5 Oct 2011

Alamanda dan Agama Hindu di Keliki

Sejak petang 4 Oktober 2011, saya menginap di Hotel Alam Sari, Keliki, Tegallalang, Gianyar. Saya dijadual menginap di sini sehingga 8 Oktober sebelum mendaftar masuk ke hotel lain.

Bilik suite di mana saya tinggal dinamakan Alamanda. Bilik-bilik lain dinamakan Cempaka, Kemboja, Nangka, Flamboyan, Mangga, Teratai, Buganvill, Jambu dan sebagainya.


Pada petang hari pertama, saya memandang siling yang amat tinggi dan terlihat seekor cicik yang amat besar (amat, amat besar; seperti biawak). Kemudian saya sedar bahawa ia tentu sahaja sebahagian hiasan untuk menimbulkan suasana alam semula jadi.


Namun, tidak lama selepas itu, saya perhatikan cicak itu sudah bergerak ke tempat lain. Kemudian, muncul seekor lagi cicak yang juga sama besar. Hmm, bagi sesiapa yang amat suka melastik dan membunuh cicak di Malaysia, silalah datang ke Bali dan tunjukkan “kehebatan” anda membunuh cicak atas alasan apa sekali pun!


Penyesuai (adapter, pengadapsi, pencocok atau penyadur dalam Bahasa Indinesia) tersedia di Alamanda. Maka, saya tidak menghadapi masalah menggunakan komputer riba dan mengecas telefon bimbit yang hanya saya gunakan di sini sebagai kamera dan jam.


Semasa dalam perjalanan dari Hotel Alam Sari ke Hotel Mansion pada malam 4 Oktober 2011, saya berbual-bual dengan si pemandu.


Beliau bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah. Pada waktu petang dan malam, beliau memandu teksi. Katanya, gaji sebagai guru di Bali tidak cukup untuk menanggung keluarga yang terdiri daripada isteri dan tiga anak.


Beliau beragama Hindu dan berbual bersama saya mengenai adat, budaya dan agama penduduk Bali sepanjang perjalanan. Beliau berkongsi kisah mengenai mengapa Ganesha berkepala gajah. Kisahnya hampir sama dengan apa yang diketahui di Malaysia; dengan sedikit “pemurnian”.


Pak cik pemandu teksi itu – maaf, saya tidak bertanya namanya – menceritakan juga bahawa penduduk Bali menggunakan Bahasa Bali yang ada banyak pengaruh Sanskrit dari segi tulisan dan percakapan.


Bahasa Bali dan Sanskrit juga digunakan dalam mantera semasa upacara sembahyang. Bagaimanapun, ada ketua-ketua terlatih yang pakar mantera manakala orang awam hanya menghafaz sedikit doa-doa dan mantera umum seperti mantera Gayathri.


Penganut agama Hindu di Bali ternyata amat tegar dalam amalan mereka. Malah, agama dan adat disatukan. Maka, kesemuanya diamalkan sebagai budaya harian. Perkara ini mungkin berbeza dalam kalangan penganut agama Hindu di Malaysia, misalnya, di mana mungkin sahaja “agama Hindu” dilihat secara berasingan dengan “adat/budaya India”.