Semasa menonton filem ini – sambil membaca sari kata Bahasa Inggeris – saya dapat membayangkan bahawa filem ini kemungkinan besar berdasarkan novel.
Hal ini kerana watak Commissario Sanzio (lakonan Toni Servillo) ternyata tidak berdiri sendiri; sebaliknya pasti ada kaitan ada kisah-kisah sebelum ini. Misalnya seperti watak Lincoln Rhyme yang diperkenalkan oleh Jeffery Deaver menerusi novel The Bone Collector (1997) yang dijadikan filem dengan judul sama pada 1999.
Saya memang suka menonton filem yang diadaptasi daripada novel [BACA DI SINI] walaupun saya faham mengenai kekangan yang wujud. Terbaru, selesai membaca novel The Ghost (2007) karya Robert Harris, saya mendapat tahu bahawa novel berkenaan dijadikan filem The Ghost Writer (2010). Sudah dapat mengagak bahawa sukar untuk mengangkat novel itu ke dalam bentuk filem.
Berbalik kepada filem “La Ragazza del Lago” yang menampilkan watak Sanzio. Ternyata watak itu berdasarkan watak Inspektor Konrad Sejer yang dicipta pengarang Norway, Karin Fossum, bermula dengan novel Evas øye (1995) yang anehnya belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, novel-novel lain yang menampilkan watak Sejer sudah diterjemahkan ke lebih 16 bahasa: Se deg ikke tilbakel (1996) diterjemahkan kepada Don’t Look Back (2002); Den som frykter ulven (1997) sebagai He Who Fears the Wolf (2003); Djevelen holder lyset (1998) kepada When the Devil Holds the Candle (2004); Elskede Poona (2000) menjadi Calling Out for You (2005) dan The Indian Bride (2007); Svarte sekunder (2002) kepada Black Seconds (2007); dan Den onde viljen (2008) menjadi Bad Intentions (2010).
Drapet på Harriet Krohn (2004) yang membawa makna “The Murder of Harriet Krohn” dan Varsleren (2009) yang membawa makna “The Caller” belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.
Perlu dinyatakan bahawa novel Den som elsker noe annet (2007) hanya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan judul The Water’s Edge pada 2009 manakala filem “La Ragazza del Lago” terbit pada 2007.
Judul asal novel berkenaan membawa makna “He Who Loves Something Else” tetapi dijadikan The Water’s Edge dalam versi Bahasa Inggeris.
Penonton “La Ragazza del Lago” akan melakukan pelbagai andaian sepanjang menonton filem berkaitan penyiasatan pembunuhan. Kesemua andaian itu adalah logik dan masuk akal. Akan tetapi, akan ada perubahan plot (twist) yang juga amat logik pada hampir setiap babak.
.
Kisah dalam filem ini juga bukan sekadar berkisar pada usaha mengesan pembunuh. Sebalik, juga berkaitan hubungan kekeluargaan (dalam pelbagai konteks), sikap masyarakat, perubatan dan bahaya yang berada di hadapan mata.
Tentu sahaja filem ini mengingatkan saya pada filem-filem bermutu (maaf, tidak sebuah pun dari Malaysia) yang penuh dengan unsur twist yang amat saya minati. Begitu juga dalam novel-novel dan cerpen yang dihasilkan Jeffery Deaver, Jeffrey Archer dan Ruth Rendell.