Perkara yang menjadi isu adalah berkaitan soal hak cipta, harta intelek dan hak royalti pengarang yang dinafikan oleh penerbit yang ternyata tamak dan mahu mengaut untung atas titik peluh orang lain.
Apa yang lebih menghairankan adalah bahawa ada pihak yang tergamak menghubungi beberapa penulis dan “menasihatkan” mereka supaya tidak menceritakan apa-apa kepada saya!
Dalam situasi ini, saya segera teringat akan dua pengalaman: satu berkaitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala satu lagi pengalaman bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
Sewaktu menghadiri “Majlis Pertemuan Timbalan Perdana Menteri Dengan Sasterawan Malaysia & Pelancaran Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia” di Hotel Shangri-La, Putrajaya pada 19 Mei 2009, saya tidak pula menduga bahawa salah sebuah cerpen saya turut diterjemah dan dimuatkan dalam satu daripada 28 buku yang dilancarkan.
Lalu, saya mengirim e-mel rasmi untuk menyatakan bahawa ITNM sepatutnya memaklumkan kepada penulis terbabit sebelum karya diterjemah dan diterbitkan. Perkara sama turut saya nyatakan di blog.
Mereka berdua menerangkan kepada saya apa yang sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan ada karya diterjemah dan diterbitkan tanpa makluman kepada pengarang asal.
Suatu lagi pengalaman adalah pada 6 Jun 2011 apabila saya mewakili seorang penulis penting tanah air, Azman Hussin, untuk mengadakan perbincangan bersama Pengarah Jabatan Penerbitan DBP berhubung sebuah cerpennya yang “tercicir” daripada antologi khas bagi cerpen-cerpen yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Kisah bermula pada 24 Mei lalu apabila Azman membeli antologi Cinta Sekerdip Embun (DBP: 2010) tetapi terkilan kerana cerpennya – “Tahun Depan di Jurusalem” – yang menang kategori cerpen dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/03 tidak termuat dalam antologi itu.
Azman memberi izin bertulis kepada saya untuk mewakili beliau dalam pertemuan itu dan kisahnya ada disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Jun lalu.
Apa yang menarik, Puan Norimah Bajuri selaku Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP menghubungi saya melalui e-mel dan mengatur pertemuan bersama Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Encik Abdul Khalik Sulaiman. Turut hadir, Ruslan Abdul Raffar yang terlibat sama dalam penyelenggaraan antologi Cinta Sekerdip Embun. [BACA LAGI DI SINI]
Perbincangan kami berlangsung dalam suasana tenang dan profesional. Pelbagai perkara dibincangkan secara baik dan terbuka demi mencari penyelesaian positif terhadap isu yang dihadapi.
Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan yang menulis “Pengenalan” bagi antologi berkenaan turut memberi kerjasama dalam usaha murni menyelesaikan isu secara baik dan beretika.
Kedua-dua pengalaman itu membuktikan sikap profesional yang diamalkan oleh pihak terbabit dalam usaha meleraikan kekusutan dan mencari penyelesaian kepada apa-apa masalah yang dihadapi.
Bayangkan jika Pengarah Urusan ITNM tidak mahu berbincang dengan saya (selaku penulis terbabit) apabila timbul masalah berhubung antologi Sea of Rainbows.
Bayangkan juga jika Pengarah Jabatan Penerbitan DBP tidak mahu berbincang dengan saya (selaku wakil sah kepada penulis terbabit) apabila timbul isu berkaitan antologi Cinta Sekerdip Embun.
Sikap profesional dan etika penerbitan yang ditunjukkan oleh pihak terbabit dalam kedua-dua situasi di atas membuktikan bahawa masih ada pihak yang mengambil berat soal hak cipta, harta intelek dan hak moral golongan penulis.
Malangnya, situasi yang berlainan pula berlaku apabila Kavyan mula “membongkar” isu berkaitan beberapa penulis yang dinafikan hak royalti dan hak cipta berikutan karya mereka terpilih sebagai teks Komsas.
Sejak Januari lalu, apabila Kavyan bertegas meminta novel Interlok Edisi Murid dimurnikan – termasuk mencetak nama pengarang pada kulit buku dan hak cipta karya dikembalikan kepada pengarang – terdapat usaha mensabotaj perjuangan itu.
Misalnya, ada pihak yang menghubungi rakan-rakan penulis di Facebook dan “menasihatkan” mereka supaya mengeluarkan saya daripada senarai sahabat di laman rangkaian sosial itu; selain meminta mereka memboikot segala aktiviti yang ada kaitan dengan saya dan Kavyan.
Sejak seminggu lalu, ada pula pihak yang menghubungi beberapa penulis dan “menasihatkan” mereka supaya tidak menceritakan kepada saya mengenai apa-apa kekurangan atau isu hak cipta dan royalti berkaitan teks Komsas.
Aneh! Pihak inilah juga yang hanya berpeluk tubuh apabila nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) tidak dicetak pada kulit depan Interlok Edisi Murid dan hak cipta novel berkenaan tidak lagi atas nama Pak Lah.
Malah, pihak inilah juga yang bersikap “lepas tangan” apabila dihubungi beberapa penulis yang mengadu hak royalti dan hak cipta mereka dinafikan walaupun karya mereka terpilih menjadi teks Komsas.
Pegawai yang sempat saya hubungi di Kementerian Pelajaran pula mengatakan bahawa pihaknya “tidak ada kuasa” untuk mengambil tindakan terhadap penerbit walaupun “terbukti penulis teraniaya”.
Akhirnya, penerbit yang tidak beretika terus menghisap darah penulis yang tidak bermaya. Ada juga penerbit yang dengan angkuh memberitahu saya bahawa mereka “tak kisah” dan “tidak takut” kerana mereka “ada peguam” dan “sokongan kementerian”.
Golongan penulis pula nampaknya hanya perlu berdiam diri melihat hak mereka dirampas kerana mereka “tidak ada peguam” dan “tidak ada sokongan kementerian”.
Pada saat-saat begini, betapa saya merindui sikap profesional dan penuh beretika seperti ditunjukkan oleh Pengarah Urusan ITNM dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP!
(Uthaya Sankar SB, The Malaysian Insider, 22 Ogos 2011)