18 May 2011

Merungkai Insiden 20 April – Bahagian 2

Susulan perbualan dengan Encik Kashfi Abdul Rauf seperti yang boleh dibaca DI SINI, saya menghubungi beberapa pihak untuk mendapatkan maklum balas mereka berhubung beberapa perkara.

Malah, selepas memuatkan berita “AJK PIBG Marah Wartawan” di blog pada 13 Mei 2011, saya mendapat maklumat daripada K Pragalath (wartawan terbabit) pada pagi 14 Mei bahawa beliau (wartawan) sudah memberikan kad nama dan nombor telefon kepada Kashfi pada 11 Mei semasa temubual. (Namun, Kashfi tetap menafikannya apabila saya bertemu beliau pada 20 Mei 2011.)


Saya ada menyebut perkara itu kepada Kashfi semasa kami berbual pada 16 Mei tetapi beliau menafikan wartawan memberikan kad nama dan nombor telefon.


Mengenai kenyataan bahawa beliau “sudah menyediakan kenyataan bertulis sebanyak 4 muka surat” pula, saya memberikan kad nama saya – dan tiga kali bertanya untuk memastikan saya sudah memberi kad nama dan beliau sudah menerima kad nama itu! – dan meminta Kashfi mengirim kenyataan itu kepada saya melalui e-mel.


Saya memberi jaminan akan menyiarkan kenyataan itu sepenuhnya di blog ini. Bagaimanapun, sehingga pukul 10:00 malam, 18 Mei 2011, saya belum menerima “kenyataan bertulis sebanyak 4 muka surat” itu yang pasti membantu merungkai pelbagai persoalan.


Dalam pada itu, bagi mengesahkan fakta, pada 17 Mei 2011 – cuti umum sempena Hari Wesak – saya bertemu secara bersemuka dengan beberapa guru dan belasan pelajar pelbagai kaum di sekitar Shah Alam. Saya bertemu mereka secara berasingan bagi memastikan tidak wujud keadaan mereka “berkongsi” jawapan yang sama.


Saya tidak dapat mendedahkan identiti guru-guru terbabit kerana mereka adalah penjawat awam. Namun, saya tetap memerlukan pengesahan daripada mereka mengenai apa yang berlaku pada 20 April 2011.


Identiti pelajar terbabit juga tidak dapat saya dedahkan kerana mereka masih belajar di sekolah sama dan saya tidak mahu mereka menjadi “mangsa” mana-mana pihak semata-mata kerana mereka berani mendedahkan fakta dan maklumat kepada seorang perunding media dan blogger.


Kesemua mereka (guru dan pelajar) berada di tempat kejadian pada pagi 20 April 2011. Kesemua mereka mengesahkan bahawa individu yang “memilih” pelajar yang dikatakan terlibat dalam pergaduhan adalah puan pengetua dan tidak melibatkan Kashfi seperti diceritakan kepada saya pada 16 Mei 2011 – BACA DI SINI.


Walaupun saya menemui kesemua guru dan pelajar pelbagai kaum itu secara berasingan pada masa yang berlainan dan di tempat yang berlainan, maklumat yang mereka berikan adalah sama: Pengetua yang “memilih” dan “menyerahkan” 20 pelajar kaum India kepada polis untuk dibawa ke Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam.


Dalam usaha saya merungkai insiden yang berlaku hampir sebulan lalu demi kebaikan bersama, nampaknya masih ada banyak percanggahan fakta. Timbul pula persoalan baru dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa: Mengapa Kashfi kelihatan bagaikan sanggup “memikul” kesalahan yang dilakukan oleh pengetua yang “memilih” dan “menyerahkan” pelajar kepada polis?


“Itu yang saya pun rasa pelik dan tak faham,” kata seorang pelajar yang mengaku mengenali Pengerusi Biro Keselamatan PIBG itu.