Bahagian Satu. Jumlah penduduk kaum India di negara ini sekitar 1.8 juta orang; dengan majoriti keturunan Tamil. Soalnya: Apakah wujud rasa sangsi terhadap kesetiaan mereka terhadap Malaysia?Sejarah membuktikan bahawa kedatangan penduduk awal kaum India adalah dari Benua Kecil India.
Tetapi bukan hanya selepas tahun 1900 seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya menerusi novel Interlok Edisi Murid.
Malah, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan, masih ramai penduduk kaum India di Malaysia dikatakan lebih berminat mengetahui perkembangan politik – selain perkembangan filem – di India berbanding perkembangan dalam negeri.
Sekelompok anak-anak muda yang lahir jauh selepas merdeka juga didapati lebih terkesan oleh perkembangan politik di India (khasnya Tamil Nadu) berbanding apa yang berlaku di dalam negara.
Tidak kurang juga yang masih menggelar serta menganggap diri mereka sebagai kelompok imigran dari India. Saya sendiri pernah mendengar ungkapan seperti itu.
Hal ini belum termasuk label “pendatang” yang dipercayai diletakkan secara penuh sedar oleh puak tertentu yang secara terancang berusaha menafikan hak kaum India sebagai warganegara Malaysia.
Di sisi yang lain pula, sekumpulan kaum India sendiri menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country).
Isu-isu ini saya perhatikan sendiri hasil pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang didengar dan diperhatikan adalah realiti pahit.
Saya ada memperkatakan isu ini menerusi sebuah tulisan di majalah Minda keluaran September 2003.
Agak menarik jika dikaji mengapa keadaan seperti ini wujud. Mungkin sahaja penelitian terhadap sejarah awal kedatangan kaum India ke negara ini boleh membantu kita untuk sama-sama memahami mentaliti dan sifat mereka pada masa kini.
Hubungan antara Benua Kecil India dan Kepulauan Melayu di nusantara sebenarnya terjalin jauh sebelum bermulanya Kerajaan Melayu Melaka.
Sejak awal kurun Masehi, sudah terdapat kerajaan-kerajaan awal seperti Srivijaya, Funan, Langkasuka, Kadaram (Kedah), Tun-Sun (Terengganu) dan Chih-Tu (Kelantan).
Kajian membuktikan bahawa kesemuanya adalah kerajaan yang dipengaruhi unsur Hindu-Budha dan budaya serta tradisi pemerintahan India.
(Malangnya, bukti-bukti sejarah itu semakin dihapuskan secara terancang oleh puak tertentu demi kepentingan politik perkauman.)
Walaupun kemudian Kerajaan Melayu Melaka menerima pengaruh Islam, unsur-unsur agama Hindu dan budaya India terus kekal dan sebati dengan budaya Melayu-Islam hingga kini.
Cuba perhatikan, teliti dan kaji budaya Melayu-Islam di Malaysia secara objektif dan hakikat ini akan terpampang jelas di depan mata.
Kedatangan orang India ke Kepulauan Melayu pada peringkat awal hanyalah sebagai pedagang. Jumlah mereka tidak ramai dan mereka tidak bercadang untuk menetap di sini.
Namun, mereka mendapat tempat istimewa daripada golongan diraja sehingga digelar “saudagar diraja”. – Bersambung DI SINI