12 May 2011

Nanyang Siang Pau

Akhbar Nanyang Siang Pau keluaran 12 Mei 2011 melaporkan berita dengan tajuk bahawa ibu bapa berhimpun di hadapan sekolah dan mahu Kementerian Pelajaran menyiasat pengetua yang tidak ambil tindakan dalam kes pelajar yang pukul pengawas.

Menurut laporan itu, 50 ibu bapa yang mengadakan perhimpunan itu tidak puas hati dengan pengetua sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam itu sejak beliau bertukar ke sekolah berkenaan empat tahun lalu.


Ibu bapa dan penjaga memberitahu pemberita bahawa disiplin sekolah semakin teruk dan nama baik sekolah rosak berikutan sikap pengetua yang tidak berwibawa dan gagal melaksanakan tugas sebagai pentadbir yang baik.


Tajuk kecil pula melaporkan mengenai seorang ibu yang kecewa kerana pengetua itu lepas tangan dalam isu anaknya dibelasah lapan pelajar di kawasan sekolah dengan alasan bahawa ibu mangsa sudah membuat laporan polis.


Satu lagi tajuk kecil menyebut bahawa pelajar sekolah berkenaan juga tidak puas hati dan mula memprotes dengan cara menconteng pada dinding dalam kawasan sekolah. Grafiti itu ditujukan kepada pengetua.


Foto yang disiarkan termasuk dengan catatan bahawa polis tidak membenarkan ibu bapa memegang sepanduk (kad manila) semasa mengadakan perhimpunan aman di hadapan sekolah.