Selepas itu, peserta dipecahkan dalam kumpulan dan diminta menyenaraikan apa sahaja keistimewaan yang terdapat di Tawau. Guru-guru turut terlibat bersama murid dan pelajar dalam perbincangan berkumpulan.
Hasil pembentangan cukup meriah dan amat menarik. Peserta membentangkan sekurang-kurangnya 53 keistimewaan yang terhadap di Tawau. Tujuan utama latihan ini diadakan adalah untuk menyedarkan peserta (bakal penulis) bahawa terdapat begitu banyak perkara menarik dan istimewa di Tawau yang boleh diangkat dalam karya.
Tugasan seterusnya bagi peserta adalah untuk mengumpul maklumat mengenai watak dan perwatakan seorang individu, sama ada individu yang benar-benar wujud atau rekaan atau gabungan fakta dan imaginasi.
Pada pukul 10:00 pagi, saya bersama-sama Jumiati, Red dan Rosdiana Jerai ke bandar Tawau; atau Red gemar menyebutnya sebagai pekan Tawau kerana katanya tidak jauh berbeza dengan kampungnya, pekan Kajang!
Dalam perjalanan itu, saya terkenang akan Allahyarham Dr Othman Puteh. Beliau juga sering ke Sabah (dan juga ke negeri-negeri lain) untuk mengendalikan bengkel penulisan. Tentu arwah juga diberi layanan istimewa dan disambut sebagai tokoh istimewa di Sabah. Kini, saya memahami antara lain sebab arwah suka ke Sabah dan Sarawak. Penulis dan ilmu memang lebih dihargai di sini berbanding di Lembah Klang; atau mungkin semua ini andaian saya sahaja.
Kami berempat ke Sekolah Kebangsaan Kinabutan Besar yang diwujudkan pada 1948 dan berpindah ke lokasi sekarang pada 1962. Jika sekolah seperti ini ada di Kuala Lumpur atau Selangor, tentu telah diwartakan sebagai zon bahaya dan tidak selamat bagi murid-murid. Bagaimanapun, memandangkan sekolah ini hanya berada di Borneo – perhatikan nada sinis yang disengajakan – maka dibiarkan terus beroperasi seadanya.
Namun, Puan Rosdiana selaku Guru Perpustakaan dan Media, dengan kerjasama Guru Besar, Encik Akhmad Monggoh serta guru dan murid-murid ternyata mampu mengangkat kualiti dan tahap sekolah ini ke peringkat lebih tinggi. Segala kekurangan tidak dijadikan alasan dan halangan. Misalnya, saya sempat melihat pameran kraftangan yang diadakan murid-murid Tahun Enam. Kreativiti mereka terserlah.
Saya meminta Puan Rosdiana dan Encik Akhmad menyerahkan maklumat sekolah dan foto aktiviti kepada saya untuk disalurkan ke mana-mana majalah yang sesuai. Sekolah-sekolah hebat seperti di Tawau wajar ditonjolkan kepada umum.
Pukul 11:00 pagi, kami berempat ke pekan Tawau untuk jalan-jalan dan bersembang. Kami ke Pasar Tanjung Tawau di mana saya membeli serbuk kopi Tawau untuk dibawa pulang. Malangnya tiada teh Tawau!
Selepas makan tengah hari, kami pulang ke asrama Kompleks Sukan Tawau pada pukul 1:00 petang. Selepas berehat, bengkel disambung pada pukul 2:00 petang.
Pada kali ini, peserta diminta membaca karangan/cerpen yang ditulis dan sempat saya semak pagi tadi. Rata-rata hasil karangan mereka amat menarik. Saya meminta peserta terbabit menaip semula secara kemas dan mengirimkannya kepada saya supaya boleh disalurkan ke majalah yang sesuai; atau sekurang-kurangnya dimuatkan di blog saya. Sebagai tanda penghargaan, mereka akan diberi buku cerita.
.