1 Jun 2009

Terima kasih, Pak A.F. Yassin

Jaringan sosial seperti Facebook.com bukan hanya bagi golongan remaja untuk bersosial (dengan konotasi positif) malah juga untuk golongan “tua” (terpulang pada interpretasi sendiri) untuk saling berhubung.

Salah seorang “rakan” terbaru saya di Facebook ialah Ahmad Fadzil Yassin yang lebih dikenali sebagai A.F. Yassin.

Beliau “menambah” saya baru-baru ini dan saya terus “menerima” dan menulis pada “dinding” beliau, betapa saya berasa seronok dan bangga menerima beliau sebagai “rakan” di ruang siber.

Saya “mengenali” Pak A.F. Yassin pada tahun 1990-an melalui Allahyarham Dr Othman Puteh yang aktif menyelenggarakan antologi cerpen dan cerita rakyat untuk terbitan Fajar Bakti (di mana Pak A.F. Yassin bertanggungjawab terhadap penerbitan karya sastera).

Sepatutnya saya yang mengucapkan terima kepada Pak A.F. Yassin tetapi beliau pula mendahului dengan mengirim mesej kepada saya menggunakan Facebook untuk mengucapkan terima kasih kerana “saya rasa terhutang budi kerana sdr sudi menyumbang karya kepada penerbit Fajar Bakti”.

Aduh! Sama seperti sikap Allahyarham Dr Othman Puteh yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan Kavyan.

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti …


Terima kasih, Pak A.F. Yassin. Dan tafakur untuk Allahyarham Pak Haji Othman Puteh.