10 Feb 2012

Twist Bersama Archer

Satu-satunya novel Jeffrey Archer yang pernah saya baca setakat ini ialah False Impression (2006).

Kumpulan cerpennya pula sudah saya baca kesemuanya kerana saya memang meminati fiksyen dan faksyen yang tepu dengan unsur twist, kejutan dan plot di luar jangkaan.

Buku terbaru Archer yang sedang saya habiskan pembacaan ialah The New Collected Short Stories (2011) yang sebenarnya menggabungkan tiga kumpulan cerpen sebelum ini.

Tiga buku itu ialah To Cut A Long Story Short (2000), Cat O’Nine Tales (2007) dan Thereby Hangs A Tale (2010).

Sebagai peminat karya yang mencabar minda, saya sedikit kecewa dengan koleksi terbaru ini. Atau mungkin juga saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada Archer.

Pada 2001, saya membeli dan membaca The Collected Short Stories (1998) yang sebenarnya menggabungkan tiga buku iaitu A Quiver Full of Arrows (1980), A Twist in the Tale (1989) dan Twelve Red Herrings (1994).

Seperti yang digambarkan melalui judul-judul di atas, cerpen-cerpen Archer sentiasa menampilkan twist atau pengakhiran cerita (plot) yang benar-benar di luar dugaan; namun tetap logik apabila difikirkan semula.

Walau bagaimanapun, sewaktu membaca The New Collected Short Stories mulai 27 Januari 2012, saya tertanya-tanya: Apakah Archer sudah kehilangan “sentuhan ajaib” yang dimilikinya pada 1980-an dan 1990-an?

Antara keistimewaan Archer yang diakui peminat karyanya di seluruh dunia adalah pengakhiran cerita yang benar-benar di luar dugaan. Sekali gus membuatkan pembaca tertanya-tanya apa yang akan berlaku sepanjang membaca cerpen berkenaan.

Kebijaksanaan Archer “menipu” pembaca menggunakan teknik red herring juga selalu membuatkan khalayak sentiasa terkejut dengan kesudahan cerita yang biasanya menggabungkan kisah benar dengan imaginasi pengarang.

Dalam buku The New Collected Short Stories, terdapat terlalu banyak cerita yang ditulis berdasarkan apa yang Archer dengar daripada beberapa banduan semasa beliau berada di penjara dari 2001 hingga 2003.

Archer yang pernah menjadi Ahli Parlimen (1969-74) dan Timbalan Pengerusi Parti Konservatif (1985-86) turut “hadir” sebagai dirinya sendiri (“Jeff”) dalam kebanyakan cerpen untuk menceritakan secara langsung kisah-kisah yang pernah didengarnya di penjara.

Beliau hadir sebagai watak yang tidak ada sebarang peranan dalam menggerakkan cerita. Mungkin itu antara faktor yang membuatkan saya kurang meminati The New Collected Short Stories berbanding The Collected Short Stories.

Cerpen “The Expert Witness” dan “Crime Pays” masih menarik walaupun berdasarkan kisah benar. Perlu dinyatakan bahawa kedua-duanya ditulis sebelum Archer masuk penjara.

Kebanyakan cerpen dalam Cat O’Nine Tales dan Thereby Hangs A Tale pula menampilkan unsur twist, kejutan dan unsur luar dugaan yang ternyata seperti dipaksa-paksa.

Terus-terang, saya gagal menemui apa-apa kejutan, misalnya pada “The Man Who Robbed His Own Post Office”, “Maestro”, “Don’t Drink the Water”, “It Can’t Be October Already” dan “A Good Eye”.

Cuma cerpen “Blind Date” mengembalikan kehebatan Archer dalam membuatkan pembaca (iaitu saya) berkata “Oh!” apabila selesai menikmati apa yang disajikan pengarang.

Namun, tentulah semua ini berdasarkan pandangan dan pengalaman pembacaan saya seorang sahaja. Mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi.

Hal ini tidak mustahil kerana saya sudah terbiasa menikmati dua twist, dua kali kejutan, dua kali ganda unsur luar dugaan dan pengakhiran yang menuntut pemikiran lateral.

Perkara itu berlaku apabila saya membaca cerpen-cerpen Jeffery Deaver dalam Twisted (2003) yang sebenarnya lebih baik berbanding More Twisted (2006).

Apa pun, jangan percaya bulat-bulat kata-kata saya kerana saya juga suka memasukkan unsur twist dan kejutan dalam penulisan saya! (Baca juga Twist - DI SINI)

[Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Beliau juga kolumnis di The Malaysian Insider. Ulasan buku ini ditulis pada 29 Januari 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.]