18 Mar 2015

Guru SJKT dan Bunuh Diri – Bahagian 2

[BACA BAHAGIAN SATU] Sejak Cikgu Selvi mendapat gred DG44, secara mendadak, dia mula diberikan beban kerja dan jumlah mata pelajaran di luar akal rasional. Dia terpaksa mengajar lima kelas Bahasa Inggeris, tiga kelas Sains, tiga kelas Muzik dan tiga kelas Pendidikan Jasmani.

Secara purata, Selvi perlu menanda 700 buku setiap minggu. Setiap dua hari, Puan Saraswathi akan menyemak buku-buku berkenaan secara rambang dan sengaja mencari kesalahan.

Pelbagai tekanan diberikan secara berterusan oleh guru besar itu. Misalnya, Saraswathi turut mempersoalkan mengapa Selvi tidak memberikan kerja rumah kepada murid-murid pada cuti hujung tahun!

Pada waktu itulah Selvi mula tidak mampu mengawal tekanan dan penderaan mental yang diterima. Akan tetapi, penderaan itu berterusan sehingga Selvi hanya mampu menangis pada setiap mesyuarat.

Sebaik sesi persekolahan bermula pada Januari 2012, Saraswathi masuk ke setiap kelas di mana Selvi mengajar. Dia akan sengaja mencari kesalahan dan menghinanya dengan sangat teruk di hadapan murid-murid setiap kelas.

“Guru besar akan sentiasa mengungkitkan bahawa sebagai guru DG44 yang mengatasi DG32 (guru besar itu), maka prestasi saya mesti lebih baik daripada dia,” Selvi mengeluh sambil mengimbas pengalaman itu.

Oleh kerana sudah tidak mampu menanggung segala penderaan mental dan emosional, Selvi pengsan di dalam kelas pada suatu hari semasa sedang dihina bertubi-tubi oleh Saraswathi.

Apabila dibawa ke pusat perubatan, pakar mengesahkan Selvi mengalami depressive disorder dan diberikan cuti sakit selama sepuluh hari. Sepanjang tempoh itu pun Saraswathi tidak berhenti daripada terus memberikan tekanan.

Guru besar meminta guru-guru lain dan kerani menelefon secara bertali-arus untuk menyuruh Selvi membatalkan cuti dan datang semula ke sekolah.

Saraswathi turut menelefon pegawai di pejabat pendidikan daerah (PPD) dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura sakit. Kononnya doktor pakar memberikan surat cuti sakit yang palsu.

“Saya berada dalam keadaan mamai dan ketakutan selama sepuluh hari itu. Suami saya menceritakan (kemudian) bahawa apabila cuti sakit tamat, saya berpaut pada kakinya dan merayu supaya tidak diminta pergi semula ke sekolah berkenaan. Saya sudah tidak tahan dengan penderaan Saraswathi,” Selvi mengakui.

Kemurungan Mencetuskan Idea Bunuh Diri

Rawatan susulan diterima di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Selvi diberikan ubat anti depression pada dos tinggi kerana doktor mendapati keadaannya agak teruk.

Anak-anak juga menerima kesan daripada keadaan kesihatan Selvi. Anak bongsu berumur lapan tahun pada waktu itu. Selvi masih dalam trauma dan sering kali tidak tahu apa yang sedang dilakukannya.

Emosi dan keadaan mentalnya sangat terganggu. Beberapa kali Selvi dikatakan cuba mencederakan anaknya sendiri. Selvi hanya tahu mengenai insiden itu apabila diceritakan beberapa bulan kemudian.

Sementara itu, Saraswathi tidak berhenti daripada mengganggu dengan terus menghubungi pegawai PPD dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura atau berlakon seperti orang sakit kerana malas bekerja.

“Rakan-rakan kerja mengirim e-mel dan SMS untuk bertanya khabar. Semua SMS dan e-mel balasan saya dicetak oleh guru besar.

“Salinan itu dikemukakan kepada PPD sebagai bahan bukti kononnya saya masih mampu berkomunikasi secara waras, maka sepatutnya dipaksa kembali ke sekolah,” guru itu menceritakan.

Selvi sudah tidak mampu menanggung segala tekanan dan gangguan emosional apabila dihubungi secara bertalu-talu oleh sekolah untuk memintanya datang semula. Wajah Saraswathi sentiasa terbayang di depan mata.

Guru itu mula menjadi bertambah murung pada waktu tertentu dan ganas pada waktu lain. Anak-anaklah yang turut menerima kesan daripada semua ini. Anak bongsu yang tidak memahami apa-apa turut menjadi mangsa.

Selvi mengaku bahawa ada suara dalam hati yang menyarankan supaya segala penderitaan itu ditamatkan dengan cara mencabut nyawa sendiri. Suara halus itu sentiasa muncul dalam fikiran dan cuba menghasutnya.

Beberapa kali Selvi mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari tingkat enam pangsapuri. Mujurlah anak bongsunya berjaya menghalang.

Kisah Yang Perlu Dijadikan Pengajaran

Anak-anak yang belajar dan menginap di luar semakin risau. Prestasi pelajaran mereka juga terjejas teruk kerana memikirkan kesihatan ibu mereka.

Keadaan diri Selvi tidak terurus. Anak sulung yang belajar di luar negara terkejut besar melihat keadaan ibunya sewaktu pulang bercuti. Selvi dibawa semula ke PPUM.

Doktor mengesahkan keadaannya semakin teruk dan diberi cuti sakit 90 hari. Selvi pulang ke rumah ibu bapanya di Perak untuk menerima penjagaan rapi. Anak bongsu dibawa bersama.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) tampil membantu sebaik sahaja kes ini dibawa kepada perhatian mereka oleh anak sulung Selvi.

Setiausaha Agung KPPK, Lok Yim Pheng, bersemuka dengan Saraswathi untuk membincangkan isu yang timbul. Selvi juga dihantar kepada kaunselor khas di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor untuk khidmat kaunseling.

Guru itu tidak henti-henti berdoa dan memohon “dibebaskan” daripada terus menjadi mangsa penindasan dan kezaliman Saraswathi.

Selvi sudah serik dengan sikap guru besar itu yang bukan hanya memusnahkan hidupnya, tetapi hidup seluruh keluarganya.

Akhirnya, berkat campur tangan KPPK, pada Mei 2012, Selvi ditukarkan ke sekolah lain dan beliau bertugas dengan cemerlang di sana sehingga hari ini. Prestasi murid-muridnya meningkat dari hari ke hari.

“Pada mulanya, saya masih dalam proses pemulihan. Saya cukup bertuah kerana guru besar di sekolah baru amat prihatin dan penyayang.

“Sokongan guru-guru dan kakitangan di SJKT itu juga menjadi terapi positif yang berjaya mengembalikan saya kepada diri saya yang asal,” Selvi mengakhiri ceritanya.

Kisah Selvi wajar menjadi rujukan, panduan dan pengajaran kepada semua pihak terbabit bagi memastikan guru-guru tidak dijadikan mangsa kerakusan, kezaliman, penindasan dan ketamakan guru besar serta sistem pendidikan negara yang kacau-bilau. [Baca juga - Tamil School Teacher Tries to Commit Suicide] [Baca juga - Anda Mahu Terus Membisu?]

[Makalah ini ditulis pada 5 Februari 2015 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 10 Februari 2015. BACA MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Makalah ini banyak dikongsi dalam kalangan guru besar SJKT dan politikus. Kononnya pandangan guru besar SJKT patut turut disiarkan supaya adil. Maka, peluang telah dibuka sehingga 14 Mac 2015 untuk mana-mana pihak tampil memberikan komen untuk disiarkan. Bagaimanapun, tidak ada sesiapa yang menghubungi penulis untuk diwawancara. Apa yang nyatakan, kes seperti yang dipaparkan menerusi makalah ini bukan kes terpencil, sebaliknya berleluasa! SUARAKAN MASALAH ANDA DI SINI. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]