Oh, ya! Dalam faksyen ini, anda perlu mengandaikan bahawa anda sedang membaca kisah ini selepas keputusan SPM diumumkan pada 2012; iaitu setahun selepas novel Interlok edisi murid diperkenalkan di sekolah-sekolah seluruh Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Zon 2).
Seperti yang anda sedia maklum, hanya perkataan “Paria” dipinda dalam novel itu sebelum dikekalkan sebagai teks wajib walaupun Panel Bebas pada 4 Mac 2011 dilaporkan sudah memperakukan secara konsensus cadangan pindaan sebelum diserahkan kepada Menteri Pelajaran waktu itu.
Maka, pada suatu hari, semua pelajar di Zon 2 diarah membawa novel Interlok edisi murid ke sekolah. Khabarnya ada beberapa pelajar di Klang yang datang dengan tangan kosong kerana novel yang diberi melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sudah “musnah” (dibakar pada 8 Januari 2011?) atau hilang.
Ada juga beberapa pelajar yang datang dengan tangan kosong kerana awal-awal lagi, novel itu sudah diamanahkan oleh ibu bapa pelajar terbabit kepada pengetua sekolah untuk “disimpan sahaja khazanah ini di dalam almari besi di sekolah agar tidak musnah dimamah api perkauman”.
Dengan andaian bahawa anda sedang membaca faksyen ini pada sekitar Mac 2012, maka saya anggap anda sudah sedia maklum mengenai dua insiden yang saya ceritakan pada kedua-dua perenggan di atas.
Apa pun, pada suatu hari, pelajar di Zon 2 diarah membawa novel Interlok edisi murid ke sekolah. Begitu juga di sekolah saya. Sebagai pelajar yang akur dan patuh pada arahan Kementerian Pelajaran, kami membawa buku itu yang selama ini dibalut plastik dan disimpan kemas di dalam laci di rumah.
Para pelajar berdiri tegak dan meletakkan novel Interlok edisi murid di atas meja; dan novel dibuka pada halaman 211.
Kemudian, dengan penuh adat istiadat, para guru yang anggun dan segak mula bergerak dari meja ke meja – umpama memeriksa perbarisan tentera diraja.
Para pelajar diarahkan menutup mata sementara guru yang diberi amanah mendidik anak bangsa mula menggunakan pena khas berdakwat hitam untuk memotong frasa “kasta Paria” yang menjadi kontroversi utama sejak Disember 2010.
Maka, apabila kami (para pelajar) membuka mata sejurus kemudian, kami sedar bahawa kami sedang berada di sebuah dunia yang berlainan.
Bukan lagi sebuah dunia penuh kontroversi, demonstrasi, perkauman, penghinaan dan penindasan. Sebaliknya, di sebuah dunia yang aman damai; dan benar-benar memenuhi gagasan 1Malaysia yang terhasil daripada keringat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ringkasnya, pada tarikh keramat itu – yang pasti sahaja akan terakam dalam sejarah negara – segala satu masalah yang tercetus di seluruh negara berikutan penggunaan novel Interlok edisi murid selesai seratus peratus.
Pelajar dan guru kaum Melayu, Cina dan India mula berpelukan dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati! Turut berpelukan adalah pelajar bukan Melayu-Cina-India, khususnya dari Sabah dan Sarawak yang belajar di sekolah-sekolah Zon 2.
Tentu sahaja setiap satu media milik (atau dikuasai) Kerajaan membuat liputan meluas peristiwa ini.
Banyak juga iklan semuka yang disiarkan di akhbar-akhbar perdana dan tabloid untuk merakamkan tahniah kepada Menteri Pelajaran waktu itu kerana berjaya menyelesaikan kontroversi berhubung novel Interlok edisi murid dengan penuh kejayaan; walaupun selepas tiga wakil kaum India “berundur” daripada Panel Bebas berikutan “salah faham” yang berlaku semasa perjumpaan pada 16 Mac 2011.
Perdana Menteri juga khabarnya tersenyum bangga kerana timbalannya berjaya menzahirkan 1Malaysia dalam sekelip mata sedangkan PM sendiri sebelum itu mengakui masih sukar walaupun selepas beberapa tahun menjadi PM.
Bayangkan! Hanya sebatang pena khas berdakwat hitam berjaya memberi sentuhan magis bagi menyelesaikan masalah nasional!
Tidak seorang pun manusia yang hidup atau yang pernah hidup menimbulkan apa-apa masalah atau mempersoalkan penggunaan novel Interlok edisi murid selepas “pindaan” dilakukan pada frasa “kasta Paria”.
Maka, formula Malaysia dalam menyelesaikan isu berkaitan etnik dan penduduk minoriti mula menjadi ikutan negara luar. Atau begitulah yang saya dengar melalui beberapa pihak dan beberapa media.
Maka, terhasil juga pelbagai karya sastera (cerpen, sajak, novel, drama, hikayat dan sebagainya) untuk merakamkan kejayaan Malaysia menyelesaikan kontroversi novel Interlok edisi murid.
Malah, faksyen yang sedang anda baca ini juga merupakan salah satu karya yang dihasilkan untuk merakamkan kejayaan itu, supaya generasi akan datang boleh membaca, menghayati dan berbangga atas kejayaan generasi (baca: pemimpin negara) terdahulu.
Oh, ya! Seperti yang saya nyatakan pada bahagian awal faksyen ini, saya salah seorang pelajar di Selangor yang menduduki peperiksaan SPM 2011 dan mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia; termasuk dalam Komsas.
Sebenarnya, bukan hanya saya. Malah, ramai rakan-rakan pelbagai kaum turut mendapat keputusan cemerlang.
Begini rahsianya. Selepas mendapat sentuhan pena magis dalam majis penuh adat istiadat pada tahun lalu, para pelajar pelbagai kaum membawa pulang novel Interlok edisi murid dan menyimpannya baik-baik di dalam peti besi berkunci.
Kemudian, kami membeli beberapa buku panduan Komsas yang diterbitkan khas bagi Zon 1, Zon 3 atau Zon 4. Kami menghafaznya dari kulit ke kulit. Kami langsung tidak perlu membaca mana-mana novel berkenaan kerana buku panduan di pasaran serta panduan di ruang siber amat lengkap dan komprehensif.
Semasa kelas Bahasa Malaysia di sekolah, kami berpura-pura mendengar kisah Maniam, Cing Huat dan Seman yang diceritakan oleh guru dengan penuh dedikasi.
Semasa menduduki peperiksaan SPM 2011, kami tidak menjawab soalan bahagian Komsas berdasarkan novel Interlok edisi murid.
Sebaliknya, kami menjawab berdasarkan novel Kembara Amira (Zon 1), Sutera Dalam Lukisan (Zon 3) dan Kabus Di Perbukitan (Zon 4). Kami hanya perlu memuntahkan apa yang dihafaz dari buku-buku panduan dan maklumat di Internet.
Demikian rahsia saya mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia; termasuk dalam Komsas.
Sekian, terima kasih dan Salam 1Malaysia.
* Uthaya Sankar SB tidak menolak kemungkinan ada lebih 100 kesalahan dalam faksyen ini tetapi tidak membenarkan apa-apa diubah. Satu-satunya pindaan yang diizinkan atas dasar “sedia berkorban” adalah menukar “Menteri Pelajaran waktu itu” kepada “Menteri Pelajaran”. – Free Malaysia Today, 21 Mac 2011. Bandingkan dengan “pelekat ajaib” [DI SINI] yang digunakan pada Jun 2011.