9 Jun 2014

Dari DNA Babi ke Lemak Lembu

Isu DNA babi dalam coklat muncul pada 24 Mei 2014 dan “selesai” pada 2 Jun 2014. Orang India-Hindu turut hairan dan terkejut apabila coklat yang mendapat pengesahan “Halal” daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan mengandungi DNA babi.
 
Untuk makluman, ramai orang India dan Hindu yang tidak makan daging lembu dan babi. Maka, insiden melibatkan coklat Cadbury turut menyentuh sensitiviti mereka.
 
Saya sendiri secara peribadi sering juga membawa coklat Cadbury sebagai buah tangan apabila berkunjung ke rumah orang: Islam, Hindu dan sebagainya.
 
Tentulah saya melakukan perkara itu tanpa sedar dan tanpa sebarang niat. Mujurlah Jakim tampil “menyelesaikan” isu dengan membuat pengesahan rasmi bahawa tidak ada sebarang DNA babi pada coklat berkenaan.
 
Dalam pada itu, hasil perkongsian maklumat bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum dan agama dari dalam dan luar negara, saya mendapat pengesahan pada 28 Mei 2014 bahawa keropok kentang jenama Pringles memang mengandungi lemak lembu.
 
Perkara ini tentulah merisaukan pengguna Hindu. Malah, Mohini dari Melaka bertanya apakah pengguna India-Hindu boleh menyaman syarikat pengeluar barangan berkenaan.
 
Saya menjelaskan kepadanya bahawa walaupun ada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bercadang menyaman syarikat Cadbury dalam isu DNA babi, orang ramai (India-Hindu) tidak boleh menyaman pengeluar Pringles kerana sudah tercatat jelas pada bahagian “ramuan” bahawa barangan makanan itu mengandungi lemak lembu.
 
Rakan-rakan tampil memberikan contoh barangan yang disahkan mengandungi lemak lembu dan wajar dielakkan orang Hindu yang prihatin. Tentulah perkongsian maklumat ini tidak bertujuan menghina mana-mana kaum atau agama, atau menyalahkan syarikat pengeluar.
 
Sebaliknya untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Hindu bahawa ada banyak barangan makanan yang mengandungi lemak lembu tetapi kita sering terlepas pandang. Peristiwa DNA babi pula berjaya membuka mata sekelompok orang.
 
Apabila saya bertanya menerusi paparan Facebook pada 4 Jun 2014, ramai yang mengaku kini lebih prihatin terhadap barangan makanan yang mengandungi lemak lembu serta mengelak daripada membeli barangan berkenaan. – Makalah ini ditulis pada 6 Jun 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 9 Jun 2014 [BACA MAKALAH PENUH DI SINI] Baca juga: Ke Mana Hilang Si Babi Licik?