6 Oct 2011

Out of India

Saya tiba di Left Bank Lounge, Jalan Raya Sanggingan, Ubud pada jam 11:10 pagi, 6 Oktober 2011 – terlewat 10 minit bagi mengikuti sesi “The Japanese Wife” yang menampilkan Kunal Basu. Mujurlah saya tidak tertinggal banyak topik perbincangan.

Kunal yang sudah menghasilkan novel-novel The Opium Clerk, The Miniaturist, Racists dan The Yellow Emperor’s Cure menceritakan bagaimana beliau mendapat idea bagi cerpen “The Japanese Wife” yang sudah difilemkan.


Beliau mengakui bahawa kebanyakan idea bagi cerpen dan novelnya muncul secara spontan dan dalam situasi serta tempat-tempat yang tidak dijangkakan.


“Hidup saya amat membosankan. Bagaimanapun, saya suka menulis mengenai perkara-perkara yang saya tidak ketahui,” katanya.


Menjawab pertanyaan mengapa beliau menulis dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Bengali yang merupakan bahasa ibundanya, Kunal menjelaskan bahawa beliau bermula dengan karya-karya Bahasa Bengali sebelum beralih kepada Bahasa Inggeris.


Salah seorang hadirin bertanya sama ada kisah seperti dalam cerpen “The Japanese Wife” masih sesuai pada masa kini dengan adanya mediaum komunikasi seperti e-mel dan Facebook.


Kunal menyatakan bahawa walaupun ada banyak bandar yang maju di India, kebanyakan kawasan kampung dan pedalaman masih amat mundur dan terlalu jauh dari teknologi seperti telefon bimbit dan internet. Maka, komunikasi menggunakan surat seperti dalam cerpen “The Japanese Wife” masih berlaku hingga hari ini.


Ditanya mengenai tujuan beliau menulis, pengarang kelahiran India itu menyatakan: “Saya menulis untuk menghiburkan diri sendiri. Jika orang lain turut terhibur membaca apa yang saya tulis, bagus sekali.”


Selesai acara di Left Bank Lounge, saya berjalan ke Neka Art Museum yang terletak tidak jauh dari sana. Sesi “Indigenous Voices: Longing and Belonging” menampilkan Dr Anita Heiss dari Australia, Albert Wendt dari New Zealand dan Putu Wijaya dari Indonesia yang masing-masing membicarakan mengenai karya oleh dan karya mengenai penduduk asli.


Putu Wijaya yang lahir di Bali dalam keluarga Hindu menceritakan bagaimana pada awalnya beliau tidak mahu meletakkan identiti “Bali” pada dirinya tapi akhirnya menerima keunikan itu sebagai sebahagian daripada dirinya. Walau bagaimanapun, karya-karyanya menampilkan watak tanpa nama dan tempat tanpa nama kerana beliau mahu karya-karyanya bersifat universal dan lebih “dekat” dengan mana-mana pembaca.


Anita pula menjawab salah satu soalan hadirin dengan menekankan bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya seorang pengarang yang bukan daripada kaum asli cuba menulis mengenai komuniti itu. Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab penulis untuk memastikan bahawa dia mendapat fakta yang betul sebelum menulis.


Pada jam 1:15 tengah hari, saya berjalan ke Left Bank Lounge dan berpeluang bertemu Sharon Bakar. Kami berbual-bual sambil makan. Kemudian, saya berjalan semula ke Neka Art Museum.


Di sana, saya disapa Yogira Yogaswara, seorang wartawan dari Jakarta dan kawannya. Beliau mengenali saya dan kami berbual-bual pelbagai perkara berkaitan sastera di Malaysia dan Indonesia.


Pada jam 3:00 petang, saya mengikuti sesi “Out of India” yang menampilkan Kunal Basu, Dipika Rai dan Aneesha Capur. Dipika yang berasal dari India dan kini tinggal di Bali; Aneesha yang lahir di India tetapi membesar di Kenya; serta Kunal yang lahir dan membesar di India berkongsi pelbagai perkara menarik mengenai penulis oleh pengarang dari India.


Dipika menyatakan bahawa dia tertarik pada “the ability to dream in colour” dalam kalangan penduduk India. Aneesha pula mengakui “there’s such an appreciation for books in India. ... everyone’s reading”. Kunal pula merumuskan: “I’m very fortunate to be born in India.”


Apabila Fiona Caulfield selaku pemudah cara menyenaraikan beberapa “pengarang hebat India” (“great Indian writers”) yang kini tinggal di luar negara dan terkenal menerusi karya Bahasa Inggeris berlatarkan India, Kunal tampil membetulkan fakta.


Menurut Kunal, ada ramai “pengarang hebat India” yang masih tinggal di India dan menulis dalam bahasa-bahasa tempatan (Tamil, Bengali, Malayalam, Telegu dan sebagainya). Karya mereka tidak kurang hebat berbanding karya yang ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh pengarang India.


Topik ini agak menarik untuk dibandingkan pula dalam konteks kesusasteraan di Malaysia. Mungkin saya perlu menulis mengenai topik ini dalam masa terdekat.


Pada jam 4:15 petang, berlangsung pula sesi “Well, Isn’t It Funny! The Bitter with the Sweet” yang dipengerusikan Nury Vittachi dan menampilkan Corinne Grant (Australia), Rodaan al Galidi (Iraq/Belanda) dan Shehan Karunatilaka (Sri Lanka). Pasti sahaja sesi ini dipenuhi gelak tawa!


Saya menaiki van menuju ke Hotel Alam Sari pada jam 6:00 petang, sewaktu hujan mula turun. Pemandu van berhenti sebentar di MyDen untuk saya membeli ayam goreng sebagai makan malam.


Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, si pemandu yang berasal dari Denpasar menceritakan perbezaan nyata antara Ubud dan Denpasar/Kuta; khususnya dari segi alam semula jadi dan budaya masyarakat. Juga perbandingan agama Hindu di India dan Bali.


Beliau turut menasihatkan saya melawat kampung-kampung di sekitar Hotel Alam Sari untuk menikmati pengalaman yang sukar dilupakan. Si pemandu itu juga menceritakan mengapa penduduk Hindu-Bali (khususnya di Ubud) tidak menebang pokok; sebaliknya menanam pokok di dalam rumah.


Apabila pulang ke hotel, saya mandi dan makan malam sebelum memblog bagi merakamkan secara ringkas pengalaman hari ketiga di Ubud. Mungkin catatan lebih panjang dan terperinci akan menyusul apabila pulang ke tanah air.