Saya sedang dalam proses menerbitkan antologi
cerpen Bahasa Malaysia yang memuatkan karya
sekumpulan penulis tempatan. Antologi ini dijadualkan
terbit pada Mac 2014.
Bagi membuka ruang penglibatan lebih ramai
rakan-rakan dan kenalan dalam penerbitan buku ini, saya mengundang rakan-rakan
dan kenalan – jika sudi dan tertakluk
syarat-syarat yang menyusul – untuk menjadi sukarelawan sebagai Editor
Bersekutu.
Berikut beberapa perkara asas yang perlu
diperhatikan dan dilakukan sebelum
seseorang membuat keputusan:
1. Editor Bersekutu adalah secara sukarela; tidak dibayar.
2. Individu yang berminat WAJIB menghantar biodata diri secara lampiran (attachment)
ke alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my
sebelum 31 Disember 2013. Panjang
biodata adalah minimum 50 patah
perkataan dan maksimum 150 patah
perkataan serta ditulis dalam satu
perenggan sahaja. Contoh biodata yang profesional boleh dirujuk dalam Kisah dari Siru Kambam (2013) dan Hanuman: Suara Hati (2013). Lihat juga
contoh DI SINI.
3. Individu yang berminat WAJIB menghantar foto diri secara lampiran ke
alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my
sebelum 31 Disember 2013. Hanya foto
profesional akan dipertimbangkan. Foto mestilah profesional – misalnya foto gaya
pasport, kad pengenalan atau profil kerajaan/korporat – bukannya foto lawak, selfie
dan tidak profesional yang hanya sesuai untuk paparan di Facebook. Sila kirim foto warna bersaiz besar. Contoh foto yang
profesional boleh dirujuk dalam novel Hanuman: Suara Hati (2013). Lihat juga
contoh DI SINI.
4. Pemilihan Editor Bersekutu akan dilakukan berasaskan biodata diri
dan foto profesional yang diterima sebelum 5:00 petang [Waktu Kavyan], 31 Disember 2013 –
kerana ia menjadi bukti sikap profesional, disiplin dan kematangan berfikir.
5. Jumlah Editor Bersekutu yang diperlukan adalah terhad. Konsep “siapa cepat, dia dapat” digunakan
secara adil.
6. Setiap Editor Bersekutu perlu bersedia memberikan komitmen penuh
dalam menyemak dan menyunting sekurang-kurangnya dua buah cerpen.
7. Setiap Editor Bersekutu perlu bersedia menjalankan tugas secara
berdisiplin, mengikut jadual, berdikari, matang dan profesional.
8. Setiap Editor Bersekutu akan diberikan masa sekitar sebulan sahaja untuk
menyemak manuskrip cerpen.
Rakan-rakan pelbagai kaum daripada pelbagai latar pekerjaan,
pelajaran, bakat dan minat yang sanggup mematuhi panduan asas di atas dipelawa
tampil menawarkan diri secara sukarela.
Maklumat
Editor Bersekutu akan dirahsiakan sehingga mereka menyelesaikan tugas
menyunting dan menyemak manuskrip yang diamanahkan. Biodata dan foto akan
dimuatkan dalam antologi; selain mungkin dipaparkan di blog dan media sosial
lain bagi tujuan promosi.