Tuesday, 26 October 2010

Taman Bukit Tawau

Sila KLIK DI SINI untuk catatan Bahagian Pertama.
.

23 Oktober 2010. Sambil bersarapan dan berbual-bual bersama-sama guru-guru di Kompleks Sukan Tawau, Sabah, saya sempat mencatatkan sebahagian istilah yang lazim digunakan penduduk di Tawau. Mungkin boleh saya manfaatkan untuk menulis makalah pendek untuk majalah Pelita Bahasa.

.

Sekitar pukul 8:15 pagi, saya menaiki kereta Cikgu Prasad dan tiga pelajar ke Taman Bukit Tawau. Apabila semua guru, pelajar dan murid yang menaiki kereta dan bas sampai, sekitar pukul 9:15 pagi, kami semua masuk ke taman berkenaan untuk menikmati keindahan alam. Di sinilah juga terdapat pokok hutan tropika yang tertinggi di dunia.

.

Seperti biasa, saya menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan foto-foto secara amatur. Bagi peserta Bengkel Penulisan Cerpen, saya percaya mereka mendapat banyak inspirasi untuk berkarya. Pasti ada pelbagai kisah di taman ini yang boleh diolah menjadi karya yang unik dan menarik minat pembaca.

.

Pada pukul 10:30 pagi, saya dan Cikgu Prasad pergi ke Perpustakaan Tawau. Dalam perjalanan itu, beliau menceritakan bagaimana beliau diberi nama “Prasad” oleh bapanya. Kemudian, sementara menunggu rakan-rakan lain, kami berdua minum kopi sambil berbual-bual lagi pelbagai perkara mengenai Tawau.

.

Sekitar pukul 11:45 pagi, guru dan pelajar/murid tiba untuk lawatan ke Perpustakaan Tawau. Taklimat sepanjang lawatan diberikan pegawai perpustakaan, Puan Nursiah. Tentu sahaja saya sekali lagi merakamkan foto menggunakan telefon bimbit untuk dimuatkan di Facebook sebagai kenangan dan dokumentasi.

.

Selepas lawatan sekitar pukul 12:30 tengah hari, saya dan Cikgu Prasad ke Restoran Hameed Firdaus dan saya makan roti canai di sana. Suatu perkara yang menarik, selain daripada roti canai, terdapat juga roti Madras dan roti kobra yang saya percaya menu unik di Tawau. Semua ini pengalaman baru bagi saya. Bagi peserta bengkel, tentu sahaja mereka boleh memasukkan segala keunikan Tawau seperti ini dalam karya mereka.

.

Sekitar 1:00 petang, kami pulang ke asrama Kompleks Sukan Tawau dan saya berehat sebentar di dalam bilik sebelum bersedia bagi acara seterusnya iaitu Majlis Perasmian Penutupan Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau. ... Bersambung DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!