Saya memulakan sesi dengan membuat catatan nama sekolah-sekolah terbabit: SK Kuala Merotai, SK Kem Kabota, SK Umas Umas, SK Kinabutan, SK Tanjung Batu, SK Batu 4, SK Bandar Tawau, SK Bandar Tawau 2, SK Taman Tawau, SK Muhibbahraya, SK Bahagia, SK Melati, SK Bukit Quoin, SK Bombalai, SK Kampung Titingan, SK Tanjung Batu Keramat, SJK (C) Chung Hwa, SJK (C) Yuk Chin, SMK Jalan Apas, SMK Tawau, SMK Tawau 2, SMK Wallace Bay, SMK Kuhara, SMK Jambatan Putih, MK Pasir Putih, SMK Kalabakan, SMK Balung, SMK Merotai Besar, SMK Umas Umas, SMK Kabota dan SM Islamiah. Ringkasnya, 62 peserta (murid dan pelajar) dari 18 sekolah rendah dan 13 sekolah menengah daerah Tawau.
Seterusnya, dalam usaha membantu peserta memahami apakah unsur-unsur yang boleh menarik perhatian dan minat pembaca untuk terus membaca sebuah karya, saya membacakan petikan enam cerpen daripada buku Kathakali dan memberi tugas berkumpulan untuk menyenaraikan apakah perkara-perkara (unsur-unsur) yang menarik dalam petikan itu.
Peserta melakukan kerja dalam kumpulan yang terdiri daripada lapan orang (kecuali satu kumpulan ada enam orang sahaj). Mereka dibantu seorang atau dua guru bagi setiap kumpulan.
Antara kata kunci yang dikemukakan adalah: bahasa yang mudah, mengundang rasa ingin tahu, suspen, konflik, dilema, emosi dan kejutan. Hal ini penting supaya apabila peserta ini menulis cerpen, mereka boleh membaca manuskrip sendiri dan meneliti sama ada unsur-unsur berkenaan ada pada karya mereka.
Peserta perlu menyerahkan manuskrip cerpen mereka pada hari ini untuk dikumpulkan. Sebelum itu, saya membuka peluang kepada mereka untuk membaca petikan cerpen mereka. Peserta lain pula perlu mendengar dan kemudian memberi komen sama ada “unsur-unsur menarik” terdapat pada cerpen berkenaan.
Terus terang, saya kagum – terpegun, malah – dengan mutu karya yang dihasilkan! Malah, ada masanya, saya terpaksa bertanya beberapa kali kepada peserta terbabit: “Ini memang karya sebenar? Asli? Tidak ditiru dari mana-mana? Sah? Pasti?”
Hal ini demikian kerana kesemua sebelas cerpen kanak-kanak dan remaja yang dibacakan membuktikan kualiti berkarya yang amat membanggakan. Saya hanya mampu memberikan tepukan sebagai tanda ucapan tahniah kepada penulis terbabit.
Ya, mereka ini penulis!
Saya sudah boleh membayangkan ke majalah mana saya boleh menyalurkan cerpen-cerpen mereka. Saya percaya editor majalah Dewan Siswa, Dewan Pelajar, e@siswa, e-baca, Tunas Cipta, Pelita Bahasa dan Fokus SPM akan berasa amat gembira apabila cerpen-cerpen ini saya sampaikan kepada mereka.
Walau bagaimanapun, dalam usaha mengekalkan profesionalisme, saya mewajibkan peserta terbabit menaip manuskrip mengikut Panduan Mengirim Manuskrip Cerpen yang saya tetapkan kepada semua peserta Bengkel Cerpen Kavyan.
Saya tanpa berselindung memberitahu para peserta bahawa saya amat kagum dengan bakat penulisan yang mereka miliki. Memang tidak adil kerana begitu ramai penulis muda (remaja) berbakat di Tawau “terlepas” daripada pandangan dan perhatian pelbagai pihak berwajib – termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, tentunya – yang dipertanggungjawabkan mengesan, membimbing serta memberi peluag berkarya kepada mereka yang layak dan berhak.
Kalaulah peserta yang mengikuti bengkel ini berada di Kuala Lumpur, tentu telah dijulang tinggi dan diberi pelbagai anugerah. Malangnya, bukankah Tawau hanya suatu tempat kecil yang – dengan nada sinis yang memang disengajakan – tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi, politik, sosial dan perkembangan sastera negara; serta tidak membawa “pulangan” kepada para peneraju slogan-slogan muluk seperti 1Malaysia.
Saya memberitahu peserta bahawa saya tidak mampu membawa mereka ke Kuala Lumpur tetapi sekiranya mereka mengirim manuskrip cerpen mereka kepada saya secara lampiran melalui e-mel, saya boleh menyalurkannya ke majalah-majalah. Kalau ada editor/majalah yang menolak, terbukti wujud konspirasi meminggirkan bakat besar dan bakat sebenar dari Tawau.
Dan bercakap mengenai bakat besar, saya yakin bahawa dalam masa lima tahun lagi, sekiranya mereka terus berkarya, sekurang-kurangnya sebelas peserta ini akan muncul sebagai pengarang yang dikenali umum. Maka, saya tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan bersama-sama mereka. Ya, bukan mereka mahu bergambar bersama saya; sebaliknya saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan merakamkan foto bersama mereka.
.