2 Sept 2026

Abhirami Anthathi


Ketika Abhirami Dewi dibawa keluar dari balai polis, matahari baru sahaja naik di balik pokok kelapa. Cahaya pagi menyentuh wajahnya yang pucat, namun tidak berjaya mengusir bayang-bayang malam yang masih melekat pada mata. Pergelangan tangan tidak bergari. Namun, dua anggota polis berjalan rapat di kiri dan kanan.

Di hadapan balai, beberapa orang sudah menunggu. Ada yang datang kerana ingin tahu. Ada yang datang kerana mahu melihat sendiri wanita yang dikatakan membunuh suaminya. Malah, ada yang hanya mahu membawa pulang cerita untuk dibualkan di kedai kopi pada petang nanti.

“Abhirami membunuh Balakrishnan.”

Ayat itu bergerak lebih cepat daripada kereta polis.

Abhirami menundukkan kepala. Dia mendengar bunyi motosikal yang melalui jalan besar, bunyi burung kuyil dari celah pokok mangga, serta bunyi kasut seorang anggota polis bergesel dengan simen. Semua bunyi itu jelas. Terlalu jelas.

“Encik, saya tak bunuh dia,” katanya perlahan.

Pegawai penyiasat, Inspektor Suresh Menon, yang berdiri di belakang, memandang wajah wanita muda itu. Dia sudah mendengar pengakuan—atau penafian—yang sama sejak semalam.

“Saya tahu awak akan kata begitu,” balas Suresh.

“Bukan kata-kata, encik. Ini kebenaran.”

Suresh tidak menjawab. Di dalam failnya terdapat foto mayat Balakrishnan Mudaliar yang ditemui di mulastanam, bilik utama Kuil Dewi Abhirami. Lelaki berumur lima puluh empat tahun itu ditemukan terbaring berhampiran pelantar batu tempat berhala Dewi Abhirami ditempatkan.

Tiada senjata. Tiada luka tikaman. Tiada kesan pergelutan yang jelas. Tetapi orang mati sentiasa meninggalkan soalan. Dan kadangkala, orang yang masih hidup akan mencipta jawapan jauh sebelum soalan selesai ditanya.

Dua tahun sebelumnya, Abhirami belum berumur dua puluh tahun. Dia baru mencapai usia lapan belas tahun ketika ibunya memberitahu bahawa dia akan dikahwinkan.

“Dengan siapa?”

“Balakrishnan.”

Nama itu sudah lama dikenalinya. Balakrishnan ialah pemberi pinjaman wang yang datang ke rumah mereka beberapa kali. Dia tidak pernah meninggikan suara. Hakikat itu yang membuatkan Abhirami lebih takut kepadanya. Lelaki itu selalu bercakap perlahan; seolah-olah setiap perkataan sudah ditimbang berulang kali sebelum keluar dari mulut.

Ayah Abhirami pernah meminjam wang daripadanya untuk membayar kos rawatan, membaiki rumah, dan melangsaikan beberapa hutang lama. Faedah berkembang seperti akar pokok di bawah tanah. Apa yang pada mulanya kelihatan kecil, akhirnya menjadi jumlah yang tidak mampu mereka bayar.

“Dia kata, hutang akan selesai kalau engkau kahwin dengannya,” kata ibu.

Abhirami memandang wajah wanita yang melahirkannya.

Amma, saya manusia, bukan—”

Ibunya menangis. Itulah jawapan yang paling menyakitkan kerana tiada siapa mampu memberikan jawapan yang lebih baik.

Majlis perkahwinan berlangsung tanpa kegembiraan yang biasanya mengiringi mangalsutra, bunga melur, dan bunyi nadaswaram. Abhirami memakai sari merah tua. Bau cendana bercampur minyak rambut dan asap kemenyan memenuhi ruang kecil kuil.

Balakrishnan tersenyum sepanjang upacara. Dia kelihatan seperti lelaki yang baru memperoleh sesuatu yang sangat berharga. Abhirami pula merasakan dirinya seperti barang yang baru selesai dipindahkan dari satu tangan ke tangan yang lain.

Selepas berkahwin, Abhirami tinggal di sebuah rumah kecil di kawasan kuil. Kuil itu menjadi dunia Balakrishnan. Dia bukan sahaja pemberi pinjaman wang. Dia juga pendeta atau poosari di Kuil Dewi Abhirami serta ketua kepada pengikut setia seorang guruji yang dikenali sebagai Maharishi Prashamsaneeji.

Di hadapan para pengikut, Balakrishnan boleh bercakap tentang dharma, karma, shakti, dan kuasa Dewi Abhirami dengan suara penuh karismatik yang membuatkan orang tunduk mendengar. … (bersambung)

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

1 Sept 2026

Bengkel Penulisan Cerpen Terakhir



Pengenalan

Saya (Uthaya Sankar SB) mengendalikan bengkel penulisan cerpen di seluruh negara sejak tahun 1994. Siri bengkel, sesi bimbingan, dan permukiman turut diusahakan menerusi Kavyan (contoh di sini). Saya memutuskan untuk menghentikan semuanya. Maka, saya mengadakan satu bengkel penulisan terakhir pada Disember 2026. Mulai Januari 2027, hanya bimbingan secara profesional (berbayar) ditawarkan, iaitu “Khidmat Menyemak dan Menyunting Manuskrip” serta “Bimbingan Peribadi dalam Penulisan”. Kedua-duanya ialah khidmat berbayar; tiada lagi sebarang bimbingan percuma mulai 1 Januari 2027.



Bengkel Penulisan Cerpen Terakhir

Segala pengalaman saya terlibat dalam bidang penulisan kreatif sejak tahun 1991 serta pengalaman mengendalikan sesi bimbingan penulisan sejak tahun 1994 akan digunakan untuk mengendalikan bengkel penulisan terakhir ini. Saya tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi perkhidmatan saya pada “bengkel terakhir” ini. Sebaliknya, peserta membayar untuk menampung kos sewa tempat pengendalian bengkel.

 

Tarikh

Mula: 3.00 petang, 12 Disember 2026 (Sabtu)

Tamat: 12.00 tengah hari, 13 Disember 2026 (Ahad)

 

Tempat

Sebuah penginapan (homestay) di sekitar Petaling Jaya, Selangor. Perincian lokasi akan diberi kepada peserta berdaftar. Peserta perlu bermalam di tempat pengendalian bengkel. Jika peserta memilih untuk tidak menginap, yuran yang dikenakan masih sama kerana perlu menampung kos sewa tempat. Peserta wajib menyertai sesi pada kedua-dua hari.

 

Bayaran

Setiap peserta dikenakan bayaran RM60 (Enam Puluh Ringgit Sahaja) dan wang ini digunakan untuk menampung kos sewa rumah penginapan (homestay) di mana bengkel penulisan dikendalikan. Bayaran perlu dibuat apabila sudah ada jumlah peserta yang mencukupi.

 

Peserta

Enam (6) individu berumur minimum 18 tahun yang berminat menulis cerpen Bahasa Malaysia. Individu yang tidak mampu berkomunikasi (bercakap, membaca, menulis) menggunakan Bahasa Malaysia tidak diterima sebagai peserta. Peserta perlu membawa idea cerpen yang mahu ditulis serta mungkin bahan rujukan berkaitan. Peserta yang sudah menyediakan manuskrip cerpen tidak perlu menjadi peserta—sebaliknya boleh ,mendapatkan “Khidmat Menyemak dan Menyunting Manuskrip”. Peserta juga wajib membawa komputer riba dan wajib tahu menaip menuskrip—tanpa mengharapkan orang lain menjadi tukang menaip.



Bimbingan

Peserta akan menerima bimbingan secara berkumpulan dan juga secara individu. Sesi sumbang saran dan bedah karya juga diadakan secara berkumpulan dan individu. Semua sesi bimbingan berjalan di ruang tamu homestay dan bukan di dalam bilik.

 

Sasaran

Sebelum meninggalkan tempat bengkel berlangsung, peserta sudah menghasilkan minimum sebuah cerpen yang lengkap dan sedia untuk dikirim ke media penerbitan yang sesuai.

 

Kos Makan, Minum, Pengangkutan

Segala kos makan, minum, pengangkutan, perjalanan dan sebagainya ditanggung masing-masing peserta. Yuran yang dibayar hanya untuk menampung kos sewa tempat.

 

Tarikh Tutup

Pendaftaran peserta dibuka sehingga 15 November 2026 tetapi akan ditutup lebih awal jika sudah ada jumlah peserta yang mencukupi.

31 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 12)



[Sambungan daripada Bahagian Sebelas]

Apabila ingatan tidak lagi memerlukan pemilik, maka tidak ada lagi konsep “aku”. Hanya tinggal apa yang diingat. Dan apa yang mengingat. Serta jarak antara kedua-duanya yang semakin menipis sehingga tidak lagi boleh dibezakan.

Aku tidak lagi pasti sama ada aku masih sebahagian daripada kaka smriti. Nama itu sendiri kini terasa seperti bulu pelepah yang gugur dari tubuh yang sudah lama berubah bentuk.

Di ruang yang retak ini, identiti bukan lagi sesuatu yang dimiliki. Sebaliknya, ia hanyalah sesuatu yang terjadi.

Sungai Klang tidak lagi wujud sebagai sebatang sungai. Ia kini lebih hampir kepada suatu sistem pengulangan yang tidak lagi mengiktiraf arah. Setiap gelombang ialah versi lain kepada gelombang sebelumnya yang tidak pernah benar-benar menghilang.

Pada permukaan air sungai, wajah Rajendran Arunachalam muncul lagi tanpa permulaan. Kemudian, wajah itu hilang tanpa kesan. Sejurus kemudian, muncul semula dalam bentuk yang sedikit berbeza.

Arul sudah tidak berdiri sebagai individu. Dia muncul dalam beberapa titik sekali gus. Di tepi Kuil Sri Navaneetha Krishnar. Di atas permukaan air Sungai Klang. Di awang-awangan. Di dalam ingatan yang bukan milik aku. Malah, suaranya tidak lagi datang dari arah tertentu.

“Ini bukan kematian,” katanya. “Ini pembebasan bentuk.”

Aku bertanya: “Pembebasan apa?”

Jawapan tidak datang sebagai kata tetapi sebagai perubahan struktur yang amat absurd yang sukar dijangkau minda konvensional.

Meenakshi tidak lagi bercakap. Dia menjadi pola yang berulang pada setiap refleksi cahaya. Kadangkala aku melihatnya dalam mata Arul. Kadangkala dalam riak sungai. Kadangkala dalam bayangan cahaya bulan. Kadangkala dalam ruang kosong antara dua detik.

Dan setiap kali aku melihatnya, aku sedar: Meenakshi tidak lagi berada di mana-mana. Dia berada dalam “kemungkinan untuk dilihat”.

Di Chennai pula, Dr. Ananthan Subramaniam tidak lagi boleh membezakan antara eksperimen dan pengalaman. Makmal miliknya sudah hilang struktur fizikal. Kadangkala ia sebuah bilik. Kadangkala ia sebuah hutan seperti dalam epik Ramayana. Kadangkala ia Sungai Klang. Kadangkala ia Bandarya Diraja Klang.

Dan dalam setiap versi, skrin menunjukkan perkara yang sama: “Tiada pemerhati luar.”

“Kalau tiada pemerhati … siapa yang menulis semua ini?” Ananthan berbisik penuh kehairanan.

Skrin menjawab: “Soalan itu masih menggunakan masa. Masih menggunakan kala.”

Ananthan mula menangis. Bukan kerana takut tetapi kerana bahasa tidak lagi cukup untuk menampung apa yang sedang berlaku.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Dalam kaka smriti yang semakin runtuh, sesuatu yang lebih dalam mula berlaku. Ingatan tidak lagi bergerak secara linear dari masa lalu ke masa kini. Sebaliknya, ia bergerak dari semua arah sekali gus. Dan dalam pergerakan non-linear itu, pemilik ingatan sudah menjadi tidak relevan.

Aku nampak wajah Rajendran sekali lagi. Tetapi pada kali ini, dia tidak mempunyai sebarang cerita silam. Dia tidak menembak gagak pada Mei 2026. Maka, dia tidak ada sebab untuk menyesal.

Rajendran tidak lagi hidup. Sebaliknya, dia hanya “terjadi sebagai kemungkinan yang tidak dipilih”.

“Ini sudah keterlaluan; terlalu jauh dari fikiran,” kata Arul.

Aku tidak pasti dari mana suaranya datang.

“Atau kita yang terlalu kecil,” jawabku tanpa cuba mencari dari arah mana Arul berbicara.

Sementara itu, dalam bentuk terakhirnya, Dewa Sani tidak lagi menjadi struktur atau dewa. Dia menjadi ruang yang tinggal selepas semua pengulangan berhenti memerlukan sebab untuk wujud.

Bukan hukuman. Bukan karma. Bukan dharma. Bukan sebab. Bukan akibat. Tetapi muncul sebagai “kekosongan yang pernah mempelajari cara menjadi akibat”.

Dan dalam segala kekosongan itu, aku akhirnya memahami sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh ibu: Memori bukan untuk menyimpan masa lalu. Sebaliknya, ia wujud untuk memastikan masa lalu tidak pernah selesai.

Sungai Klang kini tidak lagi membawa air. Ia membawa versi. Setiap versi cuba menjadi versi yang sebenar. Akan tetapi, perlu disedari bahawa tidak ada lagi “sebenar”. Apa yang wujud kini hanya lapisan yang tidak berakhir.

Aku berdiri di tepi sesuatu yang dahulu disebut tebing sungai. Arul—atau apa sahaja yang pernah menjadi Arul—berkata: “Jika proses ini berterusan, kita akan hilang sebagai bentuk.”

“Bentuk sudah lama tidak penting,” aku menjawab.

Meenakshi—atau kemungkinan Meenakshi—berbisik: “Kalau begitu, apa yang tinggal?”

Aku melihat Sungai Klang yang tidak lagi sebatang sungai.

“Yang tinggal ialah apa yang tidak boleh lupa bahawa ia pernah lupa,” kataku.

Di Chennai, Ananthan juga akhirnya memahami sesuatu yang tidak dapat ditulis dengan kata-kata. Dia segera menutup sistem komputer. Bukan kerana ia rosak tetapi kerana ia terlalu lengkap. Ya, sistem komputer dan kecerdasan buatan (AI) yang terlalu lengkap.

Dan dalam keheningan terakhir itu, saintis berkenaan mendengar satu ayat yang tidak datang dari mesin, gagak, atau dirinya sendiri: “Pemerhati telah sepenuhnya menjadi yang diperhatikan.”

Dan pada saat itu, kaka smriti tidak lagi pecah. Ia tidak lagi wujud. Malah, ia tidak juga hilang. Sebaliknya, ia hanya berhenti membezakan antara yang mengingati dan yang diingati.

(bersambung pada 7 September 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

29 Aug 2026

Vrihanala, Watak Misteri dari Mahabharata



Cerpen “Laksamana Arjunatersiar di Free Malaysia Today (21 Januari 2012) sebelum dimuatkan dalam buku Pulau Pendatang (2015) dan Cerpen (2024). Fikyen ini memperlihatkan satu pendekatan kreatif yang jarang ditemukan dalam sastera kebangsaan.

Pengarang tidak sekadar mengadaptasi epik Mahabharata, sebaliknya memilih satu episod yang sering dipinggirkan dalam perbincangan umum, iaitu tempoh Arjuna hidup sebagai Vrihanala, seorang guru tarian dan muzik yang berpenampilan wanita (transgender) selama setahun akibat sumpahan Urvasi.

Episod ini menjadi teras kepada sebuah penceritaan yang bukan sahaja memperkenalkan pembaca kepada sisi lain watak Arjuna, malah membuka ruang tafsiran baharu terhadap hubungan antara tradisi sastera India dan tradisi kesusasteraan Melayu.

Cerpen “Laksamana Arjuna” berfungsi bukan sekadar sebagai sebuah karya fiksyen tetapi juga sebagai sebuah teks intertekstual yang memaksa pembaca berfikir secara kritikal tentang sejarah, mitos, identiti, dan proses pembentukan naratif budaya.

Keistimewaan paling ketara cerpen ini ialah keberanian pengarang mengangkat kisah Vrihanala sebagai pusat penceritaan. Dalam kebanyakan penceritaan moden, Arjuna biasanya digambarkan sebagai pahlawan agung, pemanah terbaik, dan wira di medan perang Kurukshetra.

Episod penyamarannya sebagai Vrihanala sering dianggap sampingan walaupun sebenarnya mempunyai nilai psikologi dan falsafah yang besar. Dalam epik Mahabharata, penyamaran itu berlaku ketika Pandava menjalani tahun terakhir pembuangan di istana Raja Virata.

Pengarang menjadikan episod yang kurang diberikan perhatian ini sebagai pintu masuk kepada seluruh cerpen. Sejak halaman awal lagi, pembaca diperkenalkan kepada watak Vrihanala sebagai guru muzik dan tarian yang disegani di istana Raja Virata, sementara identiti sebenar tokoh itu hanya muncul secara beransur-ansur melalui cerita-cerita yang disampaikannya kepada putera-puteri di istana.

Pendekatan ini selari dengan pandangan Joseph Campbell dalam The Hero with a Thousand Faces (1949) bahawa wira dalam mitologi bukan sekadar tokoh peperangan, tetapi juga individu yang melalui proses transformasi identiti sebelum mencapai kematangan.

Dalam konteks ini, pengalaman Arjuna sebagai Vrihanala menjadi sebahagian daripada perjalanan kepahlawanannya. Cerpen “Laksamana Arjuna” mengingatkan pembaca bahawa kekuatan seseorang wira bukan hanya terletak pada kemampuan mengangkat senjata tetapi juga pada keupayaan mengharungi situasi kehilangan identiti, penghinaan, penyamaran, dan penderitaan.

Lebih menarik apabila pengarang tidak berhenti sekadar pada usaha memperkenalkan semula episod Vrihanala. Sebaliknya, pengarang cerpen ini menghasilkan suatu naratif berlapis yang mencampurkan fakta epik dengan imaginasi kreatif.

Kita dapat perhatikan bagaimana watak Vrihanala mula mencipta pula cerita tentang watak Laksamana Arjuna yang belayar ke sebuah kerajaan maritim, menerima gelaran baharu, serta menjalani pengalaman yang pasti mengingatkan pembaca kepada kisah-kisah dalam Hikayat Hang Tuah. 

Pembaca sedar bahawa cerita tersebut tidak pernah wujud dalam epik Mahabharata. Namun, pengarang sengaja membiarkan sempadan antara sejarah, legenda, dan rekaan menjadi kabur serta terbuka keapada interpretasi.

Di sinilah terletaknya satu lagi kekuatan cerpen “Laksamana Arjuna”. Ia menggalakkan pembaca mengamalkan pembacaan berciri intertekstual. Menurut Julia Kristeva dalam esei bertajuk “Word, Dialogue and Novel” (1966), setiap teks sebenarnya merupakan pertemuan pelbagai teks lain yang saling bertindih dan saling mempengaruhi.

Fiksyen “Laksamana Arjuna” membuktikan teori itu melalui penggabungan kisah-kisah daripada Mahabharata, Ramayana, Hikayat Hang Tuah, dan Sejarah Melayu dalam satu ruang penceritaan yang sama. Cerpen ini tidak menyatakan secara tuntas bahawa watak Hang Tuah berasal daripada watak Arjuna atau bahawa lima bersaudara Pandava menjadi model kepada penciptaan watak Hang Tuah dan empat sahabatnya.

Sebaliknya, pengarang hanya menyisipkan petunjuk-petunjuk halus yang membolehkan pembaca sendiri membina hipotesis. Teknik ini jauh lebih berkesan daripada penjelasan secara langsung kerana memberi ruang dan peluang kepada pembaca membuat kesimpulan sendiri.

Pembaca yang mengenali kisah Mahabharata akan segera menyedari persamaan bilangan lima bersaudara, konsep kesetiaan kepada raja, kehebatan persenjataan, dan perjalanan ke tanah asing. Pembaca yang mengenali Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu pula akan mengesan unsur laksamana, pelayaran, Majapahit, keris, serta hubungan diplomatik antara kerajaan maritim.

Cerpen “Laksamana Arjuna” tidak memberikan sebarang jawapan mutlak, sebalikya menyediakan ruang spekulasi intelektual. Pendekatan sedemikian mengingatkan pembaca kepada teori Umberto Eco dalam The Open Work (1962).

Umberto Eco menjelaskan bahawa karya sastera yang baik bukanlah karya yang memberikan semua jawapan, sebaliknya karya yang membuka pelbagai kemungkinan tafsiran. Cerpen “Laksamana Arjuna” merupakan contoh jelas konsep “karya terbuka” di mana pengarang sengaja meninggalkan banyak persoalan tanpa penyelesaian.

Adakah Vrihanala benar-benar mengingati kehidupan silamnya sebagai Arjuna? Adakah semua cerita yang disampaikannya sekadar rekaan? Atau mungkinkah legenda Hang Tuah sebenarnya menyerap unsur-unsur daripada tradisi Mahabharata dan Ramayana? Semua persoalan itu dibiarkan tergantung sehingga penghujung cerita.

Cerpen ini juga berjaya memperlihatkan bagaimana mitos sentiasa mengalami proses penyesuaian budaya. A. K. Ramanujan dalam esei “Three Hundred Ramayanas” (1991) menunjukkan bahawa sesuatu epik tidak pernah mempunyai satu versi tunggal. Setiap masyarakat akan menghasilkan tafsiran baharu mengikut latar budaya masing-masing.

Walaupun A. K. Ramanujan membincangkan epik Ramayana, prinsip yang sama boleh diaplikasikan kepada Mahabharata. Cerpen “Laksamana Arjuna” pula boleh dianggap sebagai sebuah “versi Malaysia” yang bersifat imaginatif, bukan kerana mahu menggantikan teks asal, tetapi kerana ingin menunjukkan bagaimana sesuatu mitos sentiasa hidup melalui proses penceritaan semula.

Selain aspek intertekstual, cerpen ini turut mengangkat persoalan identiti gender dengan sangat halus. Watak Vrihanala digambarkan sebagai lelaki berpakaian wanita, mengajar tarian, mengenakan pakaian berwarna-warni, malah menikmati keindahan pakaian tersebut tanpa rasa malu. 

Gambaran ini bukan bertujuan mencetuskan sensasi, sebaliknya mengingatkan pembaca bahawa konsep kepahlawanan dalam epik India jauh lebih kompleks daripada stereotaip maskuliniti moden. Watak Arjuna tetap seorang pahlawan walaupun pernah hidup sebagai transgender bernama Vrihanala. Malah, pengalaman itu menjadikannya lebih memahami penderitaan manusia.

Kehalusan pengarang semakin terserlah apabila kisah Draupadi dan “Pooja” dipersembahkan secara selari. Kedua-dua wanita akhirnya menjadi mangsa keputusan lelaki. Putera-puteri istana mula mempersoalkan sama ada wanita hanyalah barang dagangan yang boleh dipindahkan sesuka hati oleh golongan lelaki. 

Pertanyaan itu tidak dijawab secara tuntas oleh Vrihanala. Kesunyiannya menjadi jawapan yang lebih kuat daripada sebarang hujah panjang. Pengarang berjaya membawa isu patriarki ke dalam cerpen tanpa menjadikannya sebuah karya propaganda.

Aspek metafiksyen turut memperkukuhkan keunikan karya ini. Vrihanala sendiri mengakui bahawa dia tidak lagi mampu membezakan antara realiti dan khayalan.

Pengakuan itu sebenarnya mencerminkan pengalaman pembaca. Semakin lama membaca, semakin sukar bagi pembaca membezakan babak atau watak mana yang berasal daripada epik Mahabharata, mana yang dipinjam daripada Hikayat Hang Tuah, dan mana pula yang benar-benar lahir daripada imaginasi si pengarang. Kekeliruan itu bukan kelemahan naratif, sebaliknya strategi estetik yang bertujuan mengajak pembaca mempersoalkan konsep “kebenaran” dalam sastera.

Pengakhiran cerpen juga sangat signifikan. Watak Vrihanala terus menari sambil mengulang janji cinta kepada Pooja, sedangkan pembaca mengetahui bahawa sebahagian besar kisah tersebut mungkin hanya lahir daripada imaginasinya.

Penamat sebegini meninggalkan kesan emosi yang mendalam kerana ia tidak bergantung pada kejutan plot, sebaliknya pada kesedaran bahawa manusia sentiasa membina identiti melalui cerita yang diceritakan kepada diri sendiri dan kepada orang lain.

Secara keseluruhan, cerpen “Laksamana Arjuna” merupakan sebuah fiksyen yang luar biasa kerana berjaya melakukan beberapa perkara secara serentak. Pertama, karya ini memperkenalkan pembaca kepada satu episod daripada epik Mahabharata yang kurang diberi perhatian iaitu kehidupan Arjuna sebagai Vrihanala.

Kedua, karya ini membina hubungan intertekstual yang halus antara epik India dengan tradisi kesusasteraan Melayu tanpa membuat dakwaan sejarah secara langsung. Ketiga, karya ini menggalakkan pembaca mengamalkan pembacaan kritikal dengan menilai sendiri kemungkinan-kemungkinan di luar teks.

Keempat, cerpen ini membuktikan bahawa karya sastera yang benar-benar bermutu bukanlah karya yang memberikan jawapan, sebaliknya karya yang terus melahirkan pertanyaan baharu setiap kali diulang baca. Dalam hal ini, pengarang bukan sekadar menghidupkan kembali kisah daripada epik Mahabharata, malah mengajak pembaca menyedari hakikat setiap mitos sentiasa terbuka kepada tafsiran, imaginasi, dan penciptaan semula merentas budaya dan zaman.