Thursday, 22 July 2004

Hayati Sastera Sejak Usia Muda

Oleh THILLAI KAMALAN NADARAJAH
Utusan Malaysia, 22 Julai 2004

PENGHAYATAN sastera perlu dipupuk sejak usia muda supaya generasi muda akan membesar bersama-sama sastera; bak kata pepatah, melentur aur biarlah dari rebungnya.

Menyedari hakikat ini, Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) memulakan siri acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS) serta majalah Dewan Pelajar.

Acara pertama diadakan di SJK (T) Hicom, Seksyen 27, Shah Alam pada 3 April lalu; manakala acara kedua di SJK (T) Ladang Seafield, Subang Jaya pada 22 Mei lalu dengan masing-masing 60 peserta.

Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, pihaknya menyedari betapa kanak-kanak perlu digalakkan membaca karya kreatif dan menghayati sastera.

"Kami cuba menumpukan pada murid sekolah jenis kebangsaan kerana mereka kurang mendapat peluang menunjukkan bakat dan kemampuan dalam aktiviti yang menggunakan Bahasa Malaysia,'' katanya.

Dalam siri Apresiasi Sastera Kanak-kanak, beliau akan membimbing peserta mengenai perlunya membaca karya kreatif serta cara-cara menghayati karya sastera Bahasa Malaysia tanpa terikat pada tuntutan peperiksaan.

Setiausaha Kavyan, S.G. Prabhawathy membimbing peserta untuk tampil membaca petikan cerita dan puisi di khalayak sebagai salah satu usaha menanam keyakinan diri di kalangan murid sekolah.

Hasil yang diperoleh melalui pendekatan ini ternyata membanggakan. Kebanyakan peserta melahirkan rasa gembira dan seronok membaca karya kreatif selepas menyertai acara ini serta berpeluang bertemu dengan penulis karya sastera.

Kavyan turut memberi tumpuan kepada remaja dan pelajar sekolah menengah dalam usaha memasyarakatkan sastera dan meningkatkan minat membaca melalui siri Apresiasi Sastera Remaja yang diadakan di sekolah menengah.

Pada 17 April lalu, diadakan acara perintis Apresiasi Sastera Remaja dengan kerjasama JKKNS dan majalah Dewan Siswa di SMK Subang Utama, Subang Jaya yang disertai 60 pelajar dan remaja.

Remaja pelbagai kaum yang menyertainya melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menghayati karya sastera tanpa perlu memikirkan soal markah seperti yang sering dialami apabila berhadapan dengan teks komponen sastera (komsas).

Para peserta juga tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat mendeklamasi sajak serta membaca petikan cerpen dengan penuh gaya dan penghayatan.

"Kami percaya bahawa sekiranya acara ini diteruskan, lebih ramai kanak-kanak dan remaja akan mula meminati karya sastera. Minat membaca juga boleh dipupuk sejak usia muda.

"Bagaimanapun, Kavyan memerlukan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak untuk menampung kos mengendalikan siri acara apresiasi sastera seperti ini,'' kata Prabhawathy.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!