7 Aug 2024

Bhavishya Purana: Amaran kepada Umat Manusia

Terdapat 18 teks purana utama dalam ajaran Hindu (Sanatana Dharma) yang disebut Mahapurana dan secara kolektif terdiri daripada lebih 400,000 sloka dalam bahasa Sanskrit.

Teks Shiva Purana sangat terkenal, manakala teks Skanda Purana boleh dibaca dalam versi Bahasa Malaysia dengan judul Khanda Puranam (2022). Teks Periya Puranam dalam bahasa Tamil pula merupakan sebahagian daripada Thirumurai.

Satu lagi teks dalam kolektif Maha Purana ialah Bhavishya Purana yang ada disebut dalam cerpen “Chitra Paurnami” (CERPEN, 2024):

“Demikian nenek sering menceritakan sambil saya berbaring di atas ribanya. Kisah-kisah yang diambil daripada kitab suci veda, Yama Samhita, Bhavishya Purana, Padma Purana, Mahabharata, Vignana Tantra, Brahma Khanda, dan Garuda Purana sentiasa memukau saya walaupun didengar berulang kali.”

Kata “bhavishya” dalam Sanskrit bermakna “masa depan”. Judul ini agak tepat kerana purana berkenaan menceritakan (mendedahkan) beberapa perkara yang difirasat akan berlaku pada masa depan (iaitu selepas teks berkenaan dihasilkan).

Sloka berupa “firasat” banyak terdapat pada bahagian ‘Pratisarga Parva’. Disebut tentang kemunculan agama Kristian, gerakan Bhakti, ajaran Sikh, Empayar Mughal, dan pelbagai topik lagi.

Ada juga firasat berupa “amaran” dan “peringatan” kepada umat Hindu bahawa akan ada pihak yang muncul untuk cuba menghancurkan ajaran Sanatana Dharma serta “menyesatkan” umat manusia.

Dalam Skanda Purana, diceritakan tentang Tarakasura. Kisahnya boleh juga dibaca dalam Khanda Puranam (2022). Dalam kisah purana, Tarakasura ada tiga anak bernama Tarakaksha, Vidyunmali, dan Kamalaksha.

Ketiga-tiga asura itu dikenali secara kolektif sebagai Tirupurasura. Mereka asalnya mengaji kitab veda dan mengikut ajaran Hindu. Namun, kemudian mereka “sesat” dan mula menentang Hinduisme.

Dewa Shiva menghapuskan Tirupurasura (Tarakaksha, Vidyunmali, dan Kamalaksha). Dalam Bhavishya Purana, diceritakan bagaimana Tirupurasura lahir semula di muka Bumi sebagai bayangan syaitan yang berikrar akan menyesatkan umat manusia.

Jelmaan semula Tirupurasura difirasatkan akan memperdaya ramai umat manusia untuk menjadi pengikut ajaran sesat yang dibawa dan disebarkan secara penuh licik dan tipu muslihat.

Dalam Bhavishya Purana, diberi gambaran tentang ciri-ciri yang akan dimiliki para pengikut ajaran sesat bawaan Tirupurasura. Pengikut kultus itu akan berusaha keras menjayakan misi jahat Tirupurasura menyesatkan umat manusia daripada ajaran Sanatana Dharma iaitu agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Malah, nama yang diberi kepada para pengikut ajaran bawaan Tirupurasura dalam kelahiran semula itu membawa makna “penghancur agama”.

Menurut Bhavishya Purana, Tirupurasura yang dibunuh oleh Dewa Shiva akan lahir semula di kawasan padang kering. Nama baharu Tirupurasura dalam kelahiran semula nanti membawa makna “orang yang hina dan keji”.

Umat Hindu yang membaca Bhavishya Purana diingatkan dan diberi amaran supaya berhati-hati dan berwaspada dengan puak pengikut kultus Tirupurasura yang akan muncul semata-mata untuk menyesatkan umat manusia amnya dan umat Hindu khasnya.

Difirasatkan dalam Bhavishya Purana bahawa “orang yang hina dan keji” (iaitu jelmaan semula Tirupurasura) akan menjadi ketua kultus yang berjaya menyesatkan ramai orang di kawasan padang kering dengan penuh licik supaya menjadi pengikutnya.

Karya purana itu mengingatkan pembaca bahawa dharma (kebenaran dan keadilan) tidak akan ada dalam wilayah yang dijajah Tirupurasura dan para pengikutnya yang tidak bertamadun. Tidak akan ada pengikut Sanatana Dharma (Hindu) di wilayah itu kerana sama ada sudah dibunuh atau berjaya melarikan diri.

Dalam teks Bhavishya Purana, digambarkan bahawa akan berlaku dialog antara Dewa Shiva dan Raja Bhoja. Raja itu dan tenteranya tiba di tempat bernama Vahika (Valhika) dalam misi penaklukan. Semasa Raja Bhoja bersembahyang dan berdoa, Dewa Shiva muncul lalu menasihati raja itu meninggalkan Vahika kerana wilayah berkenaan sudah dicemari puak pengikut ajaran sesat diketuai “orang yang hina dan keji”.

Amaran, firasat, dan peringatan ini wajar diberi perhatian oleh umat Bukan Islam kerana tidak mustahil pendakyah ajaran sesat yang didedahkan dalam Bhavishya Purana masih tekun berusaha menyebarkan kejahatan (evil) dengan cara penuh licik dan tipu helah demi menyesatkan umat manusia.

(Nota: Saya menggunakan frasa “umat Bukan Islam” kerana tidak mahu menanggung risiko seperti yang berlaku pada April 2022 – baca di sini. Anda juga mungkin berminat membaca Bhagavad Gita dalam edisi Bahasa Malaysia serta kisah “Guruji dari Jaisalmer”. Harap maklum bahawa anda membaca segala tulisan saya atas pilihan sendiri. © Uthaya Sankar SB)