Terus terang, kehadiran bagi pertemuan pada 25 September 2010 (Sabtu), 2:00 petang di Restoran Madam Kwan’s, MidValley memang amat mengecewakan.
Bekas pelajar SMDR yang hadir hanyalah saya, Ghanthimathi bersama seorang rakan yang bukan bekas pelajar SMDR, serta Surendran bersama isteri dan dua anaknya.
Tentu sahaja rakan-rakan yang tidak dapat hadir mempunyai alasan tersendiri. Maka, tidak perlu dipersoalkan dan tidak wajar diungkit. Malah, memang ramai yang sejak awal-awal lagi sudah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat hadir kerana pelbagai urusan dan kekangan. [Boleh dirujuk DI SINI.]
Dipendekkan cerita, kami yang hadir sempat makan dan minum sambil berbual-bual kisah silam dan perkembangan mutakhir. Saya mengenali Ghanthimathi (serta beberapa rakan karibnya) dan Surendran (serta beberapa rakan karibnya) sejak di SRK Convent Aulong.
Selepas tidak bertemu lebih 20 tahun, saya menemui semula Surendran pada 4 Disember 2010; manakala kini saya berpeluang bertemu semula dengan Ghanthimathi selepas hampir 20 tahun juga.
Malah, kebanyakan rakan-rakan lama ditemui semula selepas hampir 20 tahun menerusi Facebook! Terima kasih kepada Mark Zuckerberg, Dustin Moskovitz, Eduardo Saverin dan Chris Hughes yang melancarkan Facebook pada 4 Februari 2004. [BACA DI SINI]
Saya memang merancang untuk mengadakan satu lagi Pertemuan Bekas Pelajar SMDR di Taiping pada masa hadapan kerana ramai yang masih berada di Perak dan negeri-negeri sebelah utara.
(Cadangan dan rancangan untuk mengadakan pertemuan semula – reunion – memang sering saya dengar sejak 1994 tetapi belum menjadi kenyataan. Namun, saya percaya masih ada banyak pertemuan berskala kecil dalam kalangan rakan-rakan yang merupakan bekas pelajar SMDR. Misalnya, pertemuan di rumah Azura Kassim pada 4 September 2010 yang kisahnya boleh dibaca DI SINI.)
Ghanthimathi dan Surendran bersetuju dengan cadangan mengadakan pertemuan di Taiping. Saya mencadangkan bulan November 2010, iaitu selepas Deepavali atau semasa cuti sekolah. Sambutan – dan cuti umum – Deepavali adalah pada Jumaat, 5 November 2010.
Maka, kami bertiga sepakat untuk mengatur pertemuan itu pada Ahad, 7 November 2010 kerana tentu ramai yang berpeluang untuk berkumpul di Taiping pada tarikh itu pada sebelah pagi.
Rakan-rakan di Taiping – seperti Arokiasamy dan Azura Kassim – mungkin boleh membantu menguruskan tempat dan pengisian program pertemuan. Ghanthimathi dipertanggungjawabkan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras. Waktu pertemuan rasmi adalah 9:00 hingga 11:00 pagi tetapi tentu sahaja boleh dilanjutkan jika ada penyertaan yang lebih ramai (berbanding pada 25 September 2010).
Pertemuan itu nanti akan turut membabitkan penyertaan beberapa bekas guru SMDR yang pernah mendidik kami. Antara guru yang dikenal pasti ialah Encik K Balasubramaniam, Puan Hadebah Duseh dan Cik Pragasam. Saya percaya rakan-rakan bekas pelajar SMDR akan membantu menghubungi beberapa lagi guru bagi tujuan pertemuan ini.
Bagi memastikan komitmen lebih menyeluruh, bekas pelajar SMDR yang mahu turut serta dalam “Sarapan di Taiping” pada 7 November 2010 (Ahad), 9:00 – 11:00 pagi perlu (1) mengesahkan kehadiran, dan (2) dikenakan bayaran minimum bagi menampung kos tempahan tempat dan makan-minum.
Nama-nama pelajar dan guru yang ada akaun Facebook sudah di“tag” dan kerjasama diperlukan untuk melakukan perkara sama bagi individu lain dari SMDR (bekas pelajar dan bekas guru) supaya maklumat ini dapat disebarkan secara lebih meluas.
Maklumat lengkap dan terkini mengenai (1) tempat pertemuan, dan (2) bayaran minimum, akan menyusul hanya kepada individu yang mengesahkan kehadiran selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2010, iaitu genap seminggu sebelum tarikh pertemuan.
Tempat pertemuan adalah di Taiping, Perak dan saya percaya bayaran yang dikenakan tidak akan lebih daripada RM30.00 seorang kerana hanya melibatkan sarapan; dan mungkin kos tempahan tempat serta (cadangan) cenderamata untuk bekas guru yang hadir sama.
Seperti yang saya nyatakan kepada Surendran dan Ghanthimathi pada 25 September 2010, saya tidak mahu mengimpikan (baca: memimpikan) kehadiran puluhan bekas pelajar SMDR pada 7 November 2010. Sebaliknya, sekitar sepuluh bekas pelajar dan tiga guru sudah lebih daripada mencukupi untuk menjayakan “Sarapan di Taiping” seperti direncanakan. Tentu lebih meriah jika masing-masing hadir bersama keluarga!
Apa pun, kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa masing-masing ada kerjaya, keluarga dan komitmen yang perlu diutamakan. Tambahan pula, mungkin ramai yang masih dalam suasana dan kesibukan sambutan Deepavali.
Namun, jika lebih ramai bekas pelajar SMDR dapat mengesahkan kehadiran dan membuat bayaran selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2010 – serta hadir menepati masa pada 7 November 2010 – tentulah “Sarapan di Taiping” bakal lebih meriah dan penuh nostalgia.
.
Sila KLIK DI SINI untuk maklumat yang disiarkan di akhbar Sinar Harian (edisi Perak) pada Isnin, 27 September 2010, KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Selangor & Kuala Lumpur pada Selasa, 28 September 2010, KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Pulau Pinang, Kedah & Perlis pada Selasa, 28 September 2010, dan KLIK DI SINI untuk siaran di edisi Johor pada Rabu, 29 September 2010. Sila KLIK DI SINI untuk membaca keratan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2010 dan KLIK DI SINI untuk membaca maklumat sekolah dan lirik lagu seperti disiarkan dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak pada 14 Oktober 2010.
.
Saya sudah menelefon Pengetua SMDR, Encik Rusli Mohd Zain pada jam 1:25 tengah hari, 28 September 2010 untuk menyatakan hasrat membawa rombongan bekas pelajar SMDR ke sekolah berkenaan pada 7 November 2010, seusai sarapan. Saya akan uruskan surat berhubung perkara itu.
Saya boleh dihubungi menerusi Facebook atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau talian 016-3288142. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan ...