6 Oct 2011

Acara Sudah Bermula!

Selepas bangun pada jam 7:00 pagi, 5 Oktober 2011 dan bersiap, saya bersarapan di kafe Hotel Alam Sari. Seorang wanita Inggeris kelihatan terpinga-pinga.

Kemudian dia bertemu sepasang orang Inggeris di meja sebelah dan bertanya sama ada mereka peserta Ubud Writers & Readers Festival. Mereka berdua terpinga-pinga kerana ternyata mereka bukan peserta festival berkenaan.


Kemudian, wanita itu memandang saya dan saya mengangguk; mengiakan. Lalu kami berbual. Namanya Martine Murray, penulis dari Melbourne, Australia. Dia mengaku tidak tahu perlu ke mana dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Nampaknya hanya kami berdua ditempatkan di Hotel Alam Sari.


Kami sepakat untuk bertemu pada jam 11:30 pagi kerana saya sudah menampah van untuk ke tempat acara berlangsung. Barulah Martine lega sedikit.


Saya kembali ke bilik dan duduk di anjung sambil memblog serta memuat naik foto di Facebook.


Pada jam 11:30 pagi, saya dan Martine menaiki van menuju ke Taman Bebek. Rodaan Al Galidi, penulis kelahiran Iraq yang kini tinggal di Belanda, sudah memberitahu saya semalam supaya pergi menjemputnya; kerana dia juga tidak tahu ke mana perlu dituju.


Akhirnya, kami bertiga pergi ke Green Room berdekatan Hotel Indus untuk mendapatkan buku program dan pelbagai maklumat lain. Kebetulan, penyelaras kami, Tim Countis, wartawan dan penulis dari Amerika Syarikat, ada di sana.


Kebetulan juga, Tim adalah penyelaras bagi kami bertiga. Maka, memudahkan kerja. Kami juga sempat bertemu beberapa lagi petugas festival. Memang sukar untuk mengingat nama kesemua mereka.


Saya juga akhirnya berpeluang bertemu Jeni Caffin, individu yang sentiasa menghubungi saya menerusi e-mel bagi urusan festival ini. Pengasas dan pengarah festival, Janet De Neefe pula sudah saya temui pada hari sebelumnya.


Memandangkan buku program sudah diperoleh, mudahlah untuk merancang, memilih dan memutuskan acara mana yang mahu disertai; selain daripada acara-acara di mana saya terlibat secara langsung. Begitu banyak acara di beberapa tempat dan amat sukar untuk membuat pilihan!


Martine, Rodaan dan saya juga berbual-bual bersama Tim dan Dave di Warung Pulau Kelapa. Pada sekitar jam 1:20 tengah hari, kami makan tengah hari sambil berbual-bual. Dave sudah hampir lapan tahun tinggal di Bali manakala Tim pula sekitar lima tahun.


Selepas itu, Martine, Rodaan dan saya berjalan menuju ke Jalan Raya Ubud, iaitu kawasan di mana saya menginap pada 4 Oktober. Perjalanan yang menyeronokkan juga kerana kami berpeluang melihat suasana di sekeliling.


Kami berjalan-jalan sekitar Jalan Raya Ubud. Ternyata kami sampai awal di Ubud Palace dan kelihatan persiapan sedang dilakukan bagi acara pada jam 5:30 petang nanti.


Sekitar jam 4:00 petang, kami memutuskan untuk pergi berurut. Puspa Angga Salon & Spa menawarkan Balinese Massage pada harga Rp60.000 sejam. Sepanjang sesi mengurut, Rodaan tidak berhenti daripada membuat lawak.



Jam 5:30 petang, kami ke Ubud Palace di mana acara pembukaan festival berlangsung. Saya berpeluang bertemu Kunal Basu, mengarang cerpen “The Japanese Wife” yang sudah dijadikan filem. Tentu sahaja saya berasa amat bangga dapat bertemu beliau. Ternyata beliau tidak sombong dan senang diajak berbual.


Saya juga disapa Iyut Fitra yang pernah saya temui semasa menyertai Program Penataran Mastera di Bogor pada 1997. Sebagai tanda kenangan, saya berikan buku Kathakali dan Rudra Avatara.


Sharon Bakar juga ada di sana. Kami hanya sempat bertemu selesai acara sekitar jam 7:00 malam. Maka, kami berjalan menuju ke Casa Luna bagi jamuan makan malam.


Sharon, Martine, Rodaan dan saya duduk semeja. Kami makan sambil berbual-bual. Sharon menceritakan sedikit pengalamannya menyertai Ubud Writers & Readers Festival bersama-sama Dina Zaman beberapa tahun lalu.


Selepas bertemu dan berbual-bual bersama beberapa penulis, saya menghubungi Hotel Alam Sari untuk menguruskan pengangkutan pulang.


Van tiba sekitar jam 9:15 malam. Maka Martine dan saya pulang ke hotel kami. Kami akan bertemu semasa sarapan pada jam 9:00 pagi esok sebelum memulakan perjalanan aktiviti seterusnya.