6 Oct 2011

Ritual vs Spiritual

Semasa bersarapan pada jam 9:00 pagi, 6 Oktober 2011 di Hotel Alam Sari, Martine Murray memaklumkan bahawa kad kreditnya tercicir. Wanita muda di kaunter depan sangat memahami dan tampil membantu dengan menghubungi bank di Bali, kemudian di Jakarta, dan kemudian di Melbourne untuk membantu melakukan apa yang perlu.

Memandangkan wanita muda di kaunter itu menyatakan dia amat minat membaca, maka saya hadiahkan senaskhah Kathakali dan Rudra Avatara.


Pada jam 10:45 pagi, saya menaiki van menuju ke tempat Ubud Writers & Readers Festival. Pemandu van bernama Dewa dan dia sudah bekerja sebagai pemandu selama 15 tahun.


Sepanjang perjalanan, Dewa menceritakan – antara lain – bahawa “Dewa” adalah nama keluarganya. Sistem catur wangsa yang diamalkan penduduk Hindu-Bali tidak sama dengan sistem kasta yang berasal dari India. Lalu diceritakannya perkara itu sambil saya membuat sedikit catatan.


Dewa juga menceritakan bahawa pemerintah mensyaratkan penduduk Hindu-Bali hanya boleh mempunyai dua anak. Namun, katanya, ilmu yang dipelajari menerusi Kamasutra sejak zaman berzaman membantu mereka menikmati keintiman alam perkahwinan sambil memastikan hanya ada dua anak.


Malah, katanya, penduduk Hindu-Bali bukan mementingkan kuantiti (jumlah) anak, tetapi kualiti anak-anak. Anak-anak belajar dan bermain. Golongan pemuda/dewasa bekerja untuk mendapatkan wang. Golongan tua (lebih 55 tahun) selalunya kembali mengerjakan sawah milik keluarga.


Hal ini menjadi amalan kerana penduduk Hindu-Bali mahu sentiasa bersatu dengan alam, selain mementingkan aspek keseimbangan dan harmoni. Anak-anak bersekolah bukan untuk belajar menjadi pandai sahaja, tapi apa yang lebih penting adalah belajar untuk jadi orang baik.


Penduduk di Bali – khasnya Ubud – mengenal internet tetapi tidak pula meninggalkan amalan tradisi. Perkara ini amat menarik pada pandangan saya. Adat dan budaya Hindu-Bali mementingkan keseimbangan dalam segala aspek kehidupan.


Menurut Dewa, walaupun dua insiden letupan bom berlaku di Bali, penduduk di sini tidak mendendami sesiapa. Sebaliknya, mereka cuba melihat semua kejadian dengan positif. Misalnya, kematian adalah sebahagian proses kehidupan; maka mereka memilih untuk tidak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan kematian dalam insiden letupan bom itu.


Penduduk Hindu-Bali juga melihat semua agama di dunia ini sebagai agama yang menyeru kebaikan. Maka, tidak timbul langsung keperluan untuk memperlekeh agama-agama lain. Agama Hindu tidak pernah mengatakan ia agama terbaik dan agama lain “salah”.


Dewa memberikan beberapa contoh untuk menerangkan konsep-konsep itu yang memang benar mengenai agama Hindu. Saya mungkin perlu menulis artikel khusus mengenai perkara-perkara itu.


Dia juga menjelaskan bahawa agama Hindu dalam kalangan penduduk Bali bukan berciri ‘religious’ atau ‘ritual’ tetapi berciri ‘spiritual’.


Van tiba di hadapan Left Bank Lounge pada jam 11:10 pagi dan saya segera merakam foto Dewa sebelum bergegas masuk ke tempat acara berlangsung.