3 Jun 2004

Usaha Pupuk Bakat Deklamator Muda

Utusan Malaysia, 3 Jun 2004

SERAMAI 34 penyair amatur pelbagai kaum menunjukkan bakat mereka pada acara Deklamasi Penyair Muda yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Rata-rata peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah di sekitar Shah Alam serta belum ada sebarang pengalaman membaca sajak di pentas.

Deklamasi Penyair Muda anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS), Lembaga Muzium Selangor serta Yayasan Sasterawan Kaum India Malaysia (Kavyan) bagi membuka peluang kepada kelompok penyair baru menonjolkan bakat yang terpendam.

Pengarah JKKNS, Sermaini Pien berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan serta menyokong aktiviti berbentuk kesenian, kebudayaan dan sastera, khususnya aktiviti yang turut membuka ruang bagi penyertaan golongan remaja pelbagai kaum.