“Maafkan aku,” kata pemuda itu akhirnya sambil kepalanya
masih tertunduk. “Aku tidak dapat menerima engkau.”
“Apa?” Mata si gadis terbeliak. “Bukankah kita pernah
bersumpah untuk sehidup semati?”
“Semua itu adalah ucapan dan kata-kata romantik dari bibir
orang yang sedang dilamun cinta. Namun, apa yang berada di depan mata pada saat
ini adalah realiti; bukan lagi dunia fantasi dan lamunan seperti sewaktu kita
berdua bertemu dahulu.”
Si gadis terkedu mendengar kata-kata itu. Dia cuba berkata
sesuatu tetapi segera memutuskan untuk berdiam diri. Air mata kembali mengalir
menuruni pipi.
“Keputusan aku adalah muktamad. Aku tidak dapat menerima engkau
sebagai isteri kerana ia melibatkan soal maruah. Bukan soal maruah engkau
sebagai seorang wanita, tetapi soal maruah aku sebagai seorang lelaki dan bakal
pemerintah.”
“Apakah aku sedang bermimpi atau semua ini memang sedang
benar-benar berlaku?”
“Semua ini adalah sebahagian daripada realiti kehidupan. Engkau
pulanglah ke sana dan berkahwinlah dengan dia. Dia yang menjadi juara dalam sayembara
anjuran ayah engkau. Maka, dia yang sepatutnya dan selayaknya menjadi suami engkau;
bukan aku.”
Pandangan mata si gadis menjadi kabur. Kata-kata yang
diucapkan oleh kekasihnya sudah tidak kedengaran dalam telinga. Si gadis itu
terus pitam dan jatuh terkulai.
Apabila dia membuka mata hampir setengah jam kemudian, dia
menyedari dirinya berada di dalam kereta yang sama seperti tadi. Kereta itu
sudah meninggalkan bandar itu dan sedang menuju ke destinasi lama.
Dapatkan buku Ramayana dan Mahabharata (2019) untuk
membaca kisah ini dan pelbagai kisah lain berkaitan “cinta zaman dahulu”.