Tuesday, 30 November 2010

Kita Sengaja Lupa

Dalam banyak perkara, kita sengaja memilih untuk lupa atau pura-pura lupa. Berikut sekadar beberapa contoh spontan bagi menjelaskan perkara ini.

Kita sering berkata dan melaksanakan hak untuk memiliki lebih daripada seorang isteri. Akan tetapi, kita sengaja memilih untuk lupa bahawa bersama-sama hak itu ada pelbagai tanggungjawab. Misalnya, tanggungjawab berlaku adil kepada setiap isteri dan setiap anak daripada setiap isteri berkenaan. Juga bahawa kita hanya berhak memiliki lebih daripada seorang isteri sekiranya kita memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.


Namun, kita memilih untuk sengaja lupa atau pura-pura lupa hal-hal berkaitan tanggungjawab; sebaliknya hanya bercakap soal hak.


Kita sering marah apabila orang lain tidak menyediakan makanan dan minuman mengikut kehendak kita. Kita memarahi mereka kerana tidak memahami dan tidak menghormati agama kita yang tidak membenarkan kita makan, misalnya, binatang itu dan binatang ini.


Namun, apabila tiba giliran kita untuk menyediakan makanan dan minuman untuk mereka, kita mengandaikan bahawa mereka akan makan dan minum segala apa yang kita makan dan minum. Kita tidak ambil kisah jika mereka tidak makan, misalnya, binatang itu dan binatang ini.


Kita memilih untuk memperjuangkan hak kita untuk difahami dan dihormati oleh mereka tetapi kita lupa akan tanggungjawab kita untuk memahami dan menghormati mereka.


Kita sering bercakap tentang hak kita yang dilindungi Perlembagaan Pulau Cinta. Kita menuntut supaya peruntukan itu dipatuhi sepenuhnya oleh semua. Sesiapa yang mempersoalkan atau membahaskan perkara seperti itu dianggap pengkhianat.


Namun, kita lupa bahawa Perlembagaan Pulau Cinta juga secara jelas menyebut bahawa golongan yang menuntut hak itu perlulah terdiri daripada kelompok yang mengamalkan agama tertentu (bukan sekadar pada nama), mengamalkan budaya tertentu (bukan sekadar pertunjukan fesyen di pentas), bercakap bahasa tertentu (bukan sekadar berpura-pura mencintai bahasa itu).


Malah, kita memilih untuk melihat pada hanya satu peruntukan dalam Perlembagaan Pulau Cinta tanpa melihatnya secara keseluruhan. Alasannya mudah sahaja: Kitalah tu(h)an di Pulau Cinta!

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!