12 May 2011

Alahai, Sasterawan Negara

Tahniah kepada Datuk Kemala (Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah) yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-11 oleh Menteri Pelajaran pada 3 Mei lalu.

Maka, Malaysia mendapat seorang lagi Sasterawan Negara (SN) sebagai lambang kebanggaan negara. Apatah lagi, seperti yang semakin kerap dilaungkan pihak tertentu sejak Januari 2011, golongan sasterawan berkenaan menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong dan merupakan pengiktirafan tertinggi kepada khalayak sastera.

Untuk makluman, sepuluh SN yang turut menerima anugerah itu ialah Kamaluddin Muhamad @ Keris Mas (1981), Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Dr Usman Awang (1983), Datuk A. Samad Said (1986), Muhammad Dahlan Abdul Biang @ Arena Wati (1988), Profesor Dr Muhammad Haji Salleh (1991), Datuk Noordin Hasaan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996), S. Othman Kelantan (2001) dan Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009).

Hakikat yang sedikit perit tetapi perlu diakui adalah bahawa tidak semua SN di atas – serta SN terbaru – dikenali khalayak umum; khususnya kelompok yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia sastera bahasa kebangsaan.

Jangan kita lupa – atau buat-buat lupa atau buat-buat terlepas pandang – bahawa nama Datuk Abdullah Hussain tidak disebut pada kulit hadapan novel Interlok yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Jauh sebelum timbulnya kontroversi novel Interlok (edisi murid), sekadar untuk mengetahui reaksi rakan-rakan secara umum, maka pada 5 Januari 2010, saya meminta rakan-rakan di Facebook menyatakan nama SN “yang pertama sekali muncul dalam fikiran”.

Jumlah rakan saya di Facebook tidaklah terlalu ramai kerana saya sengaja menghadkannya; dan saya bukannya terkenal pun. Maka, jumlah “undi” yang diperoleh memanglah relatif amat sedikit.

Namun, sedikit-sebanyak masih boleh membantu memberikan gambaran kasar seperti berikut: A. Samad Said (14), Usman Awang (12), Shahnon Ahmad (6), Abdullah Hussain (2) dan Noordin Hassan (1).

Rakan-rakan di Facebook turut memberi komen tambahan bersama-sama undian yang dilakukan. Misalnya, Datuk Shahnon Ahmad dilihat sebagai “sasterawan yang berani dan kreatif” dan ada rakan yang “tabik pada Datuk Usman Awang”.

Datuk A. Samad Said yang lebih dikenali sebagai “Pak Samad” dan “Uncle Sam” ternyata paling kerap – dan paling awal – muncul dalam fikiran apabila rakan-rakan saya di Facebook diminta menyenaraikan nama SN.

Ada rakan menyatakan “He rocks” manakala seorang lagi mengulas, “kadang-kadang saya melihat beliau disambut rakyat seakan-akan rockstar; Cuma beliau tidak memakai jaket kulit”.

Dalam catatan komen di Facebook pada 5 Januari 2010, seorang lagi menyimpulkan Pak Samad sebagai “sasterawan kreatif yang dapat memacu puncak kesusasteraan tanah air”. [BACA DI SINI]

Lebih setahun kemudian, iaitu pada 7 Februari 2011, saya menulis begini pada ruangan status saya di Facebook: “Jika diminta menamakan dua Sasterawan Negara, nama siapakah yang paling awal muncul dalam minda anda?”

Akhirnya, pada lewat malam hari berkenaan, selepas meneliti respon yang diterim daripada rakan-rakan, saya mencatatkan begini: “Alahai! Nama Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) masih tidak muncul secara spontan dalam minda kita rupanya.”

Saya nyatakan demikian kerana berikutan kontroversi novel Interlok (edisi murid) sejak 15 Disember 2010, nama Pak Lah menjadi sebutan ramai; termasuk golongan yang tidak pernah mendengar nama beliau dan/atau membaca mana-mana karya beliau.

Tentulah saya mempunyai alasan untuk berasa hairan kerana tidak seorang pun daripada rakan-rakan pelbagai kaum – termasuk golongan penulis – yang mengemukakan nama Pak Lah dalam “undian” tidak rasmi itu. Sedangkan hipotesis (jangkaan) saya adalah bahawa nama Pak Lah akan mendahului senarai berbanding “undian” pada 5 Januari 2010.

Dalam pada itu, umum juga mengetahui bahawa beberapa persatuan penulis (yang tiba-tiba sahaja mula “berasaskan” kaum) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memang berasaskan kaum, tampil mempertahankan Interlok (walaupun tanpa mampu membezakan antara edisi asal, edisi pelajar dan edisi murid).

Malah, pertama kali dalam sejarah negara bertuah ini, berita mengenai seorang SN dan karyanya menjadi berita utama di muka depan beberapa akhbar!

Jadi, tentulah saya – atau sesiapa sahaja – tidak boleh dilabel “biadab” apabila melahirkan rasa hairan mengapa nama Pak Lah langsung tidak muncul dalam “undian” atau “tinjauan ringkas” yang dilakukan itu. [BACA DI SINI]

Namun, sebaliknya pula pandangan seorang individu yang menulis di sebuah akhbar arus perdana dengan pertanyaan, “apakah agenda Uthaya sebenarnya menganjurkan undian itu ketika isu Interlok sedang menggelegak” walaupun individu itu berpandangan bahawa “undian itu bersifat suka-suka”.

Nampaknya, khalayak diharapkan dan diwajibkan membisu seribu bahasa apabila timbul sebarang isu atau persoalan berkaitan SN dan karya mereka.

Maaf, bagi saya, bukan itu caranya kita menghargai SN. Bukan dengan cara menjadi tukang angguk. Apabila khalayak memperkatakan mengenai SN dan karya mereka, bukan bermakna mereka memperlekeh atau menghina Anugerah Sastera Negara yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong. Tidak sama sekali!

Sekadar contoh nyata, apabila novel SHIT (1999) oleh Datuk Shahnon Ahmad diperkatakan, dipolemikkan dan dikritik hebat, apakah bermakna kedudukan beliau sebagai SN dipersoalkan?

Adakah timbul persoalan bahawa apabila karya itu (SHIT) dikritik, maka masyarakat yang meluahkan rasa meluat dan menyampah itu menghina Yang di-Pertuan Agong memandangkan Datuk Shahnon Ahmad menerima Anugerah Sastera Negara daripada baginda?

Pada masa sama, saya sebagai khalayak sastera juga amat hairan mengapa tin-tin kosong hanya berbunyi secara amat selektif. Tidak ada pula kedengaran “suara” mengenangkan nasib Pak Samad dan karya-karya beliau. Begitu juga dengan nasib karya-karya Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Saya berani menyentuh mengenai nasib kedua-dua SN berkenaan serta karya mereka kerana saya melihat sendiri apa yang berlaku. Ada pihak yang bersikap lepas tangan selepas hak cipta karya-karya kedua-dua SN itu diambil balik oleh SN itu atau keluarganya.

Maka, timbul persoalan: Apakah SN yang disanjung tinggi itu akan hilang segala kedudukan dan haknya sebaik beliau (atau keluarga) tidak lagi menyerahkan hak cipta karya kepada kerajaan (atau agensi kerajaan)? Dan beliau tidak lagi dilihat (dan dihargai) sebagai sasterawan yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong?

Ini belum lagi menyentuh pelbagai perkara lain berhubung hak dan keistimewaan SN tertentu yang diabaikan pihak tertentu yang dipertanggungjawabkan supaya melaksanakan tugas itu mewakili kerajaan. Termasuk “mempromosi” SN kepada khalayak.

Tidak ketinggalan juga sikap tin-tin kosong yang hanya bising secara selektif dan bukan secara menyeluruh memperjuangkan nasib para SN khasnya dan sasterawan amnya.

Maka, tentulah saya mempunyai alasan kukuh untuk mengeluh mengenangkan nasib SN di negara bertuah ini. Dan tentunya saya akan dikecam lebih hebat kerana tidak sekadar menjadi tukang angguk seperti kebanyakan orang lain.

(Uthaya Sankar SB mengucapkan tahniah kepada One Nusantara Sdn Bhd yang aktif memperkenalkan Sasterawan Negara kepada murid dan pelajar seluruh negara.)

© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 9 Mei 2011.