9 Apr 2013

Takkan Melayu Hilang di Malaysia

Hang Tuah yang khabarnya berketurunan Bugis dipercayai pernah berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Dalam pada akur dan percaya kepada kata-kata itu, saya sebenarnya lebih risau memikirkan kemungkinan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dimanipulasi golongan tertentu yang menjadi semacam “musuh dalam selimut” lalu “merampas” Hak Istimewa Orang Melayu “secara sah”.

Untuk rekod, analisis ini tidak bertujuan mempertikaikan Hak Istimewa Orang Melayu serta golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, sebagai peringatan supaya jangan pula sampai ke tahap kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah semasa Majlis Syarahan Perdana Budaya di Petaling Jaya pada 7 November 2012 antara lain bertitah bahawa sesungguhnya wujud kebimbangan orang Melayu tentang kemasukan kaum imigran Cina dan India ke Tanah Melayu sejak kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20.

“Demi memastikan orang Melayu tidak menjadi minoriti di bumi warisan pusaka bangsanya, Raja-raja Melayu menzahirkan saranan kepada pentadbiran Inggeris (sebelum merdeka) supaya tenaga kerja asing diimbangi dengan turut mengambil tenaga kerja dalam kalangan orang-orang Jawa,” titah baginda dalam teks yang turut disiarkan di majalah Dewan Masyarakat (Januari 2013).

Sejak kecil, sewaktu membesar di Taiping, Perak, saya ada rakan-rakan pelbagai kaum, agama, etnik dan latar belakang. Bagi saya, orang Melayu adalah orang yang benar-benar berdarah Melayu serta beragama Islam.

Akan tetapi, menjelang usia remaja, saya menyedari bahawa tanggapan dan andaian saya salah; sekurang-kurangnya secara teknikal. Ada beberapa individu yang saya kenali sebenarnya kaum India dan Cina tetapi tiba-tiba menjadi “Melayu” apabila memeluk Islam.

Sesungguhnya, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan “orang Melayu” sebagai individu yang menganut agama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Anak-anak kepada individu terbabit juga secara automatik memenuhi definisi “orang Melayu”.

Tentu sahaja saya tidak sedikit pun berniat mempertikaikan apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan; khususnya Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dan Perkara 153 (Hak Istimewa Orang Melayu). 

[Makalah ini ditulis pada 21 Februari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Februari 2013. Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]