamil diterjemah, khususnya ke Bahasa Inggeris.

Usaha penterjemahan ini diakui amat perlu bagi memastikan kandungan karya – termasuk “suara” dan budaya masyarakat Tamil dan diaspora India – dapat diangkat ke peringkat antarabangsa.


Sewaktu membentangkan kertas kerja mengenai Sastera Kavyan, iaitu karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan penulis kaum India di Malaysia, saya turut menyentuh keperluan menterjemah karya-karya itu ke Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris.


Dalam pada itu, sebagaimana turut diperkatakan Dr Kirpal Singh, pengarah Pusat Wee Kim Wee, Universiti Pengurusan Singapura, perhatian juga perlu diberi kepada kelompok penulis diaspora India yang menulis dalam bahasa-bahasa selain Bahasa Tamil.


Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila penulis diaspora India di seluruh dunia mampu berkarya menggunakan bahasa tempatan; khususnya bahasa utama di tempat tinggal yang kini menjadi negara mereka.


Dalam konteks di Malaysia, pengarang kaum India amat bertuah kerana mampu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa: Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.


Semasa di Singapura, secara kebetulan saya membawa bersama-sama saya buku But My House Was Here and Other Stories (2011) yang memuatkan 14 cerpen Bahasa Inggeris karya Gopalan Sellan.


Salah satu keistimewaan Gopalan adalah kemampuan beliau berkarya dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris.


Malah, bagi tujuan kumpulan cerpen ini, beliau sendiri menterjemah beberapa cerpen Bahasa Tamil yang pernah dimuatkan dalam kumpulan Inippu Manjal (2001) dan Aththarum Pugai Vaasamum (2003).


Pengarang kelahiran Estet Labu, Negeri Sembilan ini mempunyai pengalaman bekerja di ladang getah dan kelapa sawit selama 38 tahun.


Maka, tidak hairanlah segala pengalaman itu dituangkan secara penuh kreatif ke dalam cerpen-cerpen dalam kumpulan ini. Tambahan pula, ibu bapanya merupakan penoreh getah yang datang ke Tahan Melayu pada tahun 1930-an.


Cerpen sulung Gopalan tersiar dalam akhbar Tamil Murasu (13 Februari 1966) semasa umurnya 16 tahun. Sejak itu, walaupun sibuk dengan pekerjaan dan keluarga, beliau tetap memperuntukkan masa untuk menggarap pengalaman, pandangan dan kritikan sosial menerusi cerpen.


Sekali imbas, rata-rata cerpen dalam But My House Was Here and Other Stories menggunakan latar tempat di estet dan ladang atau berkisar mengenai individu yang pernah tinggal di estet.


Saya percaya bahawa pengalaman Gopalan dan isterinya, Thilaga, seorang bekas guru, turut mewarnai kisah-kisah yang disajikan menerusi kesemua 14 cerpen ini.


Pelbagai masalah, konflik dan dilema yang dihadapi beberapa generasi penduduk di estet di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dipaparkan secara terperinci menerusi cerpen-cerpen ini.


Saya juga sering merujuk buku The Malaysian Indian Dilemma (2010) dan ternyata cerpen-cerpen ini bukan rekaan semata-mata.


Cerpen yang mula-mula saya baca adalah “But My House Was Here” kerana saya dapat menduga bahawa cerpen berkenaan merumuskan dilema paling besar yang dialami kaum India yang pernah menjadi pekerja ladang dan estet.


Tekaan saya ternyata amat tepat. Cerpen itu mengisahkan watak pencerita Shamini yang sering melihat seorang wanita tua di tepi jalan tidak jauh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.


Shamini mendapat tahu bahawa wanita itu bernama Senjiammah dan dia mahu mencari rumahnya yang dikatakan terletak di Estet Parangsa.


Serta-merta saya tertanya-tanya: Mungkinkah nama itu merujuk pada Estet Perang Besar yang kemudian sudah dibangunkan menjadi Pusat Pentadbiran Persekutuan dan selamat dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 1995 sebagai Putrajaya?


Shamini mendapat tahu daripada seorang rakannya bahawa “sejak 10 hingga 15 tahun lalu, sejumlah besar ladang di Puchong, Dengkil, Nilai dan Banting dijual kepada pemaju. Ribuan pokok getah dan kelapa sawit dimusnahkan. Ribuan pekerja ladang dibuang kerja dan diarah berpindah.”


Menarik! Apatah lagi apabila diceritakan juga: “Mereka ini tidak ada rumah atau tanah. Estet itulah rumah, kampung dan masyarakat mereka. Apabila mereka yang sudah dua generasi tinggal di estet tiba-tiba diarah keluar, apakah nasib mereka?”


Kebanyakan cerpen dalam buku setebal 152 halaman ini menampilkan watak lelaki atau wanita India yang pernah bekerja di ladang. Dipaparkan pelbagai masalah dan rintangan fizikal dan emosional yang terpaksa mereka lalui pada usia lanjut.


Dalam cerpen “The Old Man and the Thief” misalnya, watak utama tinggal bersama anak lelaki dan menantu. Sesekali dia menerima kunjungan Selvam, seorang pemuda yang mengenali lelaki tua itu sejak usia kanak-kanak.


Walaupun kisah utama adalah mengenai wang RM50 yang diberikan oleh Selvam, sebenarnya ada pelbagai “kisah” lain yang tersirat di sebalik apa yang tersurat dalam cerpen ini.


Cerpen “In the Brightness of the Full Moon” juga pasti mampu membawa kenangan dan nostalgia kepada sesiapa yang pernah tinggal dan membesar di estet.


Walaupun saya tidak berasal dari estet atau ladang, saya tertarik membaca cerpen ini kerana ia “merakamkan” suasana, permasalahan dan gambaran kehidupan harian di estet.


Watak Ellammal dalam cerpen ini seorang isteri dan ibu yang garang, ganas dan suka bermabuk-mabuk. Suaminya, Singaram, serta anak-anak (khasnya Lalida, Badmini dan Vijaya) sering menjadi mangsa kemarahan dan mulutnya yang celupar.


Watak pencerita “Aku” sering mengadu kepada Kandasamy, penjaga generator yang selalu berkunjung ke rumah Singaram. Bagaimanapun, Kandasamy juga tidak berani berbuat apa-apa walaupun Ellammal ternyata mendera anak-anaknya.


Cerpen berakhir dengan insiden penuh kejutan; tetapi tetap “merakam” realiti kehidupan di ladang dan estet pada masa silam.


“Portrait of Sivaji Ganesan” lebih berupa sebuah anekdot yang merakamkan suasana kehidupan kanak-kanak diaspora India di estet dan ladang seluruh Malaysia pada sekitar tahun 1950-an dan 1960-an.


Kisahnya amat mudah, iaitu mengenai seorang budak yang begitu ingin memiliki poster bintang filem pujaannya. Sekiranya diteliti, “kegilaan” itu sebenarnya masih berterusan dalam kalangan generasi muda; cuma dalam bentuk dan cara yang berbeza.


Watak ibu dalam cerpen “After Dreams Come True” sekali lagi adalah tipa generasi tua pekerja ladang yang terpaksa “menumpang” di rumah anak-anak yang kini menetap di bandar.


Ibu berkenaan terpaksa meminta izin dan kemudian menanti belas ihsan anak lelaki dan menantu untuk pergi bertemu sahabat dan jiran lamanya, Mangalam, yang juga tinggal bersama anak lelakinya.


Sekali lagi, cerpen ini berjaya merakamkan suasana – fizikal dan mental – yang dialami oleh dua generasi yang pernah membesar di ladang dan kini “terbuang” di tempat yang asing bernama bandar.


Selain kisah-kisah yang berlaku di estet, Gopalan juga mengangkat isu-isu yang timbul dalam kalangan kaum India yang tinggal di bandar.


Cerpen “Such ‘A’ Burden” memaparkan realiti “kegilaan” ibu bapa yang mahu anak-anak mendapat 5A dalam UPSR. Anusha menceritakan tekanan fizikal dan mental yang terpaksa ditanggungnya akibat “cita-cita” ibu bapa dan datuknya.


Watak Meera dalam cerpen “Even Jillruba is No Consolation” berkongsi kesedihan setiap kali ibu bapanya bertengkar. Maka, pada suatu hari, selepas bapanya pergi ke pejabat, Meera cuba melakukan sesuatu bagi memulihkan ketegangan antara ibu bapanya.


Kedua-dua cerpen di atas – serta cerpen “Vishnu” – sesuai dibaca untuk membantu golongan dewasa memahami psikologi kanak-kanak dan remaja.


Begitu juga, cerpen-cerpen yang menampilkan ibu bapa yang tua sesuai dibaca oleh anak-anak untuk memahami psikologi orang tua.


Isu-isu tidak konvensional turut disentuh secara sangat berani oleh Gopalan. Cerpen “What My Brother Doesn’t Know” bermula dengan nada biasa mengenai watak seorang abang yang tidak mahu adik perempuannya terlalu bersosial.


Bagaimanapu, cerita yang “biasa” itu berubah menjadi sesuatu yang sukar diterima masyarakat konvensional. Ternyata, Gopalan berani mengangkat isu-isu yang dikatakan amat sensitif dalam masyarakat.


Begitu juga dalam cerpen “Scented Smoke” di mana Suriamoorthy sudah jemu dengan isterinya yang tidak berpendidikan dan kurang menjaga berat badan.


Lalu, dia tidak berfikir panjang untuk menjalin hubungan bersama Kousalya yang datang meminta bantuan pada suatu hari. Namun, tentu sahaja hidup tidak semudah yang dibayangkan.


Watak Kesavan dalam cerpen “Sweet Turmeric” pernah menyelamatkan seekor burung yang patah sayap menggunakan serbuk kunyit semasa kanak-kanak.


Namun begitu, cerpen terakhir ini membawa tema yang lebih “gelap” dan mungkin membuatkan pembaca berasa kurang tenang berhubung tindakan yang diambil oleh Kesavan pada usia dewasa.


Selepas melalui pengalaman “Portrait of Sivaji Ganesan”, “In the Brightness of the Full Moon”, “After Dreams Come True” dan “But My House Was Here”, para pembaca akan tiba di simpang dilema sebagaimana dipaparkan menerusi “Sweet Turmeric”.


Dalam kesederhanaannya, buku ini merakamkan pengalaman dan kisah suka-duka sebahagian diaspora kaum India di Malaysia.


(Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation pada 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. Artikel ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 8 November 2011.)