2 Jan 2005

Rudra Avatara

“Di manakah batas antara realiti dan imaginasi, antara rasional dan tidak rasional, antara fiksyen dan faksyen, antara logik dan tidak logik?”

Sebelum sempat aku menjawab, Khandan menudingi otak sebelah kanan kepalanya. Kemudian menjentik hidung.


* * *

Isteriku sedang mengandung lima setengah bulan waktu itu. Perutnya belum pun mula buncit. Malah, dia belum mahu memakai pakaian wanita mengandung. Aku begitu ingin melihatnya berpakaian begitu. Lalu, aku belikan beberapa pasang. Tetapi dia tidak mahu pakai.

“Malu,” katanya sambil menutup muka dengan tapak tangan pada setiap kali aku memujuknya sejak dua bulan lalu.

Sekali itu – pada 9 Jun 2000 – dia menelefon aku di hospital swasta tempat aku bertugas. Katanya, dia terasa tidak sedap badan. Seperti ada kontraksi.

Segera aku suruh supaya datang ke hospital. Maklumlah, ini anak sulung kami. Aku mahu pastikan semuanya selamat. Aku lakukan beberapa pemeriksaan. Paparan pada monitor tidak menunjukkan sebarang kontraksi mahupun kerumitan.

“Semuanya macam biasa, sayang,” kataku; berjaga-jaga agar tidak bersikap terlalu manja di tempat kerja. “Kalau kau mahu, aku boleh lakukan pelvic exam. …”

Aku benar-benar terkejut apabila mendapati ada dilation. Ini boleh jadi merupakan tanda kelahiran pramasa atau tidak cukup bulan! Isteriku turut terkejut apabila keputusan pelvic examination itu aku maklumkan kepadanya. Segera aku tenangkan dia. Aku berikan ubat dan menghantarnya pulang menaiki teksi.

Keesokannya, aku turut terasa serba salah bilamana mendapati isteriku mengalami kontraksi yang teratur yang berselang beberapa minit sahaja tiap satunya. Walaupun aku sudah pernah menyambut kelahiran puluhan bayi sejak setahun lalu – serta aku sudah mempersiapkan diri untuk menyambut kelahiran anak sulungku – aku benar-benar hilang punca memandangkan isteriku baru hamil dua puluh dua minggu!

Di bilik bersalin, aku menyambut kelahiran anak sulungku. Seperti yang telah aku jangkakan, bayi yang lahir tidak cukup bulan itu beratnya hanya 336 gram. Tubuhnya terlalu kecil, tidak berdaya dan muat ke dalam tadahan tanganku. Mukanya merah jambu … dan seluruh tubuhnya berbulu putih!


(Petikan cerpen "Rudra Avatara" yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Januari 2005)