[Pelbagai saranan dan panduan yang dikemukakan dalam Kama Sutra
turut diakui pakar seksologi moden.]
[BAHAGIAN SATU - DI SINI] Tentu sekali muncul pandangan yang berbeza
daripada pelbagai pihak mengenai Kama Sutra. Apatah lagi memandangkan
teks ini membicarakan isu-isu yang dianggap tabu dalam masyarakat; khususnya
masyarakat India .
Antara lain, Kama Sutra “mengizinkan” setiap individu memiliki lebih
daripada satu pasangan.
Bab Lima bertajuk “Isteri Orang” misalnya
memberi nasihat serta panduan kepada lelaki dan wanita yang ingin menjalin
hubungan di luar ikatan perkahwinan. Bab Enam pula khusus bagi wanita simpanan
dan pelacur.
Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa
memang terdapat banyak ilmu dan pendidikan seks dan seksualiti dalam Kama
Sutra. Kaum lelaki diajar cara-cara melayan isteri. Turut dikemukakan
panduan praktikal bagi mengatasi masalah lemah tenaga batin. Petua-petua ini
terdapat dalam hampir setiap bab.
Telah dinyatakan lebih awal bahawa Kama
Sutra turut memperkatakan mengenai keserasian bagi alat kelamin lelaki dan
wanita. Dijelaskan secara terus-terang dalam Kama Sutra bahawa alat
kelamin lelaki dan wanita terdapat dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna.
Setiap jenis diberi nama timangan menggunakan nama binatang; misalnya “lembu
jantan” dan “rusa betina”.
Suatu hakikat yang terpaksa diterima pada
masa kini adalah mengenai pendedahan golongan remaja terhadap perlakuan seks menerusi
video lucah dan internet. Ramai yang mendapat gambaran yang salah iaitu bahawa
alat kelamin yang bersaiz besar bagi lelaki menjamin kepuasan hubungan seks.
Sebaliknya, Kama Sutra menegaskan
bahawa saiz alat kelamin – bagi lelaki mahu pun wanita – tidak menjadi faktor
penentu tahap kepuasan. Sebaliknya keserasian antara alat kelamin pasangan –
mengikut kategori yang dijelaskan dalam Kama Sutra – boleh menjamin
kepuasan. Malah, saranan yang dikemukakan dalam Kama Sutra dalam hal ini
turut diakui pakar seksologi moden.
Tidak setakat itu, Kama Sutra turut
memberi panduan dan tips kepada suami-isteri yang tidak memiliki “pasangan”
alat kelamin yang serasi. Hal ini dijelaskan dalam bab terakhir Kama Sutra.
Dalam Kama Sutra, hubungan kelamin
pasangan suami-isteri dirujuk sebagai “penyatuan” atau “union”. Sembilan
jenis “penyatuan” dijelaskan secara terperinci untuk panduan dan manfaat
pasangan terbabit. Untuk mencapai “penyatuan” yang memberikan kesan yang
maksimum, perlu ada keserasian antara jenis dan saiz alat kelamin pasangan
terbabit.
Bagi pasangan yang tidak memiliki
keserasian yang dinyatakan di atas, Kama Sutra memberikan panduan bagi
cara memaksimumkan kesan dan kepuasan. Untuk itu, diterangkan secara terperinci
30 posisi seks yang boleh membantu pasangan terbabit mencapai nikmat dan
kepuasan yang diinginkan.
Apa yang lebih menarik, Kama Sutra
menyebut bahawa melalui 30 posisi seks ini, seseorang individu akan mempelajari
ratusan cara untuk menjalin hubungan seks!
Posisi seks yang diterangkan pula diberi
nama-nama yang agak melucukan; misalnya “lembu”, “kuda jantan”, “ketam”, “seruling
patah” dan “ratu kayangan”. Sekiranya diteliti, kebanyakan posisi yang
disarankan ini amat sukar dipraktikkan. Namun, perlu diingat bahawa pada zaman Kama
Sutra ditulis, rata-rata masyarakat India melakukan yoga sebagai aktiviti seharian.
Kama Sutra juga
ternyata adalah teks yang memuatkan maklumat berdasarkan kajian saintifik. Teks
ini menyelongkar realiti kehidupan. Misalnya, Vatsyayana mengumpul maklumat
daripada para pengkaji sebelumnya; lalu mencatatkan bahawa seorang lelaki
secara purata hanya mengambil masa sepuluh minit untuk mencapai kemuncak (klimaks)
semasa hubungan seks. Golongan wanita pula memerlukan masa antara 30 dan 40
minit.
Atas dasar itulah juga Kama Sutra
mementingkan aktiviti sebelum hubungan seks yang disebut foreplay. Turut
dikemukakan tips bagi memastikan “permainan” yang lama dan memberi kepuasan
kepada kedua-dua pihak. Dalam hal ini, dinyatakan beberapa posisi seks yang
mampu meningkatkan “nikmat” bagi wanita serta melambatkan lelaki mencapai
kemuncak.
Vatsyayana turut menyentuh mengenai seks
lisan (oral sex) dan seks dubur (anal sex) dalam Kama Sutra
serta menerangkan lapan teknik yang diamalkan; tetapi sempat mengingatkan
bahawa kedua-duanya adalah seks tidak normal yang wajar dihindari bagi
mengelakkan kesan negatif.
Bahagian terakhir Kama Sutra ternyata
membicarakan mitos dan kepercayaan berkaitan kekuatan tenaga batin serta
saranan mengatasi masalah lemah tenaga batin. Antara maklumat yang pasti hanya
merupakan kepercayaan karut adalah bahawa sekiranya seorang lelaki memegang
mata merak yang dibalut dengan kepingan emas di tangan kiri, maka dia akan
mendapat kepuasan maksimum dalam hubungan seks.
Turut disenaraikan petua memikat, menggoda
serta memukau gadis. Terdapat juga petua mengatasi masalah mati pucuk, menambah
ketegangan serta memastikan ketegangan yang berpanjangan. Ada juga petua untuk membolehkan seorang
lelaki meniduri seribu wanita!
Malah, satu lagi petua menjelaskan bahawa
suatu ramuan perlu dicampur dengan tahi monyet. Campuran itu perlu direnjis
oleh si lelaki pada gadis yang diidamkan. Maka, si gadis tidak akan terpikat
kepada mana-mana lelaki lain selain si lelaki yang merenjis ramuan itu tadi.
Tidak diketahui sama ada saranan yang
dibuat pada bahagian terakhir Kama Sutra benar-benar akan membuahkan
hasil. Bahagian Satu hingga Bahagian Enam diakui sebagai mengandungi maklumat
yang boleh dipercayai serta praktikal. Mungkinkah panduan dan saranan dalam
Bahagian Tujuh juga boleh diterima?
Hal ini masih menjadi
teka-teki. Rata-rata pembaca lebih tertarik pada enam bahagian terawal kerana
membicarakan hal-hal yang lebih menarik, praktikal dan merangsang naluri
seksual. Menurut Kama Sutra, keadaan ini tidaklah menghairankan kerana
memang begitu tabii manusia.
Bagi menyelongkar lautan
berahi yang terkandung dalam Kama Sutra, tentunya anda perlu membaca
sendiri teks berkenaan dengan penuh teliti. Apatah lagi, kini Kama Sutra terdapat
dalam pelbagai bahasa; termasuk versi berilustrasi.
Maklumat juga boleh dicapai
melalui internet dan dalam bentuk DVD. Ilmu dan petua yang baik bolehlah dijadikan
panduan berguna bagi golongan dewasa; manakala apa-apa perkara yang dirasakan
tidak baik wajarlah dijadikan sempadan.
Bagaimanapun, bagi khalayak beragama Islam,
sila semak dahulu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan
“hukum” membaca Kama Sutra kerana
saya tidak mahu dituduh cuba menggugat keimanan atau menyesatkan anda!
(Uthaya Sankar SB gemar mengkaji tamadun, seni dan budaya masyarakat
India. Beliau adalah pemilik tunggal “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya”. Catatan
ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB)