Memandangkan 19 daripada 20 cerpen dalam antologi Sedegup Cinta (2015) mengangkat tema,
latar dan budaya masyarakat Melayu-Islam, buku selenggaraan AC Jaffrie dan
Monalita Mansor ini boleh dibaca khusus untuk mendalami minda Melayu.
Grup Mari Menulis (GMM) selaku penyelenggara antologi ini
telah membuka peluang kepada para ahli mengemukakan cerpen berintikan tema
cinta tetapi disampaikan secara unik dan estetik dari segi latar, perwatakan
dan gaya penceritaan.
Walaupun aspek bahasa gramatis khabarnya diambil kira
sebagai salah satu kriteria pemilihan, ternyata pelbagai kesilapan ejaan dan bahasa
– khususnya penggunaan “ke” secara tidak betul – masih berleluasa.
Pada tahun-tahun awal 1980-an, saya sering membaca
cerpen-cerpen dalam majalah hiburan URTV.
Bukan kerana mahukan karya bermutu tinggi yang mencabar minda, tetapi sekadar
bacaan ringan pada waktu terluang.
Cerpen-cerpen dalam Sedegup
Cinta secara spontan mengingatkan saya kepada pengalaman itu. Tema dan
persoalan, gaya penceritaan, plot dan konflik yang disajikan para penulis tidak
jauh berbeza.
Hal ini bermakna cabaran, persoalan, isu dan citra
masyarakat Melayu masa sekarang tidak jauh berbeza dengan situasi 1980-an. Atau
sekurang-kurangnya begitulah diandaikan dan digambarkan para penulis terbabit.
Dalam beberapa cepen, watak tertentu meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya. Beberapa watak berada dalam koma bagi tempoh agak lama.
Beberapa watak ada penyakit kronik.
Kebanyakan watak menghadapi dilema dalam memilih antara Si A dan Si B untuk dicintai atau
dikahwini. Sebagaimana kebanyakan filem Tamil dan Hindi,
segala masalah selesai dengan perkahwinan (pernikahan).
Tema dan persoalan disajikan para penulis memang tidak mampu
menjentik minda pembaca yang inginkan bahan bacaan yang mencabar
intelektualiti.
Akan tetapi, kesemua cerpen ini masih seronok dibaca secara
santai untuk memahami pemikiran dan minda masyarakat Melayu. Tambahan pula,
sesungguhnya fiksyen dan cereka adalah cerminan dan citra budaya masyarakat.
Berbeza dengan cerpen-cerpen dalam majalah URTV pada tahun 1980-an, rata-rata
cerpen dalam antologi Sedegup Cinta
menampakkan pengaruh filem Hindi, filem Tamil dan drama Korea.
Suatu lagi perbezaan ketara – pada penelitian saya –
terletak pada pemilihan nama watak. Berbeza dengan watak-watak tahun 1980-an,
watak Melayu kini diberikan nama seperti Esya, Narssimo, Angelo, Anura, Auni
Batrisya dan Ammar Naufal.
Nama-nama lain termasuk Ayunie, Zariq, Aliya Batrisya, Dani
Arfan, Nuran Syaziah, Azril Faizal, Nur Ifti Atila, Ahmad Aidin Rizky, Habib
Zakuan, Ashraf Daniel, Izrine, Aqil Suhayi, Izzarif Yuzli, Maizatul Syifak,
Ammar Firdaus dan Naufal.
Perkara ini juga boleh dijadikan panduan untuk memahami
minda dan cita rasa orang Melayu pada masa sekarang. Mungkin juga para penulis
terpengaruh dengan novel-novel cinta popular terbitan Alaf21.
Dari segi nilai sastera, rata-rata penulis hanya melihat
setiap persoalan pada lapisan permukaan sahaja. Kurang usaha mendalami konflik,
dilema dan psikologi watak.
Memandangkan antologi ini memuatkan cerpen-cerpen yang
ditulis khusus mengikut tema ditetapkan penyelenggara, muncul beberapa karya
yang sekadar bercerita. Maksudnya, tiada apa-apa yang berlaku.
Ciri-ciri dan unsur-unsur sebuah cerpen masih belum dikuasai
sepenuhnya. Dalam sebuah cerpen (cerita pendek) yang relatif singkat, tidak
perlu menceritakan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan kisah utama (tema).
Misalnya, dalam sebuah cerpen, diceritakan panjang-lebar kisah
seorang lelaki Cina berurusan di pejabat pos. Akan tetapi, kisah itu tiada
apa-apa kaitan dengan cerita lucu yang cuba disampaikan.
Tempoh masa yang mampu dipaparkan dalam sebuah cerpen juga
amat pendek. Kehadiran “enam bulan berlalu”, “sebulan berlalu”, “beberapa bulan
kemudian”, “lima belas bulan kemudian” dan seumpamanya menunjukkan kelemahan
penulis dalam menukang cerita.
Isu dan persoalan yang disajikan ketara berlegar sekitar bercinta,
bertunang, berkahwin dan bercerai. Mungkin tema “cinta” yang ditetapkan
penyelenggara menyebabkan perkara ini berlaku.
Apa pun, kelahiran antologi ini perlu diraikan. Ia amat
sesuai dijadikan bacaan santai untuk merehatkan otak, menghiburkan minda, serta
memahami pemikiran masyarakat masa kini.
(Ulasan buku ini ditulis pada 30 November 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Disember 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Lebih banyak ulasan
buku – DI SINI)