19 Jul 2011

Catatan dari Beijing


Pada mulanya, saya, Jasmine Koh, Izan Ali dan Nurul Fadzillah menyangka mungkin ada acara khas seperti pameran atau konsert artis tempatan yang berlangsung sempena cuti musim panas.


Bagaimanapun, pemandu pelancong kami, Tan See Hua yang berasal dari Tangkak, Johor memaklumkan bahawa orang ramai – tua, muda, lelaki, wanita – sedang menunggu untuk masuk melawat universiti berkenaan.


“Keadaan ini adalah apa yang berlaku setiap hari dan memandangkan kini cuti musim panas, maka jumlah kedatangan meningkat,” kata calon PhD dari Institut Teknologi Beijing itu semasa kami menaiki bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing menuju ke Hotel Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU).


Kami mendarat pada pukul 6:25 pagi dalam cuaca mendung sedikit dan cuaca 24 darjah Celsius. Perkara lain yang diperhatikan dalam masa beberapa minit sahaja kami tiba di Beijing adalah bahawa kenderaan di sini menggunakan sistem pemanduan sebelah kiri seperti di Amerika Syarikat.


Selain itu, beberapa meter sebelum bas sampai di sesuatu perhentian, pengumuman dibuat dan penumpang diminta berdiri dan bersiap sedia berhampiran pintu jauh sebelum bas berhenti! Hal ini pasti berbeza dengan amalan di Malaysia.


Perkara lain yang disedari dan disahkan oleh See Hua selepas kami mendaftar masuk di Hotel BFSU pada pukul 8:45 pagi adalah sekatan terhadap Facebook, Twitter, YouTube dan blogspot.


Maka, saya hanya menggunakan YM dan e-mel untuk memaklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia serta anak di UK bahawa kami sudah selamat tiba di Beijing atas tajaan syarikat penerbitan One Nusantara Sdn Bhd selama sepuluh hari.


Kemudian, pada pukul 9:15 pagi, Izan, Fadzillah, See Hua dan saya menaiki bas ke Universiti Tsinghua. Jasmine pula berehat kerana masih terlalu penat memandangkan dia baru tiba dari Australia pada pagi 11 Julai dan tidak sempat berehat sebelum berlepas ke Beijing.


Di universiti itu, kami perhatikan orang ramai yang berbaris panjang untuk masuk ke perkarangan institusi pengajian tinggi berkenaan. Kami berempat pula disambut oleh Tan Guang Ruey, presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB) yang berasal dari Batu Pahat, Johor.


Kami berlima berjalan sekeliling kampus universiti yang terlalu besar sambil mendengar pelbagai kisah yang dikongsikan kedua-dua pemuda berkenaan. Suasana kampus juga amat sibuk dengan kehadiran begitu ramai orang dari seluruh China untuk melawat universiti walaupun tidak ada apa-apa acara khas.


Basikal pula menjadi kenderaan paling lazim di dalam dan di luar kampus. Walaupun kenderaan mewah turut kelihatan di mana-mana, basikal tetap menjadi pilihan utama orang ramai di Beijing.


Guang Ruey, 23, yang sedang mengikuti pengajian kejuruteraan menceritakan bahawa memang sentiasa ada pertemuan antara para pelajar Malaysia yang berada di Beijing sejak AMSIB ditubuhkan sepuluh tahun lalu.


“Malah, Kedutaan Malaysia sering menghubungi kami untuk membantu berkongsi apa-apa maklumat dan perkembangan di Malaysia. Hubungan para pelajar dari Malaysia memang rapat serta kami berasa amat seronok dan bangga apabila bertemu pelajar pelbagai kaum dari Malaysia,” katanya.


See Hua, 29, pula membuat penelitian bahawa pelajar dari Malaysia lebih rajin dan tekun belajar berbanding pelajar tempatan.


“Pelajar tempatan kelihatan lebih releks sebaik berjaya masuk ke universiti kerana peperiksaan sekolah menengan tinggi adalah lebih sukar dan mencabar sebelum mereka yang layak sahaja berjaya masuk universiti,” katanya.


Walaupun berada di luar negara, para pelajar Malaysia tetap mengikuti perkembangan terkini menerusi perbualan telefon, YM, e-mel dan Skype bersama-sama rakan-rakan dan keluarga di kampung halaman.


Kehadiran akhbar dalam talian seperti Sin Chew Daily serta portal berita seperti The Malaysian Insider, Free Malaysia Today dan Malaysiakini juga diakui amat membantu mereka mendapatkan berita sebenar secara tepat dan segera.


Sambil kami berlima minum di kafe, kami berkongsi pelbagai lagi kisah berkaitan kehidupan pelajar Malaysia di Beijing. Bagi pelajar beragama Islam, tidak menjadi masalah kerana setiap universiti diwajibkan mempunyai kantin makanan halal. Kantin ini dibuka sepanjang tahun; termasuk semasa cuti musim panas dan sejuk.


Pada pukul 2:00 petang, kami menaiki bas menuju ke Universiti Peking. Sekali lagi, orang ramai berbaris panjang. Kami tidak perlu menunggu terlalu lama kerana proses mendaftar masuk berjalan lancar dan teratur.


Sekali lagi, kami kagum dengan pelbagai kehebatan yang terdapat di sini. Unsur moden dan tradisional hadir beriringan dalam segenap aspek di universiti ini.


Izan dan Fadzillah mengakui bahawa masa dua minggu pun mungkin tidak mencukupi untuk melawat dan menikmati pelbagai keunikan yang terdapat di kampus ini. Tidak hairanlah rombongan pelajar dan keluarga dari dalam dan luar negara diatur ke sini setiap hari.


Selepas itu, kami sempat singgah di PC Mall untuk membeli beberapa barangan keperluan. Penggemar peralatan elektronik, komputer dan multimedia memang pasti akan terpegun dengan bukan satu, tetapi puluhan bangunan besar yang dibina khusus bagi peralatan seperti ini.


Pada sebelah malam hari pertama di Beijing, kami berlima ke Rumah Teh Laoshe. Ia menyajikan pengalaman minum teh tradisional dalam suasana seperti masa silam.


Muzik, nyanyian, komedi, silap mata, opera dan persembahan menukar topeng yang disajikan benar-benar menghiburkan, memukau dan ‘berbaloi’.


Walaupun amat penat dan sakit kaki berjalan sepanjang hari, pengalaman hari pertama di Beijing – termasuk makan sepenuhnya menggunakan kayu penyepit – memang sangat bermakna dan kami tidak sabar-sabar untuk “memenatkan diri” selama sembilan hari lagi!


Keterangan foto: Izan, Fadzillah, Guang Ruey dan See Hua di kampus Universiti Tsinghua, Beijing.


Baca lebih banyak catatan pengalaman di Beijing:


Nasihat Jika ke Beijing – DI SINI


Masjid Niujie Wajib Dikunjung – DI SINI


Rangkaian Subway di Beijing – DI SINI


Enam Sekawan di Beijing – DI SINI


Facebook dan Twitter Alternatif – DI SINI


Antara Tembok Besar dan Kota Larangan - DI SINI


798 Art Zone, Beijing - DI SINI


Makanan Halal di Beijing - DI SINI


Meneroka Beijing dari 'Kosong' - DI SINI