15 Dec 2012

Kisah Ibu

Dua filem Tamil yang mengangkat kisah ibu dijangka mendapat perhatian peminat filem bermutu (ulang: bermutu) menjelang penghujung tahun.
 
Filem drama Aarohanam (2012) tulisan dan arahan Lakshmy Ramakrishnan mengangkat kisah seorang ibu yang hilang. Wanita itu menghidap komplikasi bipolar disorder. Lakshmy sebelum ini antara lain berlakon dalam Eeram (2009), Raavanan (2010), Yuddham Sei (2011) dan Rowthiram (2011).

Antara tokoh terkenal dunia yang dikenal pasti mengalami bipolar disorder ialah Abraham Lincoln, Isaac Newton, Agatha Christie, Vincent van Gogh, Napoleon Bonaparte, Marilyn Monroe, Edgar Allan Poe, Winston Churchill, Mark Twain, Ludwig van Beethoven dan Jim Carrey. Cuma, jangan terpengaruh dengan kebodohan melampau yang disajikan menerusi filem 3 (2012) lakonan Dhanush.
 
Thangar Bachan pula mengarahkan filem drama Ammavin Kaipesi (2012) berdasarkan novelnya sendiri (2009). Selain menerbit, Thangar yang sebelum ini mengarah filem-filem hebat seperti Azaghi (2002), Solla Marandha Kadhai (2002), Pallikoodam (2007) dan Onbadhu Rubai Nootu (2007) turut berlakon dan menangani sinematografi bagi projek terbaru ini.

Shanthanu (iaitu anak kepada Bhagyaraj) yang dikatakan melonjak menerusi filem sulung Sakkarakatti (2008) memegang watak Annamalai dalam filem ini. Bagaimanapun, dia bukanlah watak utama kerana ada satu lagi watak (saya tidak mahu mendedahkan siapa) yang lebih penting dan mendukung cerita hingga kemuncak. Filem ini berciri melodrama dan sedikit meleret-leret dengan babak-babak sampingan dan lagu-lagu yang tidak perlu. Pujian bagi Revathi (bukan Asha Kelunni Kutty) yang memegang watak ibu tua.
 
Saya berpeluang menonton Aarohanam (Crescendo) dan Ammavin Kaipesi (Mother's Handphone) pada 14 Disember 2012, sebelum ke Ipoh dan Taiping pada 15 Disember 2012.