19 Nov 2011

Bahasa: Mengapa Masih Bergelut?

Peluang menjadi pemudah cara (moderator) pada forum bertajuk “Memartabatkan Bahasa: Mengapa Kita Masih Bergelut?” di Auditorium Perpustakaan Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2011 memberi saya peluang mendalami isu itu.

Forum selama dua setengah jam menampilkan bekas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Siti Zakiah Aman dan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Encik Ishak Hamzah sebagai panelis.


Semasa memulakan forum, saya menjelaskan bahawa saya tidak akan menyenaraikan nama dan jawatan tetamu yang hadir kerana “tokoh” yang diraikan adalah “Bahasa Malaysia”.


Persoalan umum yang memang wajar timbul dalam fikiran kita adalah mengapa selepas 54 tahun negara merdeka dan selepas 48 tahun pembentukan Malaysia, kita masih bergelut dengan usaha mengangkat martabat serta kedudukan bahasa kebangsaan.


“Pergelutan” yang dimaksudkan bukan merujuk pada apa yang dialami dua panelis serta para pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG KBM) yang menghadiri forum yang dianjurkan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan.


Sebaliknya merangkumi “pergelutan” yang berlaku dalam minda dan jiwa setiap rakyat negara ini dalam menjalani aktiviti seharian; di rumah, tempat belajar, dalam masyarakat, di tempat kerja atau di mana sahaja.


Dalam membicarakan topik forum, Puan Siti Zakiah menceritakan bagaimana beliau mengekalkan jati diri sebagai seorang Melayu dari segi budaya, adat dan bahasa walaupun belajar di sekolah mubaligh dan di luar negara.


Apabila bercakap mengenai usaha memartabatkan bahasa, kita perlu juga memikirkan aspek kesantunan berbahasa. Perkara ini turut disentuh oleh beliau dan saya amat bersetuju dengan pandangan itu.


Encik Ishak pula memulakan perbincangan dengan memetik kata-kata tokoh pejuang bahasa bagi menjelaskan “pergelutan” yang wujud sejak dahulu dalam usaha murni memartabatkan bahasa kebangsaan.


Sajak “Hikayat Bahasa Melayu” yang beliau sampaikan juga membawakan mesej yang hampir sama; serta menyentuh mengenai usaha pihak tertentu memperlekeh kemampuan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu.


Memang amat menghairankan bagaimana sebuah bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mengalami nasib seperti yang sudah diketahui umum.


Dalam hal ini, saya tertarik mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan Poh Wee Chern, seorang mahasiswa jurusan sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Beliau memilih untuk bercakap mengenai perspektif kaum Cina berhubung usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menyenaraikan lapan perkara yang dikatakannya menjadi penghalang besar.


Pertama, usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dilihat sebagai usaha mengasimilasikan masyarakat Cina dengan budaya Melayu.


“Langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai merosakkan budaya kaum Cina, malah juga identiti bahasa dan agama mereka,” kata pemuda itu yang berasal dari Klang, Selangor.


Kedua, Bahasa Malaysia dilihat sebagai tidak ada nilai komersial; khususnya apabila bercakap soal bersaing pada peringkat antarabangsa.


Ketiga, katanya, “bahasa Melayu lebih bersifat keMelayuan berbanding bersifat keMalaysiaan kerana aspek-aspek bahasa dan kebudayaan etnik lain kurang diterima masuk dalam bahasa itu. Akibatnya, masyarakat Cina rasa terasing daripada bahasa Melayu.”


Keempat, kepincangan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Malaysia di mana mata pelajaran bahasa itu “dipaksakan” ke atas pelajar Kelas Peralihan sebagai bahasa pertama, sedangkan ia harus diajar sebagai bahasa kedua.


Kelima, usaha pemurnian Bahasa Malaysia yang menjadikan bahasa itu menyerupai Bahasa Inggeris. Kepincangan ini dikatakan berlaku kerana proses peminjaman kata secara berleluasa, termasuk bagi perkataan-perkataan asli yang sudah sedia ada dalam bahasa kebangsaan.


Keenam, katanya, “imej pejuang bahasa dan sastera sudah rosak dan mereka dianggap sebagai militan, golongan konservatif, golongan ekstrimis dan sebagainya kerana perbezaan pendapat dalam beberapa isu seperti PPSMI dan kontroversi novel Interlok Edisi Murid.”


Ketujuh, pada pandangan Wee Chern, masyarakat Cina dipersalahkan secara melampau, terutama dalam media arus perdana (Bahasa Malaysia), bahawa masyarakat itu sebenarnya ingin merosakkan bahasa kebangsaan.


“Sedangkan dalam konteks penggunaan bahasa Melayu, masyarakat Melayu sendiri yang tidak mampu menguasai bahasa itu dengan baik,” hujahnya.


Kelapan, katanya, kaum Melayu yang tidak menguasai bahasa kebangsaan sebenarnya “menyebarkan racun penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul” ke dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


Saya percaya, banyak juga isu “tersembunyi” yang berjaya diketengahkan oleh pemuda berkenaan secara berani untuk dibincangkan dan dibahaskan bersama secara terbuka.


Mungkin ada pihak yang kurang selesa dengan segala “tuduhan” dan kenyataan yang dikemukakan oleh Wee Chern. Bagi saya, semua perkara yang dikemukakannya masih sesuai dan selari dengan topik forum, iaitu membicarakan soal mengapa kita masih bergelut dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.


Malah, saya berpandangan bahawa lapan isu yang beliau bawakan tidak harus dilihat sebagai isu terpencil berkaitan etnik tertentu. Sebaliknya perlu diperhatikan, dibahaskan dan ditangani secara profesional sebagai isu nasional.


Hal ini amat penting dan wajar memandangkan Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini serta menjadi milik sah setiap rakyat di negara ini, tanpa mengira kaum, agama, etnik, budaya, adat dan bahasa ibunda.


Puan Siti Zakiah dan Encik Ishak cuba memberi penjelasan kepada perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Wee Chern dengan berbalik pada sejarah pembentukan Tanah Melayu, aspek jus soli dan kontrak sosial.


Ringkasnya, mereka sepakat bahawa segala isu yang dikemukakan itu adalah berkaitan persepsi masyarakat Cina sendiri terhadap Bahasa Malaysia dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


Hasil pemerhatian saya, topik forum yang dipilih oleh Perpustakaan Kuala Lumpur memang tepat dan sesuai kerana ternyata rakyat Malaysia pada pelbagai peringkat masih “bergelut” dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.


Saya bertanya kepada Puan Siti Zakiah, apakah langkah memperkenalkan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) berjaya meningkatkan kecintaan dan penghayatan bahasa dalam kalangan pelajar, sekali gus memartabatkan bahasa kebangsaan.


Katanya, apabila aspek ujian/peperiksaan dan penilaian berdasarkan skema pemarkahan digunakan, objektif asal Komsas diperkenalkan sudah tersasar.


Encik Ishak pula diminta memberikan pandangan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Soalan saya: Apakah PPSMI menjadi bukti kukuh atau sekadar satu lagi alasan untuk pihak tertentu meletakkan Bahasa Malaysia pada kedudukan lebih rendah berbanding Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu?


“Apabila belajar Sains dan Matematik, perlu ada dua pemikiran. Pertama, pemikiran bahasa yang digunakan. Kedua, pemikiran ilmu yang sedang dipelajari.


“Masalahnya, apabila tidak dapat menguasai bahasa, maka timbul masalah dalam proses pembelajaran ilmu. Dalam teori pembelajaran, cara pembelajaran yang terbaik adalah dengan bahasa ibunda,” hujah beliau.


Perlu saya ingatkan bahawa “kejayaan” memansuhkan PPSMI tidak semestinya menyelesaikan masalah seperti diharapkan pihak tertentu kerana kejayaan itu nanti adalah bagi “bahasa ibunda” dan tidak semestinya bagi “bahasa kebangsaan”.


Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 24 Oktober 2011.)