7 Apr 2009

Kathakali

Jualan dan pengedaran Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia: Rudra Avatara amat memberangsangkan.

Daripada 3,000 naskhah kulit lembut (paperback) yang dicetak pada Julai 2008, kini tinggal sekitar 500 naskhah sahaja dalam simpanan saya.

(Edisi kulit keras sebanyak 500 naskhah pula lebih banyak digunakan sebagai cenderamata dan hadiah.)

Walau bagaimanapun, tidak pula bermakna bahawa saya sudah menjadi kaya dengan menerima bayaran bagi jualan sekitar 2,500 naskhah Rudra Avatara.

Sebenarnya, wang yang sudah diterima melalui jualan buku semasa majlis pelancaran digunakan untuk menampung kos aktiviti Kavyan serta pelbagai kos lain.

(Foto-foto yang dirakam semasa majlis pelancaran boleh dilihat di Facebook.)

Bagi buku-buku yang diedarkan menerusi pengedar, bayaran hanya akan diterima selepas beberapa bulan.

Pada masa yang sama, saya masih berhutang kepada pencetak.

Saya merancang untuk membereskan sepenuhnya bayaran kepada pencetak selewat-lewatnya pada akhir Mei 2009; walaupun saya diberi masa sehingga akhir Jun 2009 untuk berbuat demikian.

(Pencetak yang menguruskan Rudra Avatara memang amat profesional dan efesien. Amat saya sarankan kepada sesiapa yang memerlukan khidmat pencetak profesional dengan harga yang amat berpatutan.)

Seterusnya, apabila bayaran bagi kos mencetak Rudra Avatara sudah dibereskan, saya akan menerbitkan Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia: Kathakali yang memuatkan cerpen-cerpen yang sesuai bagi bacaan umum; khususnya remaja akhir (17-19 tahun).

Jadi, selepas membaca Rudra Avatara, nantikan kemunculan Kathakali menjelang Julai 2009!