13 Sept 2008

Kenyataan Akhbar Bersama



Pertubuhan-pertubuhan penulis Malaysia mendukung tanggungjawab dan amat peka kepada isu-isu perpaduan bangsa dan negara. Kami memandang berat terhadap segala ucapan dan tindakan yang berkaitan keutuhan negara kita.

1. Kesan penjajahan memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan. Semua rakyat tanpa mengira kaum dan asal-usul mereka wajib bekerjasama dengan erat, dan berusaha untuk memperjuangkan masa depan tanah air yang cemerlang.

2. Semua rakyat Malaysia mencintai keamanan dan ingin melahirkan negara yang bersatu-padu, harmoni dan muhibah. Kita harus menjadikan sejarah sebagai iktibar dan menumpukan perhatian kepada pembangunan dan kemajuan masa kini dan masa depan. Oleh itu, kami menentang habis-habisan sebarang ucapan dan tindakan yang memecah-belahkan perpaduan, serta menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya tidak dipengaruhi dan dihasut oleh segelintir orang yang tidak bertanggungjawab.

3. Dalam era globalisasi, Malaysia hendaklah menunpukan perhatian dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi yang adil dan saksama, berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta meningkatkan usaha menyatupadukan rakyat.

4. Berusaha mengembangkan proses keharmonian Bangsa Malaysia kepada masyarakat umum. Sekiranya timbul sebarang salah faham atau persengketaan antara rakyat, maka kita akan menyelesaikannya atas semangat permuafakatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

5. Bangsa Malaysia secara umumnya masih perlu mencapai persefahaman dalam tafsiran sejarah negara. Maka GAPENA, PERSPEKTIF dan KAVYAN mencapai persetujuan untuk menganjurkan Seminar Sejarah Nasional Malaysia. Tujuannya adalah untuk melahirkan perpaduan Bangsa Malaysia atas fakta sejarah negara yang benar dan mantap.


Rumah Gapena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur
13 September 2008


Ditandatangani:

Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein
Ketua Satu GAPENA

Goh Hin San
Presiden PERSPEKTIF


Uthaya Sankar SB
Presiden KAVYAN