29 Jul 2010

Pelacur Bahasa

“Ada kalanya saya tidak faham apa yang dikatakan oleh anak-anak Thai dalam bahasa ibunda mereka.”
.

Demikian antara luahan Menteri Kebudayaan Thailand, Nipit Intarasombut menjelang sambutan Hari Bahasa Kebangsaan pada 29 Julai 2010.

.

Saya terbaca berita mengenai pandangan yang dikongsikan beliau bersama wartawan Associated Press (AP), Kinan Suchaovanich di ruang siber pada 23 Julai 2010.

.

Kajian yang dilakukan Kementerian Kebudayaan Thailand ke atas 6,500 individu berumur lebih 13 tahun baru-baru ini mendapati bahawa empat daripada sepuluh remaja Thai berpendirian “bahasa Thai yang betul” hanya perlu digunakan dalam urusan rasmi. Hampir satu per tiga pula tidak mengambil berat mengenai kesilapan ejaan, penggunaan singkatan dan kesalahan bahasa yang dilakukan.

.

Walaupun berita ini adalah berkaitan remaja di Thailand, saya dapati perkara yang sama berlaku di Malaysia. Bezanya hanyalah bahawa “Bahasa Thai” diterima sebagai “bahasa rasmi” dan “bahasa kebangsaan” di Thailand. Di Malaysia pula, “Bahasa Malaysia” pada hakikatnya hanya melukut di tepi gantang dalam kalangan kerajaan dan rakyat.

.

Facebook dan Twitter dikesan menjadi punca penguasaan bahasa semakin luntur dalam kalangan pelajar,” kata Nipit berdasarkan hasil dapatan daripada kajian berkenaan yang diumumkan pada 22 Julai 2010.

.

Saya akui bahawa bahasa yang “tidak betul” menjadi semacam budaya dalam kalangan pengguna Facebook, Twitter dan SMS. Pembunuhan bahasa secara sengaja dan terancang ini turut berlaku kepada Bahasa Malaysia dan perkara itu dilakukan Bangsa Malaysia sendiri; bukan Amerika Syarikat, Barat, Zionis atau Yahudi.

.

Sebagaimana dikatakan oleh Nipit, tentulah sukar untuk menghalang anggota masyarakat berkomunikasi mengikut cara yang mereka mahu (dan tahu).

.

“Apa pun berlaku, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memelihara Bahasa Thai,” katanya.

.

Saya tidak tahu sejauh mana Kerajaan Malaysia benar-benar komited dalam memastikan Bahasa Malaysia terus terpelihara di negara ini; bermula dengan Kerajaan Malaysia sendiri – termasuk Menteri Kabinet, Ahli Parlimen dan semua agensi kerajaan – membuktikan mereka tahu, mahu dan mampu memperjuangkan Bahasa Malaysia yang betul dalam urusan seharian.

.

Tentu sahaja harapan itu akan tetap tinggal harapan kerana kita sendiri sudah terlalu khusyuk membunuh bahasa kebangsaan. Saya maksudkan juga golongan penulis yang jauh lebih selesa menggunakan “bahasa merapu” dalam SMS, Facebook dan blog.

.

Benar, bahasa mengalami perubahan mengikut zaman tetapi bahasa yang “betul” tetap dipelihara; bukan dilacurkan.

.

Dalam akhbar Thai Post (22 Julai 2010), Nipit yang memegang jawatan Menteri Kebudayaan sejak 7 Jun 2010 dilaporkan menekankan perlunya usaha diambil bagi memelihara Bahasa Thai dalam bentuk “bahasa rasmi” yang tidak dilacurkan oleh pengkhianat bahasa.

.

“Jika tidak ada sesiapa yang menyedari kepentingan memelihara bahasa kebangsaan, maka celakalah kita. Tidak mustahil, generasi muda akan lupa cara menulis menggunakan bahasa yang betul,” katanya.

.

Awal minggu lalu, Kementerian Kebudayaan Thailand menghantar surat rasmi kepada semua stesen televisyen negara itu, meminta pengacara program, penyampai berita dan selebriti menggunakan bahasa yang betul apabila ke udara.

.

Pada pendapat saya, tidak perlulah sebarang langkah seperti itu dilakukan kepada mana-mana pihak di Malaysia. Mengapa? Pengkhianat bahasa akan tetap melacurkan bahasa!