Buku Vetalam dan Vikramaditya (2020)
merupakan buku ketiga dalam siri Karya Klasik India yang saya usahakan bagi
memperkenalkan karya-karya dari negara India kepada khalayak pelbagai kaum dan
pelbagai bahasa ibunda di Malaysia.
Sejumlah penyumbang budiman — senarai nama di sini — tampil
menghulurkan sumbangan dalam bentuk tempahan awal berbayar bagi membantu saya
menampung sebahagian kos percetakan.
Mengapa mereka tampil menyokong usaha penerbitan buku Vetalam dan Vikramaditya? Khususnya
dalam keadaan buku belum dicetak, dan rakyat Malaysia dituduh kurang membaca.
Berikut pengakuan beberapa rakan
apabila dihubungi pada 1 Februari 2020.
“Saya tampil menyokong penerbitan buku Vetalam dan Vikramaditya kerana saya tahu tulisan Uthaya bermutu
dan menepati sasaran. Tambahan pula, kisah klasik ini adalah bacaan saya dalam
Bahasa Tamil sewaktu kecil.” – M. Mahendran (Bentong, Pahang)
“Saya tampil menyokong penerbitan buku Vetalam dan Vikramaditya kerana tulisan Uthaya mudah difahami,
dengan penggunaan laras bahasa yang sesuai. Kisah ini juga pasti membawa saya
kembali ke zaman kanak-kanak di mana saya pernah membacanya dalam Bahasa
Inggeris. Seperkara lagi, saya pasti bahawa saya tidak akan meletakkan buku ini
sehingga saya habis membacanya kerana itulah perkara yang berlaku semasa
membaca buku-buku lain tulisan Uthaya.” – Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)
“Saya tampil menyokong penerbitan buku Vetalam dan Vikramaditya kerana alam pembaca karya Bahasa Malaysia sekali lagi mampu diperkaya dengan
karya berunsur mitos, kebudayaan, tradisi dan kepelbagaian dari benua India.” –
Chandran Krishnan (Simpang Ampat,
Pulau Pinang)
“Saya tampil
menyokong penerbitan buku Vetalam dan
Vikramaditya kerana kalau ada sesiapa yang mampu menyampaikan cerita ini
dengan intisari yang menarik, individu itu adalah Uthaya.” – Asokan @ Farouk Gulsara (Cheras, Kuala
Lumpur)
“Saya tampil menyokong penerbitan buku Vetalam dan Vikramaditya kerana ia merupakan
hasrat murni Uthaya sebagai seorang penulis yang sentiasa melakukan pembaharuan
serta menyampaikan buah fikiran menerusi penulisan yang bermutu, padat, dan
berinformasi. Kisah teladan klasik ini pasti membawa pengajaran dan teladan
kepada para pembaca. Saya tidak sabar untuk menjamu
kandungan buku ini. Pada masa sama, harapan saya adalah agar lebih banyak karya
klasik dan epik India-Hindu diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia.” – Jaymani Sevanathan (Klang, Selangor)
Lihat juga — [Harapan Pembaca] — [Reaksi Pembaca] — [36 Sebab Anda Perlu Membaca Karya Uthaya] — [Pandangan Pembaca] — [Buku-buku
Uthaya]