28 Oct 2010

Selamat Tinggal, Tawau

Sila KLIK DI SINI untuk catatan Bahagian Pertama.
.

Seperti lazim, matahari terbit lebih dahulu di Tawau, Sabah. Saya bangun pada pukul 6:30 pagi, 24 Oktober 2010 dan bersiap serta mengemas beg. Sementara menunggu ketibaan Puan Jumiati dan Redzal, saya melayari Internet. Malam tadi (23 Oktober 2010), saya sudah memuat naik ke Facebook foto-foto yang dirakam pada 20 dan 21 Oktober.

.

Pada malam 23 Oktober juga, saya sudah memuatkan maklumat berhubung Bengkel Sehari Penulisan Cerpen yang dijadualkan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 21 November 2010 (Ahad). Kalau Bengkel Penulisan Cerpen di Tawau, Sabah boleh menerima penyertaan 62 pelajar dan murid, adakah keterlaluan apabila saya mengharapkan penyertaan 5-10 remaja dan dewasa bagi Bengkel Sehari Penulisan Cerpen di Shah Alam, Selangor?

.

Puan Jumiati dan Redzal tiba di Hotel De Choice pada pukul 8:00 untuk mengambil saya. Kami terus ke kawasan kedai di mana saya sempat membeli dua kemeja-T untuk Devishi Prabha Sankari, sehelai untuk Prabhawathy Govindarajoo dan sehelai untuk Rajan.

.

Selepas itu, kami bertiga ke Kedai Kopi Amat Mee Tauhu yang menghidangkan menu istimewa, mi tauhu. Menurut Red, ia masakan gaya Cina dan menjadi semacam kemestian kepada penduduk Tawau serta sesiapa yang berkunjung ke Tawau.

.

Sambil makan, kami berbincang mengenai Bengkel Penulisan Cerpen yang selesai semalam. Saya meminta Puan Jumiati mengingatkan guru dan peserta supaya mengirim bahan supaya bengkel yang diadakan akan nampak hasil yang diharapkan. Memang rugi kalau bakat yang ada pada kumpulan pelajar/murid ini dipersiakan.

.

Saya turut mencadangkan bengkel penulisan diadakan lagi di tawau pada masa hadapan. Mungkin boleh diadakan khusus bagi guru-guru selama dua hari, diikuti dua hari khusus bagi pelajar. Malah, boleh disambung dua hari lagi di tempat lain di daerah Tawau. Maka, kedatangan saya ke Tawau dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai peserta di beberapa lokasi. Saya percaya Puan Jumiati akan memikirkan cadangan itu secara serius bersama-sama guru-guru terbabit.

.

Apabila sampai di Lapangan Terbang Tawau, saya terus mendaftar masuk. Kemudian, Puan Jumiati membelikan saya Kopi Tenom. Saya sangka Kopi Tawau yang saya beli pada 22 Oktober 2010 adalah sama, rupa-rupanya berbeza dan datang dari dua lokasi berbeza. Walaupun saya penggemar teh – hantu teh! – saya tidak membeli Teh Sabah kerana saya lebih menggemari teh jenama Lipton.

.

Pada pukul 9:55 pagi, saya masuk ke balai berlepas selepas mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kerana Puan Jumiati dan Red yang menjaga saya dengan baik sejak 20 Oktober. Sempat juga memeluk Red dan menyuruhnya menghubungi saya apabila dia ke kampungnya di Bandar Baru Bangi pada awal November 2010.

.

Sewaktu berada di dalam pesawat AirAsia bagi penerbangan AK5153 pada pukul 10:45 pagi, Marigold, salah seorang peserta, mengirim SMS untuk memaklumkan bahawa satu cerpen (yang drafnya dibincangkan semasa bengkel) sudah siap dan dia sedang menulis cerpen kedua. Bagus!

.

Dalam penerbangan dari Tawau ke LCCT, saya merangka-rangka artikel dan laporan ringkas mengenai Bengkel Penulisan Cerpen di Tawau untuk dikirim ke pelbagai majalah. Saya juga sempat meneliti foto-foto yang diambil jurugambar rasmi Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau sejak 20 Oktober 2010 dan disalin ke komputer riba saya oleh Red, pagi tadi.

.

Saya mendarat di LCCT pada pukul 1:30 petang, lalu menunggu Rajan bersama sebuah beg pakaian, sebuah beg komputer riba dan sebuah kotak kertas berisi kuih-muih dan keropok Tawau yang disediakan Urus Setia Perkampungan Nilam Peringkat Daerah Tawau.

.

Rajan datang bersama isterinya, Nisha. Kami memandu ke pejabat mereka di Cyberjaya untuk mengambil kereta saya. Dari sana, saya memandu pulang sambil mendengar sambungan cakera padat (CD) audio novel Blindness karya Jose Saramago yang dibacakan oleh Jonathan Davis – sambungan daripada 20 Oktober 2010.

.

Sesampai di rumah, terdapat dua surat yang sampai semalam. Pertama, undangan menghadiri Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 9-10 November 2010. Kedua, undangan mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam pada 10 November 2010. Pada 8 November 2010, saya akan membawa Sasterawan Negara Datuk A Samad Said ke sekolah sama untuk Sesi Bersama Tokoh Penulis Terkenal.