4 Oct 2011

Berjalan-jalan di Jalan Raya Ubud

Pada sekitar pukul 12:30 tengah hari, 4 Oktober 2011, saya keluar dari bilik di Honeymoon Guesthouse menghadap Jalan Bisma dan berjalan-jalan sepanjang jalan itu.

Ternyata begitu banyak bangunan yang mengekalkan unsur tradisi Hindu-Bali yang wajar dihayati. Tentu sahaja saya tidak melepaskan peluang merakam foto menggunakan telefon bimbit Nokia XpressMusic.


Saya berjalan hingga simpang tiga dan membelok kanan masuk ke Jalan Campuhan. Pelancong dan peminat barangan antik dan bangunan tradisional pasti terpesona menyaksikan apa yang terdapat di sepanjang jalan ini.


Ada begitu banyak pintu gerbang yang menempatkan patung dewa Hindu; khususnya Ganesha. Di hadapan hampir setiap rumah dan kedai juga ada tempat puja bagi dewa pengawal.


Saya berjalan terus sepanjang Jalan Raya Ubud sambil menyaksikan segala keunikan yang terdapat di sini da merakam foto. Kalau boleh, setiap apa yang diliha mahu dirakam sebagai kenangan!


Terdapat juga banyak pura (kuil) sepanjang jalan ini. Ternyata amalan agama Hindu amat kuat di sini; walaupun pasti sahaja amalan di sini berbeza dengan apa yang menjadi amalan dalam kalangan penganut agama Hindu di Malaysia.


Apabila berjalan sepanjang Jalan Raya Ubud, kelihatan Pasar Ubud yang menjual pelbagai cenderamata. Saya melihat-lihat sahaja kerana mungkin hanya akan membeli cenderamata pada hari terakhir di sini.


Terdapat Jalan Monkey Forest yang menuju ke Monkey Forest. Selepas itu ada Jalan Gootama yang membuktikan pengaruh Buddha. Seterusnya Jalan Hanoman yang kemudian bersimpang dengan Jalan Dewi Sita dan Jalan Monkey Forest.


Simpang seterusnya adalah Jalan Sugriwa, diikuti simpang Jalan Jembawan. Sesiapa yang gemar/pernah membaca Ramayana (atau mana-mana versi adaptasi) pasti mengenali nama-nama ini.


Saya masuk ke Jalan Hanoman dan berjalan entah beraa jauh sebelum berpatah balik dan masuk ke Jalan Raya Ubud, menuju semula ke Jalan Bisma.


Dalam perjalanan, saya singgah makan di sebuah restoran masakan Bali. Ada sedikir nasi, dua cucuk sate, sepotong ikan, seketul daging ayam, sedikit sayur dan keropok. Saya tidak tahu namanya tapi memang sedap dan menyelerakan. Bayangkan kata-kata ini datang daripada seorang individu yang tidak suka makan!


Sebaik pulang ke Honeymoon Guesthouse, saya dimaklumkan bahawa saya perlu mendaftar keluar. Mujur saya tidak mengeluarkan pakaian dari dalam beg!


Jam 3:15 petang, van datang membawa saya ke Hotel Alam Sari, Tegallalang, Gianyar. Kalau suasana di Honeymoon Guesthouse amat memikat, suasana di hotel ini lebih menarik! Apatah lagi saya tinggal di sebuah rumah kecil dikelilingi taman. Suasana aman damai dikelilingi hutan amat menyamankan.


Dengan bantuan petugas hotel, saya menghubungi Janet DeNeefe, pengasas dan pengarah Ubud Writers & Readers Festival. Beliau meminta saya pergi ke Hotel Mansion pada jam 7:30 malam untuk jamuan makan malam rasmi.