1 Apr 2010

Cereka UPSR

Pada 11 Mac 2010, saya mengirim e-mel kepada Noor Fazidah dan Saharom Abd Aziz untuk memohon ruang dan peluang menulis secara tetap dalam majalah e-baca bagi ruangan baru sepanjang satu halaman yang secara tentatif dinamakan “Cereka UPSR”.
.

Ruangan itu khusus memuatkan contoh asli empat cereka (setiap bulan) yang memenuhi kriteria penulisan karangan tidak berformat peringkat UPSR.

.

Bagi setiap keluaran, saya akan menulis karangan asli yang setiap satunya sepanjang sekitar 80 patah perkataan; mengikut format Bahagian B, Kertas 2 subjek Bahasa Malaysia UPSR.

.

Karangan asli yang ditulis setiap bulan adalah berbentuk Autobiografi/Biografi, Menyambung Cerita, Peribahasa, Gambaran dan Cereka.

.

Saya yakin dan optimis bahawa ruangan “Cereka UPSR” bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada guru dan murid Tahun 4, 5 dan 6 yang dahaga akan contoh karangan berbentuk cereka untuk dijadikan panduan penulisan karangan tidak berformat peringkat UPSR.

.

Untuk makluman, sejak 2004, saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengendalikan Bengkel Penulisan Cereka UPSR di seluruh negara; khusus untuk membimbing murid Tahun 4, 5 dan 6 menulis karangan berbentuk cereka mengikut format UPSR.

.

Saya percaya bahawa sedikit pengalaman dan kepakaran yang saya miliki melalui aktiviti Kavyan boleh digunakan untuk menambah baik kandungan bahan dalam majalah e-baca.

.

Secara tidak langsung, majalah e-baca boleh menjadi “majalah rasmi” setiap kali Kavyan mengendalikan Bengkel Penulisan Cereka UPSR di seluruh negara.

.

Saya bercadang memulakan ruangan “Cereka UPSR” dalam majalah e-baca mulai keluaran Mei 2010 supaya menjelang UPSR pada September 2010, pembaca e-baca sudah mampu memiliki beberapa contoh karangan cereka UPSR yang disiarkan khusus dalam majalah e-baca.

.

Berita baik yang saya terima dengan segera adalah bahawa Unit Akademik, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd menerima cadangan dan permohonan saya. Maka, sempat diumumkan secara rasmi semasa Bengkel Cereka UPSR di SJKT North Hummock pada 13 Mac 2010.

..

Jagan lupa mendapatkan majalah e-baca untuk contoh karangan! [KLIK DI SINI]