27 Oct 2010

Berakhirnya Perkampungan Nilam

Sila KLIK DI SINI untuk catatan Bahagian Pertama. .
..

Majlis Perasmian Penutupan Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Tawau, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian Tawau dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Tawau berlangsung di Dewan Seminar, Kompleks Sukan Tawau pada pukul 2:00 petang, 23 Oktober 2010.

.

Puan Jumiati Suparno selaku pengerusi program dalam ucapannya menyebut bahawa Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) dan Bengkel Penulisan Cerpen yang diadakan antara lain bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan murid-murid dan pelajar, mengasah bakat penulisan kreatif, memupuk semangat sayang kepada bahasa kebangsaan, dan membimbing generasi muda menjadi pengarang besar.

.

Encik Suhaili Haji Ahmad yang berucap mewakili Ketua Penolong Pengarah BTPN Sabah, Hajah Junaidah mengakui program seperti ini sangat penting bagi Tawau khasnya dan Sabah amnya; apatah lagi ini kali pertama Perkampungan Nilam secara besar-besaran diadakan di Negeri Di Bawah Bayu sejak Program Nilam diperkenalkan pada 1999. Tentu sahaja kejayaan ini adalah berikutan kerjasama padu semua yang terlibat; serta kepimpinan Puan Jumiati selaku pegawai yang menguruskan program.

.

Beliau mengakui betapa Program Nilam penting ke arah memupuk pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan generasi muda, selain memupuk minat membaca dan menghasilkan karya kreatif. Usaha ini perlu diteruskan dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah supaya lebih berjaya. Pada masa sama, individu yang berminat menjadi penulis berkaya perlulah sentiasa berusaha menimba ilmu bantu dari pelbagai sumber; termasuk menyertai bengkel penulisan kreatif yang dianjurkan dari semasa ke semasa.

.

Pada akhir acara, satu set karya peserta diberikan kepada Encik Suhaili manakala satu lagi kepada saya sebagai dokumentasi dan untuk cuba diterbitkan. Saya pula sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya sebelas cerpen yang layak diterbitkan di beberapa majalah; seperti dicatatkan di blog ini sebelum ini. Apa pun, segalanya terletak di tangan para peserta sendiri. Sekiranya mereka tidak mengirim karya kepada saya mengikut panduan yang sudah diberikan, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

.

Selesai acara, guru dan peserta mahu bergambar bersama saya. Kemudian kami minum petang sebelum saya ke bilik untuk berkemas. Pada pukul 4:15 petang, semua peserta mula pulang. Saya sempat berbual bersama Puan Jumiati dan urus setia. Tentu sahaja saya mengharapkan karya daripada guru, pelajar dan murid; serta berharap dapat mengendalikan satu bengkel penulisan khas untuk guru-guru di Tawau.

.

Sekitar 5:00 petang, Redzal dan Lukman menghantar saya ke De Choice Hotel di Jalan Masjid, Tawau. Saya segera menyemak e-mel dan maklumat di Facebook sebelum mandi dan berehat. Beberapa peserta bengkel sudah mula menambah saya sebagai rakan di Facebook. Maka, mudahlah untuk saya terus membimbing mereka; dengan syarat mereka akur pada aspek kesantunan berbahasa.
..
Saya juga berharap mereka akan tekun membaca pelbagai panduan di blog saya untuk mendalami ilmu berkarya. ... Bersambung DI SINI.